السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ غَشَّهُ ضَلَّ وَمَنْ نَصَحَهُ اهْتَدَى
Maksudnya: “Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6991)]
Kecoh di media sosial Twitter baru-baru ini apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat satu ciapan dengan mengemukakan hadis di atas.
Ada dua sebab kenapa ia mengundang reaksi ramai pengguna Twitter yang lain. Pertama, ciapan tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk meletakkan sistem monarki sebagai satu sistem yang tidak boleh dikritik, justeru penggunaan istilah ‘bayangan Allah’ untuk mengukuhkan hujah tersebut. Kedua, ciapan tersebut didapati menggunakan hadis yang dikatakan dhaif mengikut pandangan beberapa pakar hadis.
Kita pergi terlebih dahulu ke persoalan hadis tersebut yang dikatakan dhaif.
Bagi menjawab tuduhan ianya hadis dhaif, eloklah kita memetik tulisan mantan Mufti Wilayah Persekutuan yang kini bergelar Menteri Agama. Beliau yang merupakan bekas pesakit Covid-19 dan pernah dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada menulis dalam Irsyad Al-Hadith Siri Ke-281: Pemerintah Adalah Bayangan Allah.
Memetik dari bahagian penutup dalam artikel tulisan beliau:
Kesimpulannya, hadith yang menyatakan bahawa pemerintah adalah bayangan Allah adalah dhaif dan makna hadith ini menunjukkan bahawa pemerintah mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding rakyat yang berada di bawahnya. Semoga Allah SWT memelihara dan memacu pemerintah-pemerintah Islam menuju ke arah keredhaan Allah SWT. Amin.
Apabila mantan Mufti Wilayah Persekutuan yang kini bergelar Menteri Agama sendiri membuat kesimpulan sedemikian, maka siapalah kita yang cetek ilmu hadis ini untuk mempertikaikan? Justeru betullah JAKIM telah membuat satu ciapan di Twitter menggunakan hadis yang dhaif.
Menteri Agama ketika zamannya menjadi mufti juga ada menulis:
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.
Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. [Lihat: Tafsir al-Sya’rawi, 2360/4]
Maknanya dalam erti kata lain, suruhan taat kepada pemerintah itu terpakai jika pemerintah itu taat kepada Allah dan Rasulullah SAW. Jika tidak, maka pemerintah itu layak digelar pemerintah yang zalim dan tidak lagi wajib untuk kita taat kepadanya.
Ini membawa kembali kepada persoalan pertama tentang usaha pihak tertentu untuk meletakkan institusi diraja sebagai satu institusi yang tidak boleh dikritik tetapi perlu ditaati sepenuhnya kerana ia adalah ibarat ‘bayangan Allah’ di bumi. Tidaklah pula kita diajar selama ini bahawa Allah SWT itu mempunyai bayang-bayangNya sendiri.
Adakah taat kepada Allah dan Rasul itu boleh dikira cukup dengan mengikuti lima rukun Islam seperti mengucap, solat, puasa, zakat dan naik haji?
Atau adakah ketaatan itu termasuk berlaku adil, amanah dan sebagainya? Atau adakah dengan istilah ‘bayangan Allah’ maka sultan atau pemerintah itu langsung suci tidak boleh dikritik dan perlu ditaati 100%?
Bagi menjawab soalan ini, elok rasanya kita rujuk pula kepada seorang lagi mufti dari negeri kecil di utara Semenanjung.
Mufti Perlis pernah menulis dalam artikel berjudul Sultan Jadi Bayangan Allah, antaranya:
Kini kita wajar bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin dijustifikasikan segala tindakannya.
Jika mereka itu berjudi di London ini sehingga tergadai balak dan minyak di negara mereka, apakah itu bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti Assad di Syria, atau mereka rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat jelata, apakah mereka tetap dimuliakan sebab mereka bayangan Allah?
Ini bukan saya yang tulis, tapi Mufti Perlis yang tulis.
Seterusnya beliau menyebut lagi bahawa:
Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil. Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud manusia mengganti Allah di bumi.
Ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam al-Baidawi berkata:
“Khalifah itu dari bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam AS kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya.
“Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka.” (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64).
Makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh dibahas dan dipertikaikan. Sama sekali tidak!
Dari petikan di atas jelas istilah ‘bayangan Allah’ itu merujuk kepada amanah seorang pemimpin dalam menjaga rakyatnya. Yang dimaksudkan dengan menjaga ini adalah seperti memakmurkan bumi (tidak mencemar alam sekitar, tidak membalak sewenangnya), menguruskan manusia (berlaku adil tanpa layanan dua darjat, menegakkan perkara yang hak dan menolak yang bathil), menyempurnakan keperluan mereka (memastikan nasib rakyat terbela, yang lemah dan miskin dilindungi bukan yang kuat dan kaya dipuja tinggi) serta melaksanakan perintah Allah ke atas mereka (yang ini, bukan sekadar nikah kahwin, tahnik bayi atau kutip zakat semata).
‘Bayangan Allah’ bukanlah bermaksud seorang pemimpin itu, baik bergelar sultan, raja, perdana menteri, presiden, canselor atau pun tuan guru parti itu langsung tidak boleh dikritik atau ditegur dan hendaklah ditaati membabi buta seperti Hang Tuah taat pada sultannya.
Oleh itu jelaslah sudah kepada kita bahawa yang pertama, ‘bayangan Allah’ tidak bermaksud sultan atau pemerintah tidak boleh dikritik dan perlu ditaati sentiasa; manakala yang kedua pula hadis yang digunakan JAKIM untuk menyokong pandangan sedemikian adalah hadis yang dhaif.
Namun jika kita masih mahu memilih untuk mengguna pakai hadis tersebut dan berpegang bahawa sistem monarki wajib ditaati dan tidak boleh ditegur, maka perlulah juga kita menerima pakai hadis-hadis lain yang berbicara tentang pemerintah yang zalim dan tugas rakyat dalam situasi begini. Antaranya:
“Di antara jihad yang teragung ialah perkataan benar yang diucapkan di sisi penguasa yang zalim”. (HR al-Tirmizi, sahih)
Selain itu, ada juga hadis yang menyebut khusus tentang pemerintah yang zalim:
“Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.” (Sahih Muslim, no: 142)
Dan juga:
“Mana-mana pemimpin yang menipu rakyatnya, maka tempatnya di neraka” (Riwayat Ibn Mandah di dalam kitabnya al-Iman. Hadis No: 560)
Akhir sekali, ucapan berikut oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq boleh kita jadikan iktibar dalam memahami konsep hubungan pemerintah dan rakyat:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat.
Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan.
Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Kesimpulannya, baik pemerintah atau rakyat masing-masing ada peranan dan batasan. Pemerintah berhak ditaati tetapi hendaklah mereka juga adil dan amanah. Rakyat berhak disantuni tetapi hendaklah mereka bersuara apabila berlakunya kezaliman termasuklah salah guna kuasa, penindasan atau pun pengabaian oleh pemerintah yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah.
Kita tidak boleh bulat-bulat berpegang bahawa sultan atau sistem monarki itu ‘bayangan Allah’. Kerana jika itu pegangan kita adakah kita juga mahu percaya ‘bayangan Allah’-lah yang memancung kepala cucu Rasulullah SAW di padang Karbala ribuan tahun dahulu?

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.