“There is insistence that poverty must be eliminated, that’s positive. But the attempts to eliminate it even without assessing the results — are dehumanizing.”
John Sobrino, No Salvation Outside the Poor: Prophetic-Utopian Essays
BEBERAPA hari lepas, Perdana Menteri menjawab soalan dari wartawan; “Dari golong B40, M40 atau T20 pun kita sampaikan bantuan, tak perlu naik bendera putih atau hitam, nak naik bendera biru tak apa (sambil tertawa kecil)…. Rasa saya kalau turun ke dapur rumah mereka mungkin dah penuh lah kot”.
Temu bual ini dijalankan sewaktu beliau melancarkan program Bakul Prihatin Negara, yang membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM21 juta.
Inisiatif bakul makanan atau food basket yang termasuk dalam bajet negara dan diedarkan pada orang ramai antara inisiatif yang baik. Di saat masyarakat hidup dalam kebuluran, kerisauan dan ketidak pastian bilakah wabak ini akan berakhir, ia merupakan langkah pantas untuk menolong mereka yang sedang kebuluran. Setidaknya esok atau lusa mereka dapat menarik sedikit nafas lega, sebelum meraikan hari-hari yang sukar.
Namun, “pantas” seringkali terkait dengan tidak bertahan lama. Agihan bakul makanan bukanlah satu langkah utama untuk selesaikan isu ketidakcukupan masyarakat sekarang, kerana bakul makanan tidak boleh bertahan lama. Mentelah lagi sekiranya jumlah isi keluarga itu ramai sudah tentu keperluan mereka akan lebih banyak. Semasa mengagih bakul makanan jarang kita asingkan barangan mengikut jumlah keluarga kerana proses itu rumit dan renyah. Kebiasaannya akan disekalikan saja barangan mengikut apa yang ada. Jadi tidak ada jaminan untuk ia bertahan paling lama pun akan jadi dua minggu saja kerana setiap keluarga memerlukan keperluan yang berbeza-beza setiap hari.
Idea bakul makanan ini umpama pil tahan sakit, dimana ia hanya memberi kelegaan yang sementara, tetapi sekiranya mahu benar-benar pulih perlu mencari penawar yang sebenar. Sebetulnya, masyarakat umum telah lama menjalankan program sebegini di bawah kelolaan individu mahupun persatuan NGO. Program sebegini biasanya dijalankan atas kelolaan derma dari syarikat besar mahupun orang awam. Dikumpulkan lalu diberinya bantuan.
Untuk itu sepatutnya pihak pemerintah tidak perlu lagi mengulangi perbuatan yang sama. Melakukan langkah yang sama untuk mendapat hasil yang berbeza adalah suatu kebodohan dan pembaziran. Kalau sudah memukau masyarakat awam dengan idea bakul makanan saja ertinya sudah muflis idea, maka bagaimana mahu memulihkan ekonomi negara?
Sepatutnya dalam tempoh pelalian sementara ini pihak pemerintah harus mencari solusi lalu melaksanakannya bertujuan untuk menyelesaikannya dalam tempoh jangka panjang. Tujuannya satu: mengurangkan penderitaan masyarakat di sebalik wabak. Itulah tugas sebenar pemerintahan. Hari ini tidak semua mereka yang miskin perlukan makanan ada yang perlu tempat tinggal, kesihatan, pendidikan, kerja atau kesemuanya sekali.
Mahu atau tidak dasar afirmatif harus dirangka dan dilancarkan segera. Dasar dan perancangan masa depan ialah dasar pemulihan ekonomi rakyat, pembasmian kemiskinan dan bantuan pada kelompok kelas menengah bawah yang mulai tergusur jatuh menjadi miskin. Bukannya dasar yang memihak kepada pemodal, pemonopoli ekonomi, perompak negara dan juga koruptor.
Yang diperlukan sekarang ini adalah bantuan pemerintah yang dapat membantu pengaliran wang tunai, mikro kredit, subsidi, kesihatan dan perumahan, insentif, peluang pekerjaan, pengurangan cukai, skim tambah nilai dalam pendidikan, memperbanyak baucer makanan untuk kelompok kelas rendah dan juga kupon makanan di sekolah. Tidak perlu rasanya untuk mengedarkan bakul makanan kerana itu sifatnya sementara, dasar yang dijelaskan di atas lebih penting dan lebih berjangka panjang. Bayangkan apabila wabak ini sudah berakhir, apa akan jadi sekiranya dasar ini tidak dirangka? Yang membunuh bukan lagi wabak sebaliknya kemiskinan dan salah pimpin.
Kesemua cadangan di atas memerlukan dasar pemerintahan yang jelas dan bersungguh. Bukan sekadar memeluk tubuh sambil mendengar apa yang diajukan oleh masyarakat tanpa berbuat apa-apa. Apa lagi semata-mata mahu mengekalkan kuasa. Strategi pemulihan ini tidak boleh ada ruang untuk gagal dan pemerintah harus memastikan tidak ada ketirisan yang berlaku semasa mengendalikannya. Pelannya harus kukuh dan tegas. Termasuklah mengurangkan segala pembaziran juga harus berani berdepan dengan korupsi yang semakin hari semakin menjadi-jadi walaupun dari teman sendiri.
Sebab itu jangan bangga dulu ketika mengagih bakul makanan apatah lagi arogan. Kita belum tahu apakah masalah birokrasi dalam pengagihan dan sampai bila ia akan bertahan, kalau tidak dilakukan sesuatu bendera akan tetap naik kembali dan kali ini lebih tinggi. Jangan mengambil langkah populis semata-mata untuk meraih skor politik dan populariti. Masyarakat masih perlu dibantu dan dalam masa terdekat ini masih tidak ada lagi jalan keluar yang substantif buat mereka. Untuk itu harus dimulakan segera!

Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.