Benarkah MUDA Lebih Hebat Berbanding PKR?

Saya membaca dengan penuh keterujaan sebuah artikel tulisan Bridget Welsh berjudul By The Numbers: PKR vs MUDA yang terbit di laman Malaysiakini beberapa hari lalu. Bridget Welsh ialah seorang penyelidik di Universiti Nottingham Malaysia.

Dalam menjawab kemelut tentang permohonan MUDA untuk menyertai Pakatan Harapan (PH), Welsh mengajak kita semua untuk melihat kembali keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

Sememangnya keputusan PRN Johor kerap dijadikan barometer untuk menilai kekuatan PKR vis-à-vis MUDA. PRN Johor merupakan satu-satunya pilihan raya setakat ini yang pernah disertai MUDA. PRN Johor juga menyaksikan pertembungan antara PKR dan MUDA dalam satu kerusi DUN iaitu Larkin.

Dalam artikel tulisannya, Welsh menyajikan data yang menunjukkan bahawa MUDA sebenarnya mencatatkan keputusan yang lebih baik berbanding PKR.

Antara yang ditekankan oleh Welsh adalah, dalam PRN Johor calon dari MUDA tiada yang hilang deposit berbanding tujuh calon dari PKR yang hangus deposit. MUDA juga dibuktikan berupaya menarik sokongan pengundi muda jauh lebih baik berbanding PKR, yang lebih mengharapkan pengundi berumur yang setia kepada parti itu.

Data Tidak Menipu

Satu ungkapan yang kerap digunakan dalam menganalisis keputusan pilihan raya adalah ‘data tidak menipu’. Dalam menilai prestasi antara PKR dan MUDA, sememangnya kita boleh melihat angka-angka sedia ada banyak memihak kepada MUDA.

Berdasarkan pada hujah ini sahaja, ramai pemerhati politik berpandangan bahawa MUDA boleh membawa tawaran yang baik untuk PH sekiranya diterima dalam koalisi politik itu. Bahkan ada yang berani mengusulkan bahawa MUDA boleh mengambil alih peranan PKR secara lebih meluas khususnya di kerusi-kerusi yang mempunyai peratusan pengundi muda atau Melayu yang tinggi.

Namun walaupun ‘data tidak menipu’, kita juga harus waspada bahawa data juga boleh dimanipulasi untuk memberikan gambaran yang kena dengan naratif yang mahu disampaikan.

Jika PRN Johor dijadikan barometer bagi mengukur kekuatan PKR vis-à-vis MUDA, maka kita juga tidak boleh menutup sebelah mata terhadap beberapa data lain berkaitan kedua parti ini.

PRN Johor menyaksikan PKR bertanding di 20 kerusi DUN berbanding tujuh kerusi ditandingi MUDA. Kedua-dua parti hanya menang satu kerusi dan mereka juga bertembung di Larkin selepas gagal dalam negosiasi kerusi.

Ikut kiraan undi popular, PKR memperolehi keseluruhan 82,556 undi dari 20 kerusi ditandingi berbanding 48,072 undi untuk MUDA di tujuh kerusi DUN. Purata undi PKR di setiap kerusi adalah 4,128 undi manakala purata undi MUDA jauh lebih baik iaitu 6,867 undi. Tentu sekali berdasarkan data ini kita akan bersetuju prestasi MUDA melebihi PKR, bukan?

Mitos Puteri Wangsa

Namun jika kita mengambil kerusi yang dimenangi PKR (Bukit Batu) dan MUDA (Puteri Wangsa) dan mengasingkannya dari kiraan di atas, data yang kita akan perolehi tidak jauh berbeza antara dua parti ini.

Tanpa mengambil kira Bukit Batu, undi popular diperolehi PKR adalah 73,117 undi dan puratanya adalah 3,848 undi untuk 19 kerusi. MUDA pula hanya memperolehi undi popular sebanyak 25,188 undi dan purata mereka jatuh kepada 4,198 undi untuk enam kerusi jika Puteri Wangsa diasingkan, tidak jauh berbeza dengan purata undi PKR.

Apa yang boleh kita rumuskan dari data ini adalah, kemenangan besar MUDA di Puteri Wangsa membantu dalam memberikan gambaran keseluruhan bahawa MUDA mencatatkan keputusan lebih baik berbanding PKR. Hakikatnya angka dari Puteri Wangsa ini mengaburi gambaran terperinci prestasi sebenar MUDA vis-à-vis PKR.

Jumlah undi diperolehi oleh calon MUDA, Amira Aisya di Puteri Wangsa adalah sebanyak 22,884 undi iaitu 48% dari jumlah keseluruhan undi popular MUDA dalam PRN Johor. Dalam erti kata lain, kemenangan besar di Puteri Wangsa telah memesongkan data keseluruhan parti MUDA. Bandingkan pula dengan jumlah undi dimenangi PKR di Bukit Batu iaitu sebanyak 9,439 undi yang mewakili hanya 11% dari keseluruhan undi popular PKR.

Apa yang boleh kita lihat dari dapatan ini ialah, prestasi MUDA dilonjak melalui kemenangan besar di Puteri Wangsa. Tetapi jika kita tidak mengambil kira Puteri Wangsa, tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan pencapaian parti setahun jagung ini.

Ini kerana di kerusi-kerusi lain yang MUDA tewas, peratusan undi yang dikutip adalah di bawah 20% kecuali di Tenang dan Bukit Permai. Sebaliknya PKR melalui calonnya yang bertanding walaupun tewas, berjaya meraih lebih 20% undi di lapan kerusi iaitu Kempas, Tiram, Layang-Layang, Semerah, Bukit Naning, Gambir, Pemanis dan Buloh Kasap.

Kerusi Selamat

Welsh juga dalam artikelnya berpendapat bahawa istilah ‘kerusi selamat’ tidak wujud dalam PRN Johor apabila membandingkan kerusi ditandingi PKR dan MUDA. Ini tidak tepat.

Umum tahu bahawa pengundi Melayu tidak cenderung mengundi PKR atau mana-mana parti komponen PH dan mereka berpandangan yang sama terhadap MUDA yang dilihat sebagai sekutu PH. Walaupun PKR (dan mungkin juga MUDA) adalah parti pelbagai kaum yang didominasi Melayu, ia masih lagi banyak bergantung harap pada sokongan pengundi bukan Melayu.

Justeru kriteria kerusi untuk PKR dan MUDA adalah hampir sama, kawasan bandar atau pinggir bandar dengan kemajmukan Melayu tetapi bukan majoriti Melayu yang ketara.

Sekiranya kita pecahkan kategori kerusi DUN di Johor kepada empat, iaitu supermajoriti Melayu dengan 76% hingga 100% pengundi Melayu, majoriti Melayu (51% – 75%), minoriti Melayu (26% – 50%) dan superminoriti Melayu (0% – 25%) maka pecahannya antara PKR dan MUDA adalah seperti berikut:

Supermajoriti Melayu – 7 PKR, 0 MUDA

Majoriti Melayu – 12 PKR, 5 MUDA

Minoriti Melayu – 1 PKR, 2 MUDA

Superminoriti Melayu – 0 PKR, 0 MUDA

Jelas PKR bertanding di tujuh kerusi dengan supermajoriti pengundi Melayu dan tentunya paling tidak selamat. Tidaklah juga menghairankan di kerusi-kerusi inilah calon PKR hangus wang deposit mereka dalam PRN Johor.

Di kerusi majoriti Melayu yang menyaksikan PKR bertanding di 12 kerusi dan MUDA pula di lima kerusi, kedua-dua parti tewas di semua kerusi tersebut.

Hanya di kerusi minoriti Melayu sahaja calon PKR dan MUDA berjaya mencapai kemenangan. PKR yang hanya bertanding di satu kerusi iaitu Bukit Batu berjaya mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 2018. MUDA pula yang bertanding di dua kerusi hanya menang satu iaitu Puteri Wangsa. Satu lagi kerusi iaitu Tenang walaupun terdiri dari majoriti pengundi bukan Melayu gagal dikuasai MUDA walaupun setelah meletakkan calon bukan Melayu tunggal bertanding di DUN tersebut iaitu Lim Wei Jiet.

Apa yang boleh kita cerap dari data di atas?

Jelas PKR banyak bertanding di kerusi tidak selamat, tujuh kerusi yang mustahil untuk dimenangi dan 12 kerusi sukar dimenangi. Kerusi-kerusi yang sebenarnya tidak boleh ditandingi oleh komponen PH lain sama ada DAP atau AMANAH, tetapi dipikul oleh PKR atas nama setiakawan. Hanya satu kerusi selamat untuk PKR dan ia dibuktikan oleh parti itu mampu dipertahankan mereka.

Berbeza pula dengan MUDA yang ‘dihadiahkan’ dengan dua kerusi selamat tetapi sudahnya hanya mampu menang di satu kerusi.

Kesimpulan

Maka apa yang boleh kita simpulkan dari dapatan ini semua?

Pertama sekali, data-data yang dijaja untuk mengatakan prestasi MUDA jauh lebih baik dari PKR adalah terpesong setelah menolak angka-angka melibatkan Puteri Wangsa. Tanpa Puteri Wangsa, undi popular MUDA tidak sebesar mana dan prestasi mereka di kerusi lain juga tidaklah gah.

Kedua, PKR dibebankan dengan tugas lebih berat bertanding di kerusi tidak selamat berbanding MUDA dalam sebuah pilihan raya di negeri yang pernah dinobatkan sebagai kubu terakhir UMNO. Kita semua tahu sebelum PRU14 negeri Johor bukanlah sebuah negeri di mana PKR mempunyai pengaruh dan sokongan yang luas.

Tidak dinafikan, MUDA mungkin boleh menawarkan kelebihan kepada PH dari segi menarik sokongan pengundi muda atau atas pagar. Tetapi kelebihan ini juga boleh dijana sendiri oleh parti sedia ada dalam PH jika kena caranya.

PRN Johor hanyalah satu pilihan raya negeri. Amatlah besar silapnya jika bersandarkan pada satu PRN kita sudah mahu menobatkan MUDA jauh lebih hebat berbanding PKR.

Komen