Belajar Tinggi-Tinggi Sampai Jiwa Hamba

TAHUN 2018 merupakan tahun di mana saya kerap kali ke Indonesia. Sesiapa yang ke Indonesia pasti akan terkejut dengan budaya wacananya. Siapa sangka negara yang selalu dipandang rendah, disinonimkan dengan pembantu rumah, tukang kayu atau pekerjaan-pekerjaan yang berkelas rendah lainnya mempunyai budaya intelektual yang subur berbanding kita.

Anda akan terkejut bila melihat pemuda yang sanggup bersesak-sesak di universiti untuk mendengar kuliah tentang Islam progresif, demokrasi, sosialisme literasi kritis. Soalan dari mereka bertubi-tubi dan rancak. Pengurusan universiti pula hampir setiap malam cuba mengusahakan forum atau diskusi untuk pelajarnya.

Bagi mereka waktu muda adalah waktu untuk meneroka, menjelajah idea, meramas buku dan mempertimbangkan segala kemungkinan yang ada. Waktu muda adalah waktu untuk mempertahan demokrasi dan mengangkatnya ke tingkat tinggi supaya apabila meningkat dewasa demokrasi tidak diperalatkan dan tidak dikhianati.

Namun saya terkejut apa yang berlaku di sini. Sosok seperi Fahmi Reza dihalang untuk berdiskusi atau berceramah di dalam universiti. Fahmi tidak mengajar mahasiswa untuk menjadi fasis, rasis, atau ekstremis sebaliknya yang diajarkan oleh Fahmi itu adalah demokrasi, ilmu asas penting menjelang pilihanraya. Kenapa ia penting? Kerana literasi demokrasi dan pilihanraya pada pengundi muda masih lemah. Ramai lagi yang perlu disuburkan kefahaman mereka tentang konstitusi, perlembagaan, dasar dan mengapa demokrasi itu penting.

Universiti Berperanan Sebagai

Soalan penting hari ini, apakah peranan universiti dalam mendidik semangat demokrasi dalam kalangan masyarakat bukan sahaja mahasiswa? Jika demokrasi dikhianati adakah universiti akan menjadi garda depan yang pertama mempersoalkan dan mengkritik tindakan itu? Atau adakah universiti sendiri mengamalkan idea demokratis lalu menyuburkan kepada pelajarnya? Pada tahun 2018, autonomi universiti telah dibuka seluasnya. Bermakna segala wacana boleh berlangsung di universiti tanpa perlu dihalang, tujuannya hanya satu untuk memperkenalkan budaya wacana dan gagasan idea yang pelbagai dalam minda pelajar. Tetapi apa yang berlaku?

Salah satu universiti telah mengusulkan untuk mengadakan satu program sembang santai diberi tajuk “Program Sembang Santai Bosku” Hari ini panel yang mahu menyampaikan sembang santai itu telah disabitkan hukuman penjara akibat tindakan korupsinya semasa menjadi pemerintah. Tidakkah ini menggambarkan bahawa universiti telah kehilangan sentuhan ilmu dan moralnya? Dan tidakkah ini menggambarkan bukan sahaja politik yang perlukan reformasi malahan universiti juga?

Kita pergi kepada peristiwa kedua, iaitu “Langkah Sheraton” langkah di mana demokrasi telah dilacurkan untuk kepentingan penguasa. Apa yang terjadi pada universiti? Adakah kita dapat membaca hebahan rasmi dari universiti yang mengutuk dan mengkritik tindakan itu pada publik? Adakah universiti secara berhari-hari mengadakan forum, seminar, pembentangan kertas kerja untuk mengkritik segala tindakan yang mencemarkan demokrasi? Atau paling tidak menjadi seperti Fahmi Reza yang merakam video kemudian menyebarkan kepada semua bahawa pengkhianatan demokrasi adalah tindakan yang melanggar hukum? Kalau tidak ada jadi apakah peranan universiti itu?

Ketiga adalah terkait dengan ketegangan kaum. Politik di belahan kita banyak yang mengangkat isu kaum sebagai hujahan balasan untuk meraih kekuasaan. Malah banyak peristiwa terkait perkauman yang berlaku yang tak mungkin saya dapat jelaskan semuanya di sini. Sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik tapi sebaliknya semakin memburuk hari demi hari. Lebih mengejutkan adanya perhimpunan yang bersifat perkauman diadakan secara besar-besaran. Nah, jadi apakah posisi pihak universiti terhadap perkara ini? Apakah universiti akan menulis seribu buku terkait buruknya semangat fasis yang berleluasa? Malangnya yang giat dihalang itu adalah berkaitan demokrasi berbanding tersebarnya semangat rasis dan fasis. Jangan-jangan di dalam universiti itu sendiri ada pelakunya. Sangat-sangat memalukan.

Pemuda Yang Menjadi

Sepatutnya hari ini universiti sudah boleh menarik nafas lega kerana pemuda telah menunjukkan sifatnya ke arah cita sempurna. Cita sempurna di sini bermaksud mahukan pemahaman yang lebih terkait moraliti. Pemuda yang menjadi adalah tekad kepada perubahan. Idealisme pemuda membezakan ia dari kelelahan yang tua dewasa. Bencana apabila para pemuda sudah tiada cita untuk membangunkan sesuatu yang lebih baik dari yang sedia ada, ataupun berdepan dengan cabaran masa kini yang menghimpit kita semua. Cita yang diyakini adalah suatu impian, bukan pula angan-angan kosong. Tanpa cita atau impian kita tidak bersedia untuk bergerak melakukan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Disebabkan itu mereka mencari kelas-kelas di luar untuk belajar demokrasi secara terus.

Namun, sayangnya, minat elit yang berkuasa terhadap para pemuda, mengarah kepada kepentingan politik jangka pendek, sehingga pemuda sering digembeleng menjadi sumbu politik, sebagai bahan untuk kekuatan politik, khasnya sewaktu pengundian dan kempen politik semasa. Makanya bukan pendidikan politik yang didedahkan kepada mereka, tetapi kepentingan politik semata-mata.  Keterabaian kepada para pemuda dalam banyak negara Dunia Ketiga telah dan sedang mengundang masalah yang lebih besar dan rumit, sekaligus mencerminkan kegagalan elit dominan dalam menangani masalah golongan ini. Kritikan ini sama yang telah diungkapkan oleh Franz Fanon.

“The large proportion of young people in the underdeveloped countries raises specific problems for the government, which must be tackled with lucidity. The young people of the towns, idle and often illiterate, are a prey to all sorts of disintegrating influences. It is to the youth of an underdeveloped country that the industrialized countries often offer their pastimes. Normally, there is a certain homogeneity between mental and material level of the members of any given society and the pleasures which that society creates for itself. But in underdeveloped countries, young people have at their disposition leisure occupations designed for the youth of capitalist countries: detective novels, penny-in –the –slot machines, sexy photographs, pornographic literatures, films banned to those under sixteen, and above all alcohol. In the West, the family circle, the effects of education, and the relatively high standard of living of the working classes provide a more or less efficient protection against the harmful action of these pastimes. But in an [underdeveloped] country, where mental development is uneven, where the violent collision of the two worlds has considerably shaken old traditions and thrown the universe of the perceptions out of focus, the impressionability and sensibility of the young [African/Asian/Latinos] are at the mercy of the various assaults made upon them by the very nature of Western culture. His family very often proves itself incapable of showing stability and homogeneity when faced with such attacks .”

Kesimpulan

Belajar tinggi-tinggi sampai jiwa hamba adalah satu ungkapan yang harus dibuang. Jiwa hamba adalah jiwa yang terkurung sepatutnya semakin tinggi belajar semakin bebas jiwa semakin tercerah minda. Jadi belajar tinggi-tinggi sampai jiwa merdeka harus direalisasikan terutama pagi pihak universiti. Itulah amanah pendidikan dan amanah masyarakat. Hentikanlah segala tindakan yang mengancam kesuburan pemikiran jika diteruskan universiti tidak akan ada peranan lagi.

Komen