NAMA Chandra Muzaffar sebenarnya tidak asing lagi dalam dunia akademik dan penerbitan buku kerana sepanjang penglibatan beliau dalam dunia penulisan, pemikiran dan akademik telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku dan penulisan yang begitu kritis dan reflektif terhadap keadaan masyarakat semasa.
Generasi lama mungkin sudah masak dengan pola fikir dan fokus Chandra dalam penulisan, sudah tentu beliau banyak memberikan idea dalam ranah politik, agama, sejarah dan kemanusiaan. Bagi generasi muda pula, terdapat beberapa karya hasil tulisan Chandra Muzaffar yang boleh ditelaah dan dibaca termasuk Muslim Dialogue and Terror, Freedom in Fetters An Analysis of the State of Democracy in Malaysia, Islamic Resurgence in Malaysia dan pelbagai lagi judul.
Tulisan ini akan memfokuskan pada bukunya yang berjudul Protector? atau dalam versi Bahasa Melayunya bermaksud Pelindung. Buku ini merupakan hasil dari tesis PhD-nya dan pertama kali diterbitkan oleh Aliran kemudian diulang terbit oleh pihak SIRD. Di dalam buku ini Chandra cuba mengkaji punca asal dan perkembangan konsep kesetiaan yang tidak boleh dipersoalkan dari Kesultanan Melaka bermula abad ke-15 sehinggalah ke zaman kolonial dan moden.
Mendefinisikan hubungan antara pemerintah dan diperintah pada zaman feudal adalah sangat berbeza dan menarik untuk dikaji. Yang menjadi titik penting pada zaman itu sudah tentulah konsep kesetiaan yang tidak berbelah bagi juga tidak mempersoalkannya terhadap pemimpin masa itu. Sekiranya konsep ini dipenuhi oleh yang diperintah, maka ia akan mendapat perlindungan dari pemerintah. Jadi politik di zaman feudal berlegar di dalam faktor ini.
Manirestasi-manifestasi Kesetiaan
Chandra Muzaffar membuka kisah awal kesetiaan melalui waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun yang menjadi asas taat setia orang Melayu kepada raja mereka. Menurut perjanjian, keturunan Demang Lebar Daun (orang Melayu) harus taat dan setia kepada raja mereka, walau dizalimi sekalipun.
Pada masa yang sama, keturunan Sang Sapurba (raja Melayu) juga berjanji bahawa tidak akan mengaibkan atau menista rakyatnya walau dosa mereka sebesar mana sekalipun, dan jika dihukum mati ia harus mengikut hukum Syarak.
Kemudian beliau membentangkan beberapa manifestasi kesetiaan berdasarkan teks hikayat klasik termasuk Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Pertama kesetiaan kepada pemerintah bermaksud memikul kesemua permintaan dan kehendak mereka tanpa mempersoalkan motif ataupun rasional kepada permintaannya.
Peristiwa ini dapat kita nukil dari Hikayat Hang Tuah di mana Hang Tuah telah digambarkan sebagai hamba yang taat setia kepada pemerintahan Sultan Melaka yang melaksanakan segala perintah tanpa mempersoalkan.
Contohnya Hang Tuah pernah merelakan saja hukuman yang pernah dijatuhkan kepadanya walaupun dia tahu bahawa ia merupakan kezaliman dan penganiayaan kepadanya. Dia juga sempat menegur bendahara yang mati-matian mempertahankannya demi menunjukkan sifat taat setianya.
Manifestasi yang kedua, perintah ataupun permintaan yang melanggar nilai moral dan etika diterima dan diberi anugerah sekiranya arahan itu diberikan oleh pihak istana ataupun raja. Sebagai contoh Sultan Mahmud pernah mengarahkan hulubalangnya untuk menculik wanita yang cantik sungguhpun wanita itu telah berkahwin dengan salah seorang pemimpin di bawah jajahannya. Melalui rasuah dan peperangan seorang dari hulubalang berjaya menculik Tun Teja. Hulubalang tersebut telah di anugerahkan pangkat Tun Setia Diraja yang menunjukan taat setia walaupun melanggar etika moral.
Manifestasi yang ketiga tercermin dengan menerima segala keputusan tanpa mempersoalkan ketidakadilan daripada Sultan yang akan mengganggu atau menjejaskan nasib seseorang. Dalam kisah klasik telah menggambarkan bagaimana nasib Bendahara Sri Maharaja. Bendahara telah dituduh oleh laksamana yang sedang merancang untuk menjatuhkan Sultan lalu mahu mengangkat dirinya sebagai pemerintah yang baru.
Sultan menerima tuduhan itu memandangkan dirinya juga punyai dendam dengan Bendahara kerana tidak mahu memperkenalkan anak perempuannya yang cantik itu kepada Sultan. Tanpa penyiasatan dan soal selidik akhirnya Bendahara dihukum dengan hukuman mati.
Siri Penderhakaan Yang Berlaku
Selain dari manifestasi kesetiaan, Chandra Muzaffar di dalam bukunya juga menggariskan beberapa peristiwa yang menunjukan siri-siri penderhakaan. Ia dinamakan penderhakaan kerana peristiwa yang berlaku amat bertentangan dengan fahaman kesetiaan seperti yang telah dijelaskan. Contohnya dari kisah Tun Hassan.
Setelah penghukuman yang dijatuhkan pada Bendahara Seri Maharaja, Tun Hassan sebagai seorang anak telah mempersiapkan dirinya untuk menentang Sultan atas keputusannya yang tidak adil itu. Tetapi telah dihalang oleh ayahnya sendiri. Langkah Tun Hassan ini sebenarnya petunjuk kesediaannya untuk mempertahankan ayahnya walaupun ia bertentangan dengan perintah Sultan.
Kisah kedua terjelma pada peristiwa Bendahara Paduka Raja. Bendahara telah ditugaskan untuk menjalankan hukuman mati terhadap Hang Tuah. Walaupun Hang Tuah telah bersedia untuk dipancung, tetapi Bendahara merasakan ketidakadilan telah berlaku kerana kesalahan itu tidaklah dilakukan oleh Hang Tuah.
Oleh itu Bendahara telah membantu Hang Tuah untuk meloloskan diri dari hukuman seterusnya telah menderhaka perintah Sultan. Tindakan Bendahara ini tidak diketahui dan dilupakan kerana waktu itu Hang Tuah kembali dengan membawa Tun Teja lalu menggembirakan Sultan.
Kisah ketiga merupakan antara kisah penderhakaan yang paling popular melibatkan Megat Sri Rama. Sultan Johor iaitu Sultan Mahmud sedang tidur sewaktu seorang lelaki membawakannya buah nangka, penjaga istana harus menyimpankan buah nangka untuk Sultan.
Dalam masa yang sama isteri kepada Megat Sri Rama seorang daripada hulubalang Sultan datang ke istana dan meminta sedikit ulas dari buah tersebut, penjaga istana memenuhi permintaan wanita hamil itu kerana terkenang pada anak kecil yang dikandungkan.
Setelah Sultan bangun dan mengetahui berita itu, Sultan dengan penuh rasa amarah mengarahkan untuk perut wanita hamil itu dibelah. Anak yang tidak sempat dilahirkan itu dikeluarkan lalu wanita itu pun mati. Apabila berita ini diketahui oleh Megat Seri Rama, dirinya secara terus telah mengisytiharkan “derhaka” lalu menikam Sultan Mahmud sehingga mati.
Dari kisah-kisah peristiwa ini bermula dari ketidakadilan dari undang-undang dan kehendak Sultan. Walaupun tidak semua bertindak yang sama, dan membunuh bukan langkah yang bijak tetapi secara tidak langsung telah menunjukkan pertentangan terhadap idea kesetiaan yang membuta tuli.
Mengapa Taat Setia Masih Bertahan
Satu persoalan yang ditumbulkan oleh Chandra Muzaafar terkait dengan kesetian, “Mengapa ia bertahan?”. Chandra mempersiapkan tiga jawapan untuk itu; 1) kerana kesetiaan membuta tuli, tidak mempersoalkan kehendak pemerintah merupakan kod etika waktu itu. Bermakna tindakan kezaliman ini telah dinormalisasikan sehingga membentuk bahawa idea ini tidak bermasalah, 2) masyarakat tidak merasakan perlu melakukan revolusi terhadap ketidakadilan walaupun telah berlaku beberapa siri perlawanan atas kekejaman dan ketidakadilan kerana secara keseluruhan sistem monarki tidak menampakkan penindasan, kerana mereka tidak keluar untuk menindas masyarakat secara terus, dan 3) yang menghakis kesemua pandangan terhadap sifat-sifat kejam pemerintah disebabkan oleh pengaruh agama.
Begitulah sedikit sebanyak fragmen yang dapat ditulis dari buah fikiran Chandra Muzaffar, walaupun terdapat banyak lagi unsur yang harus diketengahkan. Apa pun buku ini amat baik untuk dibaca dan dijadikan sebagai pengajaran terutama untuk generasi baru yang dahagakan ilmu dan pandangan kritis untuk tujuan kemanusiaan.
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.