Bahasa Yang Celaru Adalah Lantunan Dari Pemikiran Yang Haru-biru

Sepanjang tempoh berkurung kerana wabak COVID-19, kita semua dapat saksikan bagaimana bahasa Melayu itu mengalami evolusi. Proses evolusi ini terjadi bukanlah kerana bahasa Melayu itu sudah pecah dari kepompong domestikasi bahasa lalu berkembang menjadi bahasa ilmu antarabangsa, tetapi bahasa Melayu itu berevolusi atas kehendak elit politik dan ia terjelma dalam ucapan-ucapan, poster-poster dan teks-teks rasmi yang dikeluarkan oleh mereka.

Pelbagai hujah yang muncul bagi menjustifikasikan proses evolusi ini antaranya demi memberi pemahaman yang lebih bagi rakyat bawah iaitu rakyat yang kurang pendidikan. Kadangkala bahasa Melayu pula dicampur adukan dengan bahasa Inggeris bukan kerana makna bahasa Inggeris itu tiada dalam kamus Melayu tetapi kerana mahu orang yang berpendidikan tinggi lebih memahami apa yang cuba disampaikan oleh pemerintah.

Proses ini kadangkala bercampur aduk sehingga menimbulkan huru-hara. Bahasa (Melayu) yang sebelum ini merupakan bahasa perpaduan dan kesamarataan kini dipandang sebagai satu alat yang lekeh dan boleh diubah-ubah mengikut hierarki (pangkat, kedudukan). Maknanya bahasa bukan lagi menjadi satu standard untuk semua bertutur tanpa mengira pangkat dan kedudukan sebaliknya bahasa disusun dan diatur mengikut siapa kelompok sasarannya. Ironinya lagi perkara ini dilakukan sendiri oleh pemerintah negara bukan pemodal.

Saya juga sedar sebab lain mengapa bahasa ini dievolusikan oleh elit penguasa, antaranya adalah untuk menjadi popular demi meraih sokongan anak muda dan masyarakat kerana dalam negara demokrasi mengumpul penyokong itu penting. Namun, matlamat tak menghalalkan cara. Salah satu indikasi pemikiran sudah menjadi haru-biru apabila bahasa yang dijelmakan itu celaru. Kerana tugas bahasa selain komunikasi dan budaya, ia juga membawa idea. Jadinya jika bahasa itu celaru ada potensi idea yang dibawa itu juga celaru.

Kesan Bahasa Yang Celaru

Sudah jelas, keceleruan bahasa yang sedang kita alami dan ada juga sebahagian dari kita meraikannya akan merendahkan bahasa yang kita cinta ini. Saya akui bahawa bahasa Melayu mempunyai sejarah yang amat panjang juga gilang gemilang. Masih ingatkah lagi kita pada lingua franca? Ya bahasa kita ini pernah menggenggam gelaran itu. Masih ingatkah lagi pada seorang pengembara bernama I-Tsing yang mencatatkan bahawa bahasa Melayu ini menjadi bahasa ilmu?

Sudah terbukti dalam sejarah bahawa bahasa ini pernah menjadi bahasa agung suatu ketika dulu. Tapi membaca sejarah tidak perlu romantis, kita juga perlu akui bahawa bahasa ini juga lama kelamaan tenggelam dalam catatan sejarah. Sudah tentu ramai dari kita yang punyai sifat nasionalisme tinggi mahu bahasa ini berada di puncak semula. Kalau tidak masakan satu ketika dahulu ramai yang berkumpul di mahkamah kerana mahukan kes di sana dibicarakan dalam bahasa Melayu?

Namun, jika mahu mengangkat bahasa Melayu ke tahap tertinggi banyak perkara yang perlu dibangun sekali. Antaranya pemikiran rasional dan logis, sains dan teknologi, pendidikan dan falsafah. Tapi yang paling penting elit penguasa yang bersungguh-sungguh memartabatkan bahasa dengan menggunakan bahasa yang standard dalam urusan rasmi mereka. Kalau tidak impian kekal impian saja kerana elit inilah nantinya yang merendahkan martabat bahasa kita semua lalu meranapkan setiap ambisi kita.

Kedua, bahasa yang celaru juga akan menggambarkan logik bahasa tak selari dengan logik pemikiran. Bahasa adalah medium penyampaian idea. Cuba kita lihat anak kecil yang baru berlatih bertutur dan menggunakan bahasa. Kerap kali kita gagal mengerti apa yang dimahukan kerana bahasa mereka amat celaru begitu juga dengan apa yang difikirkan oleh mereka, kerana mereka adalah kanak-kanak yang baru mahu mengenal dunia dan suasana.

Cubalah kita refleksikan situasi itu dengan keadaan sekarang, bahasa kita semuanya habis tunggang terbalik, haru-biru kadang-kadang ia perlu menjadi bahasa pasar, dan lebih teruk menjadi badut persembahan dan dijadikan bahan jenaka. Jangan harap kelongkangan bahasa sebegini boleh mengucap kemutuan pemikiran. Sebaliknya tak ada pemikiran bagus yang boleh terungkap jika pola bahasa yang dipilih dan dituturkan itu merupakan bahasa hancur dan hangus.

Ketiga ada gaya mahu merakyat dan mendekat, namun apa yang terlafaz itu lebih meremehkan rakyat sendiri. Apa yang boleh kita harap bila elit penguasa mengucapkan “ni baru mantol mat” , “malu aperr bossku” dan ayat-ayat lain yang langsung tidak menggambarkan ketinggian martabat bahasa? Kesilapan terbesar kita adalah bila menganggap bahawa rakyat bawah atau rakyat miskin tanpa pelajaran tidak memahami bahasa kelompok terdidik.

Jangan pikir rakyat tak ada selera dan peka dengan bahasa yg berisi dan berseri. Jika tidak masakan hadir cerita-cerita rakyat, pantun-pantun, seloka, puisi yang kesemuanya dihasilkan oleh rakyat bawah yang tiada pangkat dan kedudukan. Malah masyarakat sangat menitikberatkan etos “Ada Bahasa”. Kalau tidak mana mungkin nenek dan atuk kita dikampung sering mahukan tetamu yang “ada bahasa” bukan kurang bahasa?

Rakyat bawah bukan mahukan bahasa yang lekeh, celaru dan haru-biru untuk mereka faham isu. Selama ini mereka tidak faham bukan kerana mereka bodoh tapi kerana perkara yang dibincangkan itu tidak langsung berkaitan dengan situasi yang mereka alami. Kita sibuk bicara tentang ekonomi, GDP, KDNK  dan bagi mereka semua sama. Mereka tetap perlu berkerja dan hidup susah. Itulah yang mereka keliru dan perlukan jawapan.

Jadi elit penguasa tidak perlu menjadi masyarakat lambak, memaksa standard jelek mereka pada masyarakat bawah kerana Ortega Gasset meningatkan kita sebelum ini bahawa masyarakat lambak sedang menjenguk di gerbang hadapan negara, dalam kes kita masyarakat lambak itu sudah masuk dan sedang membina kubu kuat mereka iaitu kejelekan selera.

Penutup

“Bahasa menunjukkan bangsa” bukan saja merujuk kepada etnik atau nasion, kerana bangsa itu juga ada kualitas mutu sesuatu perkara dan sifat. Bayangkan kalau elit sendiri tidak miliki kualitas itu. Punah bahasa , bangsa pun musnah. Mahu atau tidak kita harus mengakui bahawa bahasa yang celaru adalah lantunan dari pemikiran yang haru-biru. Saya sudahi tulisan ini dengan serangkap pantun:

Tebang tebang pokok jati,
Sudah ditebang tidak terangkat,
Nafsu besar menjawat tinggi,
Kerja yang asal tak boleh dibuat.

Komen