Sejarah tercipta pada hari ini apabila anak kelahiran Ipoh, Michelle Yeoh telah memenangi anugerah Oscar untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Everything Everywhere All At Once. Ini telah menjadikan beliau anak Malaysia dan wanita Malaysia yang pertama memenangi anugerah berprestij ini.
Di dalam ucapan beliau, Michelle telah menyebut;
“Ladies, don’t let anybody tell you, you are ever past your prime.”
Wanita sering berlumba dengan masa kerana bagi dunia ini, wanita seolah-olah barang yang mempunyai tarikh luput. Sering kali wanita ditolak dan diketepikan oleh kerana faktor usia mereka, selain daripada faktor-faktor lain. Perkara sebegini tidak pula terjadi kepada kaum lelaki, seolah-olah kaum lelaki ini adalah golongan yang tidak akan dimamah usia.
Pada 8 Mac 2023, sekali lagi dunia menyambut Hari Wanita Sedunia, di mana kita boleh lihat banyak ucapan-ucapan menghargai kaum wanita dipaparkan. Namun adakah ini hanya sekadar retorik kerana realitinya wanita masih lagi didiskriminasi dan diperlekehkan dalam pelbagai hal di dalam dunia ini.
Di Afghanistan baru-baru ini, kerajaan Taliban telah membatalkan semua perceraian yang telah berlaku dan memaksa semua wanita yang sudah bercerai agar kembali ke pangkuan bekas suami mereka. Wanita-wanita yang dahulunya telah bebas dari ikatan perkahwinan yang penuh dengan penderaan dan kesengsaraan kini terpaksa kembali ke lembah itu semula. Pada awal pemerintahan semula Taliban, mereka telah menghalang wanita pergi ke sekolah atau pun universiti untuk belajar dan menghalang wanita dari bekerja. Taliban yang begitu sinonim dengan Islam di mata dunia telah menggambarkan bahawa tiada nilai keadilan, perikemanusiaan dan kesamarataan di dalam agama ini apabila polisi-polisi ini dikuatkuasakan. Saya hairan, apakah nilai dan tanggapan mereka terhadap wanita. Tiadakah sedikit rasa kasihan dan perikemanusiaan terhadap wanita? Adakah wanita ini pada pandangan mereka adalah hamba abdi yang diciptakan sebagai satu alat untuk membiak?
Jika kita memberikan contoh ini kepada umum, ramai akan menyatakan “ah ini berlaku jauh dari Malaysia”. Namun di Malaysia juga, wanita tidak ketinggalan dari menjadi mangsa polis-polis moral yang tidak jemu mendiskriminasi dan menidakkan kesamarataan gender. Tulisan saya sebelum ini ada menyentuh mengenai diskriminasi terhadap pemakaian wanita dan sejak dari itu sudah beberapa kali kes sebegitu rupa terjadi di dalam negara kita. Masyarakat seolah-olah tidak mampu berfikiran rasional apabila ada sesuatu perkara yang berkaitan dengan wanita terjadi.
Wanita di Malaysia sering dihakimi jika mempunyai pandangan yang di luar dari pandangan yang biasa, yang berfikiran terbuka dan liberal, yang lantang dan berani. Idea-idea yang luar biasa yang mencabar kewibawaan lelaki acap kali dilabel sebagai ekstrim dan dicemuh.
Adat resam digunakan sebagai senjata untuk mengikat kebebasan pemikiran dan juga kelakuan wanita. Bahkan beberapa polisi pada zaman dahulu telah dibentuk begitu menekan dan menyekat wanita dan tidak mengambil kira kebarangkalian bahawa evolusi pemikiran dan kehidupan wanita pada masa hadapan. Ini adalah kerana polisi ini dibuat dan dibentuk oleh kaum lelaki. Sebagai contoh polisi berkaitan dengan hak kerakyatan anak kepada wanita Malaysia yang mempunyai bapa warganegara luar, yang lahir luar dari Malaysia. Sehingga ke saat saya menaip ini, hanya janji sahaja yang ditaburkan oleh pihak kerajaan untuk membuat pindaan terhadap polisi tersebut. Masih tiada tindakan.
Ini telah menyebabkan saya tertanya-tanya mengapa perkara sebegini tidak ada tindakan yang segera daripada kerajaan. Adakah kerakyatan anak-anak ini tidak penting buat kita? Mengapa masih ditangguhkan?
Isu perkahwinan bawah umur juga antara isu yang membelenggu kanak-kanak perempuan di negara kita termasuklah di seluruh dunia. Isu ini adalah antara contoh adat resam digunakan sebagai senjata terhadap wanita. Keengganan beberapa buah negeri di Malaysia menaikkan had usia untuk wanita berkahwin, dengan melontarkan pelbagai alasan sangat mengecewakan. Sepertinya tindakan untuk membendung itu tidak penting bagi mereka. Namun saya bersyukur kerana Kementerian Pendidikan Malaysia kini tampil untuk memberikan satu cara untuk membendung perkara ini iaitu dengan bakal mewajibkan setiap remaja wanita untuk menghabiskan pendidikan mereka di sekolah menengah. Ini bukanlah jalan penyelesaian namun ini mungkin boleh menyelamatkan dan memberikan sinar kepada remaja wanita di luar sana.
Jika ingin dibangkitkan mengenai soal wanita ini, terlalu banyak dan pastinya ada sahaja kaum lelaki yang merasakan ia terlalu remeh. Namun kita kini kena terbuka dan menerima hakikat bahawa dunia semakin berkembang. Wanita, walaupun di usia 70 tahun, masih layak untuk mencipta kejayaan dan mencapai cita-cita mereka. Wanita bukan barang atau makanan yang mempunyai tarikh luput. Walaupun kami akan menghadapi proses menopaus, namun itu bukan pengakhiran hidup kami. Itu hanya satu proses yang mana kemampuan kami untuk membiak telah sampai ke garisan penamat.
Berhentilah mendiskriminasi wanita. Wanita dicipta untuk menyayangi dan disayangi, namun wanita juga mampu untuk mencapai cita-cita dan pergi jauh merentas dunia untuk mencapai kejayaan dan mengharumkan nama keluarga dan negara.
Tahniah Michelle Yeoh. Saya pasti anda telah menjadi inspirasi ramai wanita di luar sana pada hari ini.

Noor Suhana adalah Pegawai Khas Parlimen dan Dasar di Pejabat Ahli Parlimen Bentong. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.