Berita Adalah Ciptaan Suratkhabar, Yang Zamannya Sudah Berlalu

Asalnya ungkapan yang digunakan oleh orang Melayu ialah “khabar berita.” Dalam manuskrip Melayu lama, ada ungkapan yang menyebut “tiada mendengar khabar berita”. Apa yang dimaksudkan dengan “berita” di sini ialah “sesuatu yang benar-benar berlaku.”

Perkataan “berita” berirama dengan perkataan “cerita”. Berita adalah juga cerita tetapi tidak semestinya semua cerita adalah berita. Cerita juga disebut sebagai kisah. Cerita adalah perkataan yang berasal dari bahasa Sanskrit sementara berita berasal dari perkataan bahasa Arab. Ada cerita benar atau kisah benar. Ada juga cerita rekaan atau cereka, yang disebut sebagai fiksyen. Tetapi berita itu adalah cerita benar. Kalau sesuatu berita itu tidak benar, ia tidak boleh disebut sebagai berita. Ada masanya terdapat kesilapan dalam sesuatu berita, maka dikatakan salah lapor. Maknanya kalau laporan yang salah, ia tidak dianggap sebagai berita. Berita mestilah sesuatu yang benar. Istilah fake news atau berita tak benar adalah suatu fenomena baharu. Ia berkait rapat dengan perkembangan Internet khususnya media sosial. Pada zaman media massa, tidak timbul berita tak benar. Berita tak benar adalah bukan berita.

Berita sebagai konsep adalah terjemahan daripada istilah bahasa Inggeris newspaper. News merupakan konsep yang diwujudkan beserta dengan ciptaan suratkhabar itu sendiri. Sebelum wujudnya suratkhabar, tidak ada lagi konsep news. Sebelum ia menjadi perkataan yang merupakan terjemahan news, berita hanyalah bermaksud seperti yang ada pada ungkapan “khabar berita”. Maknanya apa-apa maklumat yang disampaikan oleh seseorang secara lisan, bukannya tulisan, jauh sekali cetakan.

Suratkhabar adalah satu ciptaan radikal yang membawa karangan tulisan dalam bentuk cetakan. Ia mengubah tamadun manusia. Perkataan “suratkhabar” merupakan terjemahan kepada istilah bahasa Inggeris newspaper. Kalau diterjemahkan secara literal, sepatutnya ia menjadi “kertas berita”. Tetapi orang Melayu mengambil konsepnya untuk menjadi “surat khabar”. Kerana produk ini adalah lanjutan daripada surat, dan ia mengandungi khabar. Surat menggunakan kertas. Dan khabar di dalamnya ditulis dalam bentuk berita.

Tetapi kemudian orang sudah kurang menggunakan istilah “suratkhabar’. Ia digantikan dengan “akhbar” yang merupakan perkataan asal bahasa Arab bermaksud berita.

Akhbar asalnya merupakan lembaran besar yang direka bentuk menurut cara kemampuan mesin cetak pada masa itu. Suratkhabar yang berbentuk A4 dipanggil “newsletter” yang diterjemahkan menjadi “surat berita”.

Tetapi apa pun, akhbarlah yang membentuk konsep berita. Akhbar mempunyai dua komponen iaitu karangan atau editorial, dan iklan. Karangan pula datang dalam dua bentuk, iaitu tulisan dan gambar. Tulisan juga datang dalam tiga bentuk, iaitu berita, rencana dan pojok. Inilah dia tradisi amalan persuratkhabaran atau “newspapermanship”.

Berita datang dalam dua bentuk iaitu berita dan kapsyen atau caption. Kapsyen ini adalah berita yang mengiringi sesuatu gambar. Dalam persuratkhabaran, gambar tanpa kapsyen adalah haram. Kapsyen yang tidak lengkap adalah buruk.

Untuk mengapresiasi berita, ia perlu dilihat dari lima sudut. Prinsip, format, struktur, bahasa dan wadah.

Tiga prinsip berita ialah kebenaran, keadilan dan keindahan. Kebenaran itu berasaskan fakta. Ia pula berasaskan pada maklumat 5W dan 1H iaitu What (Apa), Where (Mana), Why (Mengapa), Who (Siapa), When (Bila) dan How (Bagaimana) dan ia diperoleh melalui sumber. Sama ada apa yang dilihat atau dialami oleh penulis berita, atau ia datang dari seseorang yang lain. Atau dari sesuatu dokumen. Komen atau pendapat juga boleh dilayan sebagai fakta jika ia relevan. Jadi, setiap fakta mesti disebut sumber. Nama, jawatan dan usia perlu dinyatakan. Keadilan pula bermaksud objektif, iaitu memberi ruang pada maklumat atau sudut pandangan bertentangan. Keindahan pula bermaksud sesuatu fakta atau komen itu menarik pada pembaca. Nilai sesuatu berita terletak pada relevan dan menarik pembaca akhbar berkenaan.

Format berita mempunyai tiga komponen. Pertama, garis tarikh atau dateline. Berita dimulakan dengan menyebut tempat dan tarikh ia ditulis. Umpamanya Kuala Lumpur, 12 Disember. Kedua, ia ditulis dalam bentuk perenggan. Satu perenggan terdiri daripada satu ayat yang penuh. Ketiga, berita ditulis sependek mungkin, dan tidak wajar lebih dari 15 perenggan. Setiap ayat tidak boleh berulang, dan ia mesti bersebab di situ.

Struktur berita adalah berbentuk piramid. Apa yang paling penting didahulukan, kemudian perenggan berikut adalah untuk mendokong perenggan di atasnya. Dengan berbentuk piramid, berita boleh dipotong dari bawah tanpa menjejaskan apa yang penting untuk disiarkan.

Bahasa berita merangkumi tiga perkara iaitu ringkas, padat dan sedap. Tetapi setiap perkataan hendaklah jelas dan tiada memberi ruang pada kesamaran maksud atau kesilapan tafsiran. Namun begitu, penulisan berita tetap memerlukan pematuhan nahu bahasa, dan setiap perkataan dieja tepat. Pun begitu, sikap yang diambil terhadap pematuhan nahu ialah memilih jalan ringkas dan membuang perkataan yang tidak perlu. Ia hendaklah menggunakan satu bahasa yang sempurna. Bahasa rojak ditolak oleh penulisan berita. Kalau perlu menggunakan bahasa lain, ia hendaklah disertakan terjemahan yang ditulis dalam kurungan. Setiap singkatan perlu dinyatakan maksudnya seolah-olah pembaca baru tahu tentang singkatan itu. Perkataan-perkataan dalam penulisan berita hendaklah yang umumnya difahamkan oleh masyarakat. Jika mahu memperkenalkan istilah baharu, ia harus dijelaskan maksudnya. Kesedapan membaca berita lahir daripada keragaman dalam penulisan itu. Seboleh mungkin kurangkan mengulangi perkataan yang sama. Dalam satu ayat tidak boleh ada satu perkataan yang diulang. Permulaan setiap perenggan hendaklah menggunakan perkataan yang berbeza dari paragraf sebelumnya. Petikan kata-kata langsung atau dialog daripada sumber menjadikan sesuatu penulisan itu menarik. Begitu juga dengan penggambaran terperinci terhadap suasana ketika berita itu dilaporkan.

Kelima, apa yang dimaksud dengan wadah ialah di mana berita itu diterbitkan. Setiap berita ada wadahnya. Akhbar adalah wadah siaran berita ini. Setiap akhbar mempunyai identiti dan ciri-ciri tersendiri yang dibentuk oleh pengarang diketuai oleh ketuanya.

Dalam bahasa Melayu, pengarang membawa dua perkataan apabila diterjemahkan pada bahasa Inggeris. Ia adalah editor dan author. Tetapi dari bahasa Inggeris, editor boleh diterjemahkan untuk menjadi pengarang dan penyunting. Tetapi penyunting di akhbar diterjemahkan menjadi sub-editor. Author sering disamakan dengan perkataan writer atau penulis. Tetapi penulis adalah mereka yang menulis. Pengarang tidak semestinya menulis. Pengarang adalah mereka yang mengolah sesuatu karya. Sebab itu hasil tulisan juga disebut karangan. Seperti karangan bunga.

Jadi pengarang akhbar atau editor mengolah atau menggubah sesuatu suratkhabar. Dalam satu akhbar terdapat banyak pengarang. Ada pengarang berita, pengarang rencana, pengarang sukan dan macam-macam lagi. Walaupun mereka juga menulis tetapi apa yang disebut sebagai mengarang ialah membentuk halaman akhbar yang menjadi tanggungjawab mereka. Sementara Ketua Pengarang adalah mereka yang mengolah keseluruhan sesebuah akhbar itu. Jadi segala berita menurut ciri-ciri akhbar yang dibentuk oleh Ketua Pengarang itu.

Zaman akhbar sedang berlalu. Mula-mula ia digantikan dengan media elektronik, diawali dengan radio dan televisyen. Penulisan berita untuk radio dan televisyen adalah berbeza tetapi ia tetap sebagai perkembangan daripada akhbar. Tetapi media elektronik adalah juga sebahagian dari media massa yang meliputi media cetak iaitu akhbar, majalah dan buku.

Dengan zaman Internet, keadaan ini semua berubah. Media digital merangkumi bukan saja media massa tetapi juga media sosial. Penulisan berita untuk media digital sudah berbeza dari media cetak. Walaupun ia tetap mengambil contoh daripada pemberita tradisi, tetapi bentuknya sudah berubah dan akan membentuk menjadi perkara lain. Sekarang ada konsep “clickbait” umpamanya. Maka perbincangan mengenai penulisan berita dalam media digital adalah perkara lain.

Komen