Kalau dulu Sasterawan Negara, Zurinah Hassan dalam puisinya Masihkah Kau Bermain Seruling berkata;
di kota yang semakin kusut dan tenat
adik-adikku menganggur dan sakit jiwa
bangsaku dipecahkan oleh politik
Hari ini, anak muda masih saja menganggur bahkan bertambah-tambah bilangannya, semakin ramai yang sakit jiwa di kota yang tidak pernah henti kusut dan memenat. Ada waktu kita semua disatukan politik, menentang semua menteri dan ahli politik. Tapi vaksin yang mencegah penyakit, siapa sangka, juga memecahkan kita.
Setakat artikel ini ditulis, sudah 1.15 bilion dos vaksin telah dikeluarkan dengan jumlah 276 juta telah disuntik di seluruh dunia. Dalam bahasa dan statistik mudah, 3.5 % daripada seluruh penduduk dunia telah dikurangkan risiko mereka untuk dijangkiti koronavirus. Di Malaysia, sebanyak 1.45 juta dos daripada pelbagai syarikat pengeluar vaksin telah mendarat di tanah air dengan 914 ribu telah divaksinasi. Ringkasnya, 1.7% daripada keseluruhan jumlah penduduk Malayia telah disuntik vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan pada Februari 2021.
Dua hari lepas, pendaftaran untuk vaksin daripada syarikat pengeluar AstraZeneca dibuka secara sukarela awam namun terhad hanya pada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur. Kurang dari 4 jam, keseluruhan 268,000 dos AstraZeneca telah ditempah dengan jayanya oleh yang bertuah. Orang ramai yang berjaya mendapatkannya berkongsi tangkapan skrin dengan ucapan ‘Tahniah’ di skrin menunjukkan rasa bertuah mereka dapat menempah dos vaksin tersebut. Penduduk Selangor dan Kuala Lumpur seperti pembeli di Shopee yang bergelut berebut menempah Sambal Nyet buatan Khairul Aming. Semuanya mengharapkan talian Internet yang stabil dan pantas serta peranti yang berkuasa demi mendapatkan barang dihajati. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Hari ini, mereka akan disuntik. Ramai juga baru tahu Putra World Trade Centre (PWTC) kini telah ditukar nama kepada Kuala Lumpur WTC. Sementara itu, penduduk di negeri lain hanya mampu melihat rakan-rakan di Selangor berkongsi tangkapan skrin mereka di media sosial tanpa mampu berbuat apa-apa melainkan (kebanyakannya) menunggu notifikasi di MySejahtera kerana tidak ada apa-apa untuk direbut mereka beberapa minggu ini.
Situasi ini terus mengingatkan saya pada situasi di mana negara-negara kaya dengan mudah membolot vaksin daripada mana-mana syarikat pengeluar yang dikehendaki mereka. Apa yang mereka perlu lakukan hanya menghulurkan wang berkepuk-kepuk pada pengilang untuk membayar harga setiap dos vaksin yang ditempah (sebanyak mungkin). Kegusaran ini telah dinyatakan sendiri oleh Ketua Pengarah World Health Organization (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Mac lalu dengan menggesa negara-negara kaya mematuhi perjanjian mereka untuk bertimbang rasa terhadap negara yang kurang berkemampuan membeli vaksin. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan bahawa setakat April, negara berpendapatan tinggi sudah mempunyai bekalan vaksin mencukupi untuk 87% rakyatnya manakala negara-negara miskin hanya pada 0.2%.
United Kingdom, salah sebuah negara ‘pemborong’ terbesar vaksin sebelum ini telah berjanji untuk memberikan lebihan bekalan vaksin mereka pada negara miskin bagaimanapun masih belum menyatakan dengan terperinci tentang jadual perancangan itu. Sama juga halnya dengan Amerika Syarikat di mana Joe Biden juga berjanji untuk menyumbangkan 60 juta dos vaksin AstraZeneca ke seluruh dunia namun masih tidak memperincikannya bahkan pada masa yang sama mengenakan sekatan eksport bahan mentah utama dan vaksin ke luar negara. Covax pula ialah inisiatif antara tiga badan iaitu Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI), WHO dan Gavi yang ditubuhkan dengan memeterai perjanjian antara negara-negara maju, membangun dan miskin dalam usaha memberikan akses yang saksama semua negara anggota terhadap vaksin. Dengan wang yang disumbangkan beberapa negara anggota, Covax akan berunding dengan syarikat pengeluar dan bekalan yang diberikan kemudiannya akan diagihkan dengan seadil mungkin kepada semua negara yang memeterai perjanjian. Walaupun skim ini agak lewat dan setakat ini tidak sepenuhnya berjaya mengatasi masalah ketidakadilan akses kepada vaksin, namun sedikit sebanyak membantu 92 buah negara-negara kurang berkemampuan lain termasuk Algeria, Malawi, Uganda, Iran atau Zambia dengan keseluruhannya 49 juta dos telah diagihkan melalui Covax.
Namun dalam keseriusan semua pihak menangani koronavirus, apa yang kelakar dikongsi di media sosial adalah ramai juga yang membanding-banding syarikat pengeluar vaksin dengan menolak sesetengah keluaran dan menyanjung vaksin keluaran syarikat lain tidak ubah seperti pelanggan cerewet yang sedang memilih periuk di Langkawi atau permaidani di Nilai sedangkan semua vaksin (yang dibeli kerajaan) berfungsi untuk mengurangkan risiko dijangkiti virus dan menyelamatkan diri daripada bahaya, bukan untuk dipamer dan digayakan pada hari raya.
Tipulah jika saya katakan saya tidak cemburu melihat mereka di Selangor dan Kuala Lumpur sudah mempunyai akses kepada vaksin dan disuntik dalam masa yang begitu singkat sedangkan saya dan yang lain yang sudah mendaftar lebih beberapa bulan masih saja tidak berubah status menunggu di MySejahtera. Kecemburuan (tidak, saya tidak dengki) saya ini jika dapat digambarkan pada mereka, saya akan katakan sama perasaannya ketika mereka melihat selebriti, tokoh-tokoh media sosial dan menteri dapat merentas ke sana sini bercuti makan angin dengan riang dan riak.
Walaupun tidaklah sampai ke tahap marah sebegitu, namun fahamlah saudara-saudari sekalian tentang ketidakadilan yang berlaku di depan mata. Khairy Jamaluddin juga telah mewartakan bahasa akses pada vaksin AstraZeneca secara sukarela akan diperluas pada lebih banyak negeri selepas ini di seluruh negara. Syukur, namun, bukankah lebih baik jika ia dilakukan serentak di seluruh negara? Bukankah hal ini sama dengan konflik negara kaya dan negara miskin dalam merebut vaksin?
Ah, apalah saya tahu, saya tidak pernah menjadi menteri, bukan agamawan selebriti, mahupun sepenting pekerja di Tanah Tinggi Genting. Saya hanya seorang pemuda marhaen biasa di hujung ceruk utara semenanjung yang tidak tahu apakah vaksin atau virus terlebih dahulu yang akan sampai ke tubuh saya.
(Aminuddin Zain adalah seorang pembaca Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.