Basikal Lajak Dan Sistem Terlajak Rosak

Sekumpulan remaja sedang menunggang basikal mereka di sebuah jalan sepi. Keadaan fizikal basikalnya agak pelik, tiada brek tangan, rangka basikal dan bar hendalnya sangat kecil berbanding saiz basikal biasa. Dalam kata mudahnya basikal ini tidak punya kriteria keselamatan yang sepatutnya.

Mereka meluncur laju di jalan yang gelap, memperagakan pelbagai aksi termasuklah Superman, Wheelie juga pelbagai istilah lagi yang tidak saya tahu. Tibalah mereka di persimpangan jalan, adanya sebuah kereta yang memerhati perbuatan anak-anak remaja itu.

Hon kereta dibunyikan kuat, anak-anak itu mula mengayuh menghampiri bahu jalan, sehinggalah kereta tadi memblokir jalan mereka dan memaksa sekumpulan remaja itu memberhentikan kayuhan.

Seorang lelaki tua berumur lingkungan 50-an keluar dari kereta lalu menengking anak-anak muda yang mempamerkan aksi bahaya tadi, tak cukup dengan itu sorang-sorang dilempangnya sebagai pengajaran dan peringatan supaya perkara itu tidak akan berulang.

***

Aktiviti basikal lajak ini sebenarnya sudah lama berlangsung, malah semasa saya menjadi guru di sekolah, inilah topik perbincangan yang paling hangat diperkatakan oleh pelajar yang berusia dalam lingkungan 13 hingga 15 tahun.

Persoalnya mengapa aktiviti ini terus berlangsung? Dan adakah dengan menggunakan kekerasan semacam melempang atau menengking anak-anak tadi masalah ini akan selesai? Atau dengan menayangkan kes-kes yang berlaku lalu menyalahkan ibu dan bapa seratus peratus dapat menyelesaikan kemelut ini?

Jika jawapannya ‘ya’ mengapa kes ini tidak selesai sehingga ke hari ini?

Menjenguk Ketempangan Sistem

Langkah mudah bagi menyelesaikan kes ini adalah dengan menuduh atau menuding jari kepada pelaku. Ironinya kita selalu katakan bahawa anak-anak tidak matang dalam berfikir tapi kita salahkan mereka kerana berfikir sedemikian, tambahan lagi bila yang dewasa menggunakan kekerasan bermakna ada yang tidak kena dengan sistem kita, kerana sepatutnya sistem ini menawarkan penyelesaian.

Hal utama sepatutnya kita perlu ada adalah kesedaran kritis. Kesedaran yang melihat sistem dan keadaan sekeliling semasa mahu menyelongkar akar masalah.

Mengapa anak-anak ini gemar terlibat dengan aktiviti bahaya?

Sistem ekonomi kita tersangat individualistik, dan agihannya sangatlah tidak adil. Ada pihak yang mendapat untung melebihi usahanya, ada pula yang berusaha melebihi upahnya. Maka wujudnya jurang kaya miskin yang melebar. Yang kaya makin kaya dan miskin makin miskin.

Kita gagal melihat bahawa susunan masyarakat itu adalah berdasarkan kelas bukannya kaum. Laungan ketuanan tidak berguna jika kelas masyarakat masih terabai.  Bak kata Saidina Ali;

“Kemerdekaan tidak akan wujud selagi orang masih bergelut untuk makan, masyarakat baik tidak akan terlahir tanpa selesainya hal itu.”

Jadi jurang kemiskinan yang melebar merupakan antara faktor yang perlu digariskan. Kebanyakan yang terlibat dalam masalah ini merupakan dalam kalangan keluarga B40. Anak-anak yang tidak mendapat kemudahan asas yang baik semisal rumah yang sempit, makan pakai yang terabai juga tidak punyai wang untuk mengikuti program berbayar lalu memilih dan melakukan aktiviti mereka sendiri.

Aktiviti ini bajetnya rendah hanya perlu mengubahsuai basikal mereka sendiri lalu menjadikan salah satu eskapisme yang paling asyik kerana dapat keluar seketika dari memikirkan kesempitan dan kesusahan hidup mereka lalu berseronok. Berbeza dari mereka yang berkemampuan, anak-anak mereka boleh dihantar ke tempat-tempat yang lebih selesa dan terjamin.

Kemudian kita marahkan ibu bapa yang gagal menjaga anak sehingga membiarkan anak-anak mereka terabai. Ada betul dan ada tidaknya, jika si ibu atau si ayah berkerja untuk menampung kehidupan keluarga adakah kita patut salahkan juga? Jika mereka berhenti kerja siapa lagi mahu menyambung menambah pendapatan mereka? Malah jika mereka berhenti pun apa jaminan kita bahawa masalah ini akan selesai? Di sini kita berhadapan dilema besar, mana satu yang patut kita dahulukan? Kerana keduanya memberi impak besar kepada manusia. Namun jika kejadian ini terus berlaku dan berlanjutan maka kitalah yang berdosa kerana anak-anak ini mati kerana pengabaian dari kita semua.

Selain faktor kemiskinan, sudah tentu pendidikan akan terpalit sama. Lebih-lebih lagi bagaimana sistem pendidikan itu dikendalikan buat para remaja. Misalnya, sekolah tidak menyediakan kurikulum selepas tamat waktu sekolah. Peranan sekolah hanya berfungsi sehingga loceng terakhir dibunyikan selepas itu pagar akan dikunci kemas. Sekolah tidak menjadi satu hab untuk memperkembangkan potensi pelajar.

Aktiviti kultural di sekolah tidak bergerak tiada aktiviti semisal sukan, teater, bacaan, permainan yang boleh melibatkan seluruh anak setelah tamat waktu atau sewaktu cuti sekolah. Sudahnya, anak-anak ini tiada program yang dapat mengisi masa lapang mereka. Jadi mereka mengisi masa ini dengan aktiviti sendiri. Kegagalan sistem inilah yang perlu dinilai.

Selain sekolah, kurangnya aktiviti berbudaya dalam masyarakat juga merupakan antara faktornya. Kita semua marah kononnya tanda sayang. Tapi mana alternatifnya? Apa yang boleh dilakukan? Adakah komuniti yang berganding bahu mahu mewujudkan lapangan-lapangan bagi remaja-remaja ini menikmati hobinya? Dari keseniaan, sastera sampailah kemahiran tidak ditawarkan. Jika ada pun kelas-kelas yang berbayar.

Sebab itu kelas menengah dan kelas atas tidak mendepani masalah ini, kerana mereka punya wang untuk menghantar anak mereka ke kelas-kelas terancang semisal kelas muzik, taekwando, memasak atau apa saja kelas lain bagi mengembang potensi seterusnya memenuhi masa lapang mereka sewaktu ayah dan ibu mereka berkerja. Ini berbeza dengan masyarakat kelas bawah.

Selepas kejadian tragik itu terjadi, diharapkan bahawa kawasan-kawasan tumpuan ini diperhati dan diperketatkan kawalan. Bukan apa kadangkala sistem pengawasan dan pengawalan pihak berkuasa kita berada di tahap yang membimbangkan. Kawasan-kawasan yang sepatutnya diperhatikan dan diberi tumpuan tapi tidak dijaga dengan baik atau terlepas dari dijaga perlu diberi perhatian. Kita tidak mahu sekadar polisi atas kertas yang cantik tapi implementasinya yang bermasalah.

Kesimpulan

Kita perlu menginsafi atas kes remaja yang maut kerana aktiviti ini dan harus melakukan sesuatu. Sebenarnya faktor ini jika dikorek akan semakin bertambah, tapi akarnya tetap sama iaitu kelemahan sistem. Sistem yang sepatutnya diperbaiki. Menyalahkan anak-anak ini, atau ibu bapa saja tanpa ambil tahu apa sebenarnya yang terjadi tidak akan menyelesaikan masalah. Malah masalah besar menanti sekiranya kita sedar bahawa kejadian ini berlaku, tapi kita tidak punya kesedaran untuk mengubah sistem yang terlajak rosak tadi kerana ada yang lebih buruk dari kezaliman iaitu sifat tidak ambil tahu.

Komen