Bersama Menentang COVID-19

Hospital saya adalah antara hospital terbanyak positif kes COVID-19 di Sabah. Sememangnya ada beberapa wad telah dibuka dan terdapat inisiatif dari pengurusan hospital dan agensi kerajaan negeri dan tempatan dalam membuka pusat kuarantin untuk Person Under Investigation (PUI) di sebuah hotel luar dari hospital. Ia bagus kerana dapat mengurangkan kesesakan di hospital.

Benar, tidak semua doktor terus dimasukkan ke dalam team frontliner atau terlibat secara langsung menguruskan pesakit ini. Ia adalah disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah untuk menjamin proses penjagaan pesakit-pesakit lain di dalam wad. Kedua, untuk mengurangkan risiko jangkitan silang atau menjadi punca merebaknya virus kepada pesakit lain andai doktor yang sama memeriksa pesakit di wad dan pesakit COVID-19.

Di hospital saya, saya berbangga dengan warga hospital saya yang sangat dedikasi dalam menangani isu ini. Kami bekerja dalam kekurangan. Saya sendiri hanya dibekalkan dengan satu topeng muka untuk dipakai sepanjang seharian bertugas. Pasti sekali ia tidak efektif. Bekalan hand sanitiser kami pun sangat berkurangan dan diburukkan lagi dengan masalah kecurian produk tersebut.

Dalam keadaan serba serbi kekurangan ini, pelbagai peringkat lapisan staf dari staf sokongan hinggalah doktor pakar bergotong-royong menyiapkan pakaian perlindungan (PPE) untuk staf frontliner. Jujur saya katakan, menitis air mata saya apabila melihat pakar bedah kami atau pakar sakit puan datang di luar waktu bekerja untuk menjahit topeng pelindung muka dan peralatan PPE lain.

Di daerah kami yang dipenuhi lambakan warga asing dan mereka yang tidak diberi imunisasi, COVID-19 bukanlah satu-satunya penyakit yang harus diberi tumpuan. Ini kerana, kami masih harus berdepan dengan kes denggi, difteria, tetanus, acute flaccid paralysis dan banyak lagi.

Ibu kepada pesakit saya merengek-rengek mahu pulang ke rumah setelah anaknya positif difteria dan telah diberi rawatan anti toksin serta antibiotik. Namun, hasil ujian swab tekak yang dihantar untuk melihat sama ada kuman difteria telah mati setelah rawatan diberi belum siap. Sekalipun pesakit telah sembuh di wad, saya tidak boleh menambah risiko kepada masyarakat dengan membenarkan pesakit pulang kerana andai kuman belum betul-betul mati, ia akan menjangkiti kanak-kanak yang tidak diberi suntikan imunisasi.

Saya ada pesakit cilik yang diuji Tuhan dengan penyakit kanser dan memerlukan kemoterapi. Dia masih sangat kecil. Sangat kecil! Yang merisaukan saya adalah apabila dia mengalami jangkitan kuman teruk.

Ketika mengambil ujian darah, dia meronta-ronta dan meragam hingga saya terpaksa bertegas apatah lagi saya telah kepenatan bekerja lebih 30 jam di hospital. Sepenat-penat saya, penat lagi doktor pakar saya yang telah oncall hampir sebulan tanpa henti.

Dia menangis dan berkata kepada saya:

“Doktor marah adik! Kenapa doktor marah adik?”

Dia menangis teresak-esak.

“Doktor minta maaf. Tapi kalau adik asyik meronta, macam mana doktor nak ambil darah dan rawat adik?”

“Doktor, senyumlah. Kenapa doktor marah adik, doktor benci adik kan?”

“Tak sayang, doktor tak marah adik. Doktor nak bantu adik. Adik kena kuat!”

“Tak mau, adik nak mati sebab doktor marah adik, tak senyum dengan adik!”

Apa perasaan anda kalau anda di tempat saya? Seorang anak yang sangat kecil sedang bertarung nyawa mengugut untuk mati di hadapan anda!

Seterusnya, seorang ibu lain membawa anaknya yang sakit ke hospital. Kata dia, “Syukur kami dapat datang ke hospital sebab sekarang perintah berkurung. Saya tak tahu apa akan jadi dengan anak saya jika tak dapat datang ke hospital!”

Ayat itu buat saya hampir menangis. Selain daripada masih ada salah faham masyarakat bahawa mereka boleh ke hospital jika sakit hatta negara berada dalam darurat, ada golongan yang tidak akan langsung membawa ahli keluarga yang sakit kerana takut dengan penguatkuasa.

Mereka adalah golongan warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri. Daerah saya akan dilanda bala yang lain jika mereka dijangkiti penyakit berjangkit dan tidak dirawat lebih awal. Saya bimbang, hospital akan mengalami kedatangan lambakan pesakit kritikal apabila mereka sudah tiada pilihan. Tapi, yang paling merisaukan saya adalah mereka telah menyebarkan penyakit itu dalam komuniti mereka dan menyebabkan wabak lain.

Di beberapa daerah di Semenanjung, ada wad kanak-kanak yang terpaksa ditutup dan ada Jabatan Kecemasan yang ditutup kerana tidak mampu menerima pesakit lagi ekoran bebanan COVID-19 yang menjadi-jadi. Sistem perubatan kita akan mengalami krisis besar apatah lagi semakin ramai staf perubatan dijangkiti virus ini. Hati saya sayu apabila ada doktor pakar yang dimasukkan ke ICU dan berada dalam keadaan kritikal.

Selepas ini, jika keadaan semakin tidak terkawal, keseluruhan doktor mungkin dikerah untuk melawan COVID-19. Jika ia berlaku, ramai pesakit lain akan terabai dan mungkin mati kerana segala sumber kemudahan dan kelengkapan hospital harus digunakan untuk membendung penularan wabak ini.

Kini, kami petugas perubatan telah menerima arahan ketat untuk tidak keluar dari daerah tempat kami bertugas. Memang terpaksa berada di sini untuk berkhidmat kepada pesakit. Jika situasi tidak terkawal dan kekurangan staf perubatan, keadaan akan menjadi semakin teruk kerana sumber tenaga kerja tidak mudah untuk diperolehi. Negeri lain juga telah mengalami ketepuan. Sekalipun ada negeri lain yang boleh menghantar bantuan doktor ke sini, mereka harus menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum bertugas.

Oleh itu, semua pihak mesti patuh akan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pemerintah dalam usaha untuk mengekang wabak ini. Ingatlah, anda juga yang akan menerima kesan buruk jika wabak ini tidak terkawal.

Komen