FAKTA: Statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) merekodkan 15,001 pelarian Rohingya berdaftar pada 2009, meningkat 100 peratus kepada 30,463 pada 2013, sebelum mencecah 54,856 pada Oktober 2016. Namun, jumlah ini disanggah sesetengah NGO yang mengatakan ada lebih dari 100, 000 pelarian Rohingya dengan separuh daripada mereka belum berdaftar sebagai pelarian sah menerusi UNHCR.
Baik. Mari kita anggap Rohingya bukan manusia pelarian. Angka 100,000 sama ada berdaftar atau tidak dengan UNHCR langsung tidak pernah wujud. Manusia Rohingya adalah manusia terbahagia hidup aman permai di bandar bernama Rakhine. Negerinya cantik. Siangnya disimbah senyum pagi mentari, malamnya ditemani purnama. Bangunan-bangunan tinggi dicacak merata di atas tanah simbol kemajuan. Makanan melimpah ruah. Rakyatnya tiada pemakan anggur. Semuanya punya kerja dan pendapatan terbagus. Negeri ini bebas kebuluran. Tidak ada yang tercicir. Malah, perkataan ‘miskin’ sama sekali adalah sebuah perkataan yang aneh.
Lain pula yang berlaku di sebuah negeri Melayu beberapa ribu kilometer jauhnya dari Rakhine. Udara di negeri itu berbau hancing pekat. Pergolakan berlaku tidak kira masa. Paginya sang Menteri mengsonglap duit negeri. Petangnya dia bersurah nama Tuhan dan mengingatkan nikmat syurga.
Bila Melayu sedar hidup mereka bertambah parah, keadaan seakan sudah terlewat.
Maka berbondong-bondonglah Melayu keluar berebut menaiki tongkang memperjudi nasib di tengah lautan sepi demi sebuah alasan untuk terus hidup di negeri seberang. Pun ada juga yang ditipu tawaran hidup di seberang walaupun pengakhirannya sebagai korban perdagangan.
Ramai yang mati sebelum bertemu tebing. Ramai juga yang minum kencing sendiri untuk terus bertahan. Melayu-Melayu kurus kering yang tak punya daya menjerit meminta tolong hanya cuma mampu melemparkan pandangan simpati mengharapkan dataran-dataran negeri menerima mereka.
Rakhine menyambut Melayu. Meski tidak seikhlas mana, walau kejujurannya maha kabur.
Yang utama, harap-harapnya dunia melihat tangan seluas alam dibentangkan Rakhine. Harap-harapnya Rohingya nampak Rakhine bertimbang rasa. Meski tidak seikhlas mana, walau kejujurannya maha kabur.
Di Rakhine, ada Rohingya baik hati membantu Melayu. Mereka diberikan beras, kain selimut, bilik kecil dan peluang pekerjaan. Selebihnya mereka hidup berdikari. Mencari pedoman di negeri orang. Biar payah dan sukar. Biar seringkali dianggap kelas kedua, biar selalu mencium bau prejudis dari sesetengah raut wajah Rohingya, biar upah kerjanya terendah, biar dilayan teruk otoriti, biar sering di ‘pow’ polis, Melayu kekal teguh. Dipujuk hatinya tiap hari. Apa yang diperoleh di Rakhine jauh lebih syurgawi berbanding tanah tumpah negeri sendiri.
Di Rakhine, Melayu melakukan apa saja untuk mencipta kehidupan. Mereka menjadi buruh, tukang sapu sampah, tukang cuci, mereka belajar berniaga, mereka bina komuniti. Melayu simpan duit, bawa ahli keluarga, sahabat handai keluar dari kenerakaan di negeri asal.
Semakin lama, Melayu semakin ramai di Rakhine. Mereka beranak pinak, berkeluarga, memanjangkan keturunan di tanah ini.
FAKTA: Statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) merekodkan 15,001 pelarian Melayu berdaftar pada 2009, meningkat 100 peratus kepada 30,463 pada 2013, sebelum mencecah 54,856 pada Oktober 2016. Namun, jumlah ini disanggah sesetengah NGO yang mengatakan ada lebih dari 100,000 pelarian Melayu dengan separuh daripada mereka belum berdaftar sebagai pelarian sah menerusi UNHCR.
Angka-angka ini meresahkan Rohingya. Rakhine sepatutnya untuk Rohingya. Bukan untuk Melayu, bangsa naik tongkang, datang ke mari dengan muka sedih, kemudian hidup senang lenang beranak pinak.
Rohingya jauh telah lelah dan jemu melayan Melayu. Cukuplah 100,000 Melayu di Rakhine. Jangan ditambah-tambah. Kita memang mahu membantu, kata Rohingya. Kita bukan rasis, jelas Rohingya. Tetapi takkanlah kerja kita sepanjang masa mencuci tahi Melayu? Bukankah Melayu perlu menyelesaikan urusan negeri mereka sendiri? Bukankah lebih bagus dana negeri ini disusukan kepada anak jati negeri berbanding bangsa asing? Bukankah Rakhine ini rumah Rohingya, dan Melayu itu tetamu? Tetamu kan perlu pulang? Sampai bila mahu menumpang?
Lalu suara Rohingya pun bergema kuat.
“Kami Rohingya sama sekali tidak mahu masa depan Rakhine dicemar oleh kependudukan Melayu”.
“Melayu ialah bangsa berketiak masam. Melayu penipu maha agung. Melayu naik tocang. Kuat rasuah. Gemar copy paste fitnah di Whatsapp. Raja menunggang agama. Scammer ubat kuat. Bahkan Melayu adalah manifestasi sebenar anti-kedamaian. Merekalah si celaka yang membuat kriminal. Merekalah yang kuat bergaduh, samseng, perogol dan pecah rumah. Merekalah tetamu yang tak boleh dipercayai. Tinggalkan isterimu, anak perempuanmu dengan Melayu. Nescaya menangis tak berlagu lah kamu.”
Apakah benar semua Melayu begitu? Bagaimana pula dengan Melayu yang kuat bekerja, mengusahakan seluruh tenaganya membina bangunan, jalan raya dan ladang-ladang untuk kesejahteraan Rohingya? Apakah Melayu, bangsa pelarian tidak berhak bersuara menuntut haknya sebagai manusia dihormati? Apakah hanya kerana diberi sedikit teduh bermakna hak Melayu sebagai pekerja layak dipandang sinis? Apakah anak-anak Melayu yang dilahirkan di sini tidak punya sedikit peluang mengenal alif, ba, ta? Apakah hanya kerana ada Melayu celaka tidak berguna lagi menyusahkan menjadi asbab hak Melayu-Melayu lain dilanggar dan dipijak-pijak?
Jawapannya ‘YA’ untuk setiap soalan diatas.
Melayu bukanlah seperti warga Palestin yang kerap dipotretkan sebagai si pencari syahid. Melayu bukanlah seperti warga Syria yang segak, berkulit putih halus, bermata hijau dan perempuannya yang mesti dibantu dengan cara dinikahi. Melayu juga bukan ‘mat saleh’ yang miliki darjat paling tertinggi.
Melayu cumalah bangsa berketiak masam, pengotor dan ditakdirkan bekerja sebagai buruh yang menyusahkan.
Nyaris hidupnya berakhir di longkang.
Mujur ada Rohingya yang menyediakan sedikit teduh.
Meski tidak seikhlas mana, walau kejujurannya maha kabur.
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.