Budaya Feudal Dan Kebendaan Penyebab Pemujaan Kekayaan Yang Bukan-Bukan

SATU video tular dengan memaparkan bagaimana seorang jutawan telah bertindak dengan memalukan seorang tua miskin di khalayak ramai kononnya mahu membangkitkan semangatnya untuk menjadi kaya juga. Sejujurnya saya tidak sanggup menonton klip itu sehingga tamat kerana cukup tragis. Video ini juga telah mengundang pelbagai reaksi yang menonton sama ada mengkritik mahupun membela.

Tetapi apabila diimbas kembali, penghinaan terhadap orang miskin ini bukanlah kali pertama dipersembahkan. Juga ia bukan berlaku hanya di peringkat kultural seperti di klip video itu. Kita juga pernah membaca laporan akhbar yang menuliskan “miskin kerana malas” yang diperkatakan sendiri oleh Perdana Menteri ke-7. Malah dalam ranah intelektual juga terdapat beberapa pemikir semisal Za’ba yang cenderung menyalahkan sifat-sifat sosial orang Melayu yang berunsur negatif atas kegagalan kapitalisme Melayu bersaing dengan bukan Melayu.

Selain klip video itu juga, terdapatnya beberapa rancangan televisyen yang menjadi hiburan sekeluarga secara tidak sedar sedang merendahkan maruah orang miskin. Semisal rancangan realiti “Mikrofon Impian”. Orang miskin perlu dibantu untuk mendapat pembelaan. Kalau mereka menang itu petanda yang baik dengan mendapat sejumlah wang, jika gagal bagaimana? Tidakkah ini satu penghinaan terang-terangan kepada orang miskin yang benar-benar mendambakan perubahan dalam kehidupan mereka? Dipertontonkan pula pada khalayak.  Lalu menjadi hiburan buat penonton di rumah.

Namun persoalan besar di sini dari mana datangnya idea pemujaan pada kekayaan yang berlebihan ini? Dikatakan bahawa kekayaan itulah pengukur kejayaan manusia, malah dipuja-puja dan mengiakan saja kata-kata kelompok ini. Masing-masing berebut ingin mendapatkan nasihat  dari jutawan demi mendapatkan apa yang sedang kelompok mewah ini tayangkan.

Dari Feudal Ke Falsafah Kebendaan

Analisis ini harus dimulakan dari sudut ideologi, salah satu faktor mengapa idea ini dijulang, diterima tanpa dipermasalahkan sudah tentu pada role model atau sosok yang diangkat sebagai contoh dalam masyarakat. Selepas kita mencapai kemerdekaan, tanah air kita telah dianugerahi oleh kelompok elit yang mundur. Elit Melayu yang mengambil alih kuasa pemerintahan  bukan sahaja dipengaruhi oleh psikologi feudal zaman lampau malah dipengaruhi oleh falsafah hidup kebendaan. Falsafah kebendaan ini juga telah melanggar nilai Islam. Ia menganjur manusia untuk mengejar kekayaan tidak kira dengan cara haram ataupun halal termasuklah korupsi dan perbuatan ini tidaklah dikecam.

Dalam pemahaman dan idea feudal amat menitikberatkan taat setia dari yang diperintah, kuat budaya berhierarki atau berkelas, dan mempunyai psikologi kekuasaan kepada yang diperintah. Akhirnya menganggap bahawa  kelompok pemerintah atau bangsawan sahaja yang penting untuk diangkat dalam sejarah mahupun budaya masyarakat. Dalam erti kata mudah budaya mereka mewakili keseluruhan budaya masyarakat walaupun tak semestinya begitu.

Menurut Sahahruddin Maaruf dalam bukunya berjudul Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu Membelai Romantisme Dekaden:

“Jiwa kapitalisme moden mengutuk cara putar belit  politik haram dan menyalahgunakan pengaruh untuk mendapatkan keuntungan kebendaan. Berlainan pula sikap feudal dan kebendaan di kalangan elit-elit Melayu yang mengizin dan mempertahan pula amalan-amalan tersebut.”

Dalam buku beliau yang seterusnya berjudul Idea-idea Melayu Tentang Pembangunan Daripada Pembesar Feudal Kepada Kapitalis menjelaskan bagaimana transisi feudalisme kepada kapitalisme berlaku:

“Keadaan-keadaan masyarakat feudal Melayu tidak memungkinkan kemunculan dan pertumbuhan kapitalisme borjuis dari dalam. Dari segi struktur feudalisme Melayu telah digugat oleh kapitalisme yang dipaksakan ke atasnya dari luar. Namun sebaik sahaja etos kapitalisme ini terterap di rantau ini, nilai-nilai kapitalisme mula mencoraki pemikiran dan etika elit Melayu yang terdedah kepada kapitalisme dan perbandaran.”

Idea ini dimanifestasikan melalui pemujaan pada wira-wira feudal buat melindungi dan memajukan kepentingan mereka, malah golongan pemerintah juga menganjurkan pemodal-pemodal terkemuka sebagai wira bertujuan untuk mengangkat falsafah kebendaan yang mereka anuti. Dengan cara mendewa-dewakan pemodal-pemodal ini lalu menganggap mereka sebagai wira, elit berkenaan sebenarnya telah menyerapkan fahaman kebendaan mereka.

Lagi memburukan keadaan apabila pemodal yang diangkat itu pula sebati dengan sifat feudal pemerintah yang memandang rendah terhadap rakyat biasa dan berkecenderungan menyalahgunakan kedudukan dan pelantikan rasmi demi kepentingan diri. Ini pernah ditulis dalam buku Revolusi Mental yang menganjurkan pengumpulan harta perseorangan dan hanya memikirkan kepentingan elit yang berpengaruh.

Manifestasi Kebendaan Hari ini

Apabila kefahaman seperti ini berlaku di peringkat tinggi dan kepimpinan, mahu atau tidak ia akan sebati dan selari dengan dasar dan hala tuju sesebuah pemerintahan. Kita dapat lihat hari ini apabila nama jutawan-jutawan gah negara amat senang dicari dan diingati oleh generasi baru dan lama ketimbang daripada para pemikir dan intelektual. Malah berlaku perbandingan pula antara jutawan Melayu dan bukan Melayu seolah-olah satu kemenangan besar sekiranya kelompok bukan Melayu itu dipintas kedudukannya.

Tidak cukup dengan itu, ia merebak langsung dalam ranah pendidikan di mana pelajar diajarkan terus untuk mengejar A semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan yang lumayan supaya dapat hidup mewah dan selesa. Berbanding melatih pelajar untuk menuruti proses berfikir, berminda kritis dan merenung tajam masalah yang dihadapi sekeliling mereka. Malah di institusi peringkat tinggi sekalipun bertindak seperti semut menghurung gula apabila mengejar subjek yang boleh mendatangkan keuntungan buat mereka. Kerana dari dukungan ini maka lahirlah jutawan-jutawan motivasi yang menghasilkan pelbagai tagline termasuk “tak hensem tak apa, janji kaya” untuk membuktikan bahawa kekayaan itulah segalanya.

Terdapat juga kelompok anak muda yang giat mempromosikan pemikiran feudal dan kebendaan ini dalam tulisan-tulisan sejarah mereka. Malah dengan bangga mereka mempertahankannya untuk menjadi sebagai budaya lalu dipraktikkan dalam pemikiran. Katanya jika tidak menggenggam sejarah ini maka hilanglah identiti bangsa terutama sekali bangsa Melayu. Jika begitu, sampai bila harus kita menyaksikan kelompok miskin terus-terusan menerima penghinaan di hadapan mata kita, sekiranya tidak ada kemampuan malah kesungguhan intelektual untuk meruntuhkan ideologi yang kacau ini.

Kesimpulan

Persoalan hina menghinakan kelompok miskin ini bukannya baru, malah ia telah berlanjutan sebegitu lama dan telah membarah dalam masyarakat. Malah ada juga yang membiarkan ia lagi terus merebak kepada generasi muda. Penyelesaiannya harus bermula dengan pemikiran yang kritis dan menolak segala ideologi yang menghambat kemanusiaan untuk ditegakkan. Ingatlah kekayaan yang luar biasa akan terhasil dari air mata mereka yang hidupnya biasa.

Komen