Banjir Bukan Ujian, Ia Adalah Bencana Akibat Tamak Haloba Manusia Menebang Hutan

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Bayangkan anda sedang berada di tengah padang. Mungkin untuk bermain bola, atau menerbangkan layang-layang atau sekadar berkelah di atas tikar mengkuang sambil menangkap foto Insta-worthy. Dan tiba-tiba langit bertukar mendung lalu hujan turun dengan lebatnya.

Tindakan pantas anda pastilah untuk bertempiaran lari mencari tempat berteduh. Jika tiada kawasan berbumbung, maka pilihan yang berikutnya tentulah mencari pohon rendang. Rimbunan daun dan cabang yang ada menapis air hujan seperti payung semula jadi, mengurangkan titisan hujan yang membasahi diri anda.

Jika sebatang pokok boleh menjadi payung buat kita, bayangkan ribuan atau mungkin jutaan batang pokok di hutan berfungsi sebagai payung semulajadi? Pada skala besar sebegitu, pokok-pokok bertindak sebagai kanopi melindungi dataran tanah hutan dari ditimpa hujan lebat secara terus. Jika anda pernah berada di dalam hutan ketika hujan lebat, anda pasti tahu bahawa kita tidak akan sekuyup seperti berada di tengah padang ketika hujan.

Para penyelidik alam mengakui fungsi hutan sebagai kaedah semulajadi menghalang bencana banjir, dari atas ke bawah. Pada peringkat pertama, rimbunan daun di kanopi hutan bertindak sebagai halangan semula jadi untuk air hujan terus menimpa aras tanah. Daun-daun pokok bertindak mengurangkan kuantiti air hujan dan pada masa mengurangkan kelajuan titisan air hujan yang menimpa aras tanah. Sejumlah air hujan pula akan ditakung oleh daun-daun ini dan seterusnya akan disejat menjadi wap air.

Pada peringkat kedua, batang pokok dan susur akar di aras tanah bertindak sebagai benteng yang mengalirkan air ke laluan lain agar tidak terus ke dalam sungai. Susur akar yang besar juga bertindak sebagai empangan untuk takungan air di dalam hutan. Kurangnya jumlah air yang mengalir terus ke dalam sungai ketika hujan bermakna kurangnya risiko lembangan sungai melimpah ketika hujan turun dengan lebat.

Di peringkat ketiga pula, air hujan yang mungkin jatuh dan meresap ke tanah akan diserap kembali oleh sistem akar pokok. Ini sekaligus mengurangkan kandungan air di dalam tanah yang boleh membawa kepada berlakunya banjir. Pada masa yang sama, cengkaman sistem akar memastikan kurangnya risiko berlaku pergerakan tanah yang dibawa air ke dalam sungai, yang akan mengakibatkan berlaku lebihan mendapan yang mencetekkan sungai, atau risiko berlakunya tanah runtuh.

Dengan kaedah mengurangkan titisan hujan, memperlahankan aliran air hujan dan menyerap kembali air yang masuk ke bawah tanah; kewujudan hutan sememangnya memainkan peranan besar sebagai pencegah banjir semula jadi. Tidak perlu pada projek besar membina perparitan, mendalamkan sungai, mengorek kolam takungan, membina terowong banjir atau tebatan banjir. Cukup dengan adanya hutan sudah memadai.

Malahan, kajian penyelidik alam mengakui bahawa pengekalan air di kawasan tadahan air akan meningkat lebih tinggi jika wujudnya peratus litupan hutan yang besar. Sebagai contoh, 25% pengekalan air di kawasan dengan litupan hutan sebanyak 30%, atau 50% pengekalan air di kawasan dengan litupan hutan sebanyak 70% dari keluasan tadahan  air. Matematiknya mudah, lebih besar saiz hutan yang melitupi kawasan tadahan air, lebih banyak kuantiti air yang dikekalkan, lebih sedikit jumlah air hujan yang mengalir ke dalam sungai secara terus.

Justeru, apabila banjir melanda lagi khususnya di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian Johor, maka soalan yang wajib kita tanya ialah berapa peratus litupan hutan di lembangan air negeri-negeri ini? Berapa banyak kuantiti air hujan yang mungkin boleh disekat oleh kewujudan jutaan pokok di hutan dari ia terus mengalir ke dalam sungai sekiranya peratus litupan hutan jauh lebih tinggi dari apa yang ada sekarang?

Persoalan ini paling jelas ternyata di negeri Pahang di mana dikatakan banjir yang berlaku pada tahun ini adalah terburuk dalam tempoh 20 tahun bahkan perbandingan dibuat dengan peristiwa banjir besar pada tahun 1971, yang terjadi pada bulan yang sama iaitu Januari.

Tidak kita nafikan, banjir adalah salah satu bencana yang berpunca dari fenomena alam semula jadi. Taburan hujan yang agak tinggi memang boleh mencetuskan bencana banjir apabila sungai yang befungsi mengalirkan air tidak lagi dapat menampung kapasiti air hujan yang begitu besar. Ini akan mengakibatkan air sungai melimpah dari lembangan asal sungai lalu membanjiri kawasan sekitar.

Walaupun banjir adalah fenomena alam semula jadi, ia tidak bermakna bahawa faktor manusia boleh diabaikan begitu sahaja. Kesan perlakuan manusia masih memainkan peranan dalam menentukan berlaku atau tidaknya banjir.

Apa yang berlaku di Pahang khususnya adalah limpahan air sungai setelah hujan turun dengan kuantiti yang besar. Sememangnya setiap sistem sungai mempunyai kapasiti tertentu untuk mengalirkan air. Namun begitu batasan sungai ini boleh diatasi dengan memastikan air hujan yang mengalir ke dalam sistem sungai disaring secara semula jadi oleh kewujudan hutan.

Di sinilah peranan litupan hujan tadi menjadi penentu. Lembangan Sungai Pahang seluas 29,300 kilometer persegi meliputi 70% dari keluasan negeri Pahang itu sendiri. Tetapi dari 29,300 kilometer persegi itu, berapa luas kawasan lembangan yang masih lagi dilitupi hutan?

Isu penebangan hutan atau deforestration bukanlah sesuatu yang asing khususnya di Pahang, negeri terbesar di rantau Semenanjung Malaysia yang juga mempunyai kawasan hutan yang luas, dan juga antara pengeluar balak utama. Penebangan hutan secara berleluasa sejak bertahun lamanya untuk tujuan pembalakan dan seterusnya dijadikan kawasan perladangan bermakna jumlah pokok yang ada di lembangan Sungai Pahang makin sedikit.

Kurangnya pokok dan litupan hutan berkesudahan dengan tiadanya kaedah semula jadi untuk menghalang berlakunya bencana banjir. Maka, saban tahun kita disajikan dengan kisah bencana banjir yang memangsakan kebanyakan penduduk kampung dari kelas rakyat marhaen.

Namun, apa yang menggusarkan ialah sikap pihak pemerintah untuk tidak pernah mengakui punca banjir ini adalah akibat pupusnya hutan. Sebaliknya, yang kerap disyarahkan kepada rakyat marhaen adalah banjir berlaku kerana hujan lebat berterusan yang luar dari kebiasaan. Lewat kebelakangan ini sejak adanya parti agama dalam pemerintah, sudah didalilkan pula dengan hujah bahawa banjir berlaku kerana ia ujian dari Tuhan.

Sedikitpun mereka tidak bersetuju untuk menyatakan banjir ini berlaku kerana litupan hutan sudah makin menyusut di kawasan tadahan air. Sudah tiada kanopi hutan yang menyekat turunnya titisan hujan, sudah tiada susur akar yang menghalang pergerakan air dan sudah tiada sistem akar bawah tanah untuk meresap kembali air. Maka apa yang berlaku bila hujan turun, air hujan tadi pantas mengalir ke sungai tanpa disekat, membawa bersama mendapan tanah ke dasar sungai. Kuantiti air dan mendapan ini akhirnya berkesudahan dengan sungai yang melimpah akibat sesak air dan mendapan lalu membanjiri kawasan sekitar.

Tidak, ini tidak pernah diakui pemerintah kerana ia akan meletakkan beban tanggungjawab kepada diri mereka sendiri. Kerana yang berkuasa menebang hutan untuk pembalakan atau perladangan adalah di kalangan pemerintah sendiri, bukannya rakyat marhaen yang tanah sekangkang kera pun belum tentu ada. Bagaimana kita boleh membandingkan rakyat yang hanya menebas semak di belakang rumah untuk menanam ubi kayu dengan kerabat istana, tauke balak, taikun durian atau pemilik ladang yang meratah hutan berekar atau berhektar luasnya?

Lalu kesimpulannya mudah. Tentang banjir bah yang melanda awal tahun ini di negeri-neger terlibat puncanya adalah akibat penebangan hutan atau deforestration. Hujan mungkin turun lebih dari kebiasaan, ya sungai mungkin melimpah kerana ia musim tengkujuh dan banjir mungkin berlaku kerana itulah kejadian alam setiap tahun.

Tapi, antara banjir setakat kepala lutut dan banjir yang mencecah hingga ke bumbung rumah, ada pokok-pokok hutan yang memainkan peranan mereka. Adanya hutan boleh sahaja menjadi faktor penentu seteruk mana banjir yang melanda.

Dan sudahlah berkhutbah banjir ini ujian. Tidak, ia bukan ujian. Ia adalah bencana akibat tamak haloba manusia menebang hutan.

Komen