BARU-baru ini saya membaca sebuah laporan media perihal penolong setiausaha bahagian sebuah kementerian yang katanya ditahan reman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penerimaan rasuah. Rasuah itu pula aneka macam yang dianggar berjumlah RM1 juta. Ini katanya sebagai balasan gara-gara membantu sebelas buah syarikat mendapatkan kontrak.
Selain menerima habuan berbentuk wang tunai menghampiri nilai RM300,000, suspek ini juga dipercayai beroleh suapan seperti barang kemas, rumah kedai dua tingkat, tanah lot, dan sebuah motosikal. Campur-campur katanya, jumlah keseluruhannya itu mencecah lebih RM1 juta. Semua ini khabarnya sebagai balasan kerana membantu sebelas buah syarikat itu untuk mendapatkan projek bekalan am, perkhidmatan dan pengangkutan di kementerian.
Pada satu hantaran laporan berita di atas yang saya baca di media sosial, ada seorang pembaca dengan sinis menyatakan; mengapakah yang menerima rasuah sahaja ditahan, manakala yang memberi rasuah tidak pula ditangkap.
Komentar pembaca itu membawa saya ke sebuah filem yang saya tonton ketika masih anak-anak, judulnya To Sir, With Love (1967). Ia merupakan adaptasi dari karya E. R. Braithwaite. Untuk ramai orang lama, saya kira filem ini tentu menghimbau kenangan indah di sekolah. Ia mengisahkan seorang guru berkulit hitam, Mark Thackeray lakonan cemerlang Sidney Poitier, yang sementara menanti panggilan kerja sebagai seorang jurutera telah mengisi masa sebagai guru di sebuah sekolah North Quay Secondary School, di timur London.
Sekolah ini bagaimanapun adalah sekolah neraka yang menempatkan pelajar yang disingkirkan dari sekolah lain, dan perangai masing-masing Naudzubillah. Mark diberikan kelas akhir di mana dalam masa singkat, mereka akan menamatkan pengajian.
Pelbagai usaha Mark untuk menarik perhatian pelajarnya menemui kegagalan. Anak-anak ini nampaknya tidak makan saman. Sehinggalah Mark mempersetankan silibus pendidikan sedia ada, dan dia mulai memilih untuk mengajar nilai.
Untuk mengajar nilai yang baik ini, Mark menyatakan dia akan mengikut kehendak pelajar. Jika mereka ingin membincangkan topik fesyen dan rambut misalnya, maka itulah yang akan diisi. Mark malah membawa anak-anak kelasnya ke muzium dan perlahan-lahan nilai baik masyarakat Inggeris seperti integriti berjaya diterapkan dalam peribadi mereka.
Saya berpendapat, nilailah yang perlu ditimbangkan dalam silibus pendidikan awal anak-anak kita. Bahawa menerima rasuah itu satu bahana dan noda. Kita memerlukan guru yang seperti Mark memahamkan generasi baru akan kesialan serta kecelakaan bangsa dan nusa yang menghalalkan rasuah.
Maka mengapa menerima rasuah saja yang dipersangkakan dan tidak yang memberi rasuah? Tentu, rasuah adalah sebuah jenayah yang unik kerana pemangsa dan mangsa sama-sama mendapat manfaat. Ini menjadikan ia berbeza dengan jenayah lain seperti bunuh misalnya, yang cukup hanya dengan membuktikan motif; dan juga mendapatkan senjata pembunuhan.
Seorang pemberi rasuah mungkin saja terdesak kerana ditagih dan diminta oleh sang penerima. Sang pemberi juga – bersalah – tetapi barangkali saja si pemberi itu terperangkap dalam sistem yang memang ada lompongnya dan memberikan ruang untuk mereka yang berkuasa meminta rasuah. Sang pemberi juga mungkin terpaksa akur kerana ia sudah menjadi tradisi. Akan tetapi, yang menerima rasuah, tidak dapat tidak bersalah total kerana tidak mempunyai nilai diri.
Nilai diri yang bagaimana yang harus dipupuk oleh guru seperti Mark, katakan, untuk pelajar-pelajarnya di sekolah?
Nilai yang baik, tentunya.
Akan tetapi, memandangkan yang menerima rasuah ini digambarkan sebagai seorang Melayu, dan oleh sebab Melayu itu Islam menurut perlembagaan, maka elok juga kita melihat mengapakah tiada nilai takwa diterapkan dalam pendidikan anak-anak?
Takwa menurut kefahaman dan kerangka sedia ada yang kita fahami hari ini ialah gerun, atau takut. Yakni bertakwa kepada Allah itu adalah takut kepada Tuhan. Tetapi, mengapakah kita perlu takut kepada Tuhan? Sepatutnya kita mencintai Allah.
Sebetulnya takwa menurut Saidina Ali seperti yang baginda huraikan dalam Khutbah al-Gharra’ (termuat dalam Nahjul Balaghah); adalah berjaga-jaga atau berwaspada.
Di dalam khutbah ini, Saidina Ali menyatakan ada sepuluh sebab mengapa kita perlu bertakwa. Saya tidak akan menyebutkan semua. Akan tetapi memadailah saya menurunkan tiga yang saya rasa amat relevan dengan soal nilai, dan perihal menerima rasuah itu.
Pertama, Saidina Ali menegaskan kita perlu bertakwa (berjaga-jaga) kerana Allah telah menetapkan ajal untuk kita semua. Dalam hal ini, Allah menetapkan tempoh tertentu dalam kehidupan kita. Maka kenapa kita perlu bertakwa kepada Allah? Kerana tempoh kita (umur ini modal) sangat terhad dan bakal berakhir. Dalam hal ini ajal tidak terlewat walau sesaat. Dan tidak akan tercepat walau sesaat. Kita semua akan tiba kepada kebinasaan (kematian). Di saat Allah meniupkan roh ke dalam jasad kita sudah diberi masa tertentu. Masa inilah modal sedia ada yang patutnya kita gunakan dengan baik. Sebagai orang berdagang di dunia, kita berpegang kepada modal minimum dengan untung maksimum. Jadi inilah sebabnya kita perlu menjaga atau bertakwa. Ajal kita akan sampai, dan dunia kita akan berakhir. Modal umur ini sahajalah yang kita punya. Kita perlu menggunakannya dengan terbaik. Allah telah memuliakan Bani Adam dan rezeki terbaik ialah akal hidayah dan keimanan kita yang mana semua ini adalah modal pemberian untuk kita menelusuri jalan di dunia. Nilai mengingat mati inilah yang kurang sekali dalam pendidikan awal anak-anak kita. Mungkin bunyinya kasar, mengapa kanak-kanak harus mengingat mati? Tetapi, bayangkanlah jika yang menerima rasuah itu mengingat kepada kematian. Dia tentu tidak meminta rasuah. Atau dia tentu berhati-hati dalam setiap pekerjaannya, yang mana itulah tuntutan takwa, berjaga-jaga atau berwaspada. Ini kerana mati atau ajal itu terbayang-bayang di retina matanya. Ia perlu diserap sejak kecil.
Nilai kedua, di mana sebab mengapa kita perlu bertakwa ialah peri pentingnya ada penekanan bahawa Dia (Allah) yang menganugerahkan, mendahulukan kita manusia dengan nikmat yang melimpah-ruah. Saidina Ali memberikan pesan betapa Allah itu sudah mendahulukan kita manusia dalam memberi nikmat yang banyak. Dalam banyak-banyak makhluk di alam ini, Allah mendahulukan kita sebagai manusia terlebih dahulu. Belum lagi makhluk lain dapat, manusia sudah beroleh dulu. Bandingkanlah diri kita misalnya dengan tapir di Hutan Som, Pahang yang dek gara-gara pembalakan mengakibatkan habitat mereka punah. Bandingkanlah diri kita sebagai kucing yang mengharapkan ihsan dan pemberian manusia. Jadi, jika kita menghayati luasnya anugerah Allah ini tentulah kita perlu berjaga-jaga atau bertakwa. Dengan keistimewaan ini kita perlu sentiasa berwaspada. Mereka yang tidak mensyukuri nikmat Allah ini akan terlepas dari penjagaan (takwa) Allah. Saidina Ali dalam khutbah itu mengingatkan, nikmat yang banyak itu datang dengan penjagaan (takwa). Nikmat yang banyak tetapi tanpa kawalan akan terbabas. Untuk mengelak dari tergelincir, baginda Amirul Mukminin menekankan perlunya ketakwaan (penjagaan). Ini supaya hidup dan rezeki yang kita perolehi tidak disalahguna.
Jika pendidikan awal anak-anak menyediakan nilai ini saya percaya tentunya apabila kita dewasa kelak, kita tidak akan tergamak menerima rasuah. Ini kerana kita bakal merasakan ganjaran Allah buat kita itu demikian luas dan begitu istimewa berbanding yang diperolehi makhluk lain.
Ketiga, nilai yang perlu disediakan, seperti disarankan oleh Khalifah keempat dari Khulafa ar Rasyidin ialah betapa manusia ini sebetulnya berada di dunia kerana kita diuji, atau dicuba di dunia ini. Justeru kita akan diminta memberi penjelasan kepada-Nya. Suka atau benci, kita perlu menjaga (takwa) setiap yang kita lakukan kerana kita perlu bertanggungjawab kelak atas segala nikmat yang diperolehi. Setiap tindak tanduk kita akan diaudit dan diperhitungkan. Untuk memudahkan urusan ini kelak, justeru takwa di dalam hidup boleh memudahkan urusan kita kelak. Jika sejak anak-anak nilai ini ditegaskan bahawa kita akan diaudit dan dipertanggungjawabkan tentunya kita akan lebih berhati-hati, menjaga, dan berwaspada dengan semoleknya. Seseorang tidak akan semberono meminta dan menerima rasuah jika dirinya tahu dia berada di posisi yang akan dikira oleh Yang Maha Kuasa.
Nilai-nilai menjaga atau waspada ini, yang namanya takwa, jauh lebih penting dari hukum hakam, ritual dan ibadat atau penghafalan doa yang sangat ditekankan dalam tadika-tadika beracuan Islam. Nilai yang Saidina Ali inginkan ini ialah nilai takwa. Nilai ini boleh sahaja kita namakan sebagai integriti mengikut kerangka mutakhir.
Saya membayangkan jika nilai ini semua sudah tertanam sejak anak-anak maka kita tidak demikian memerlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan seorang penjawat awam yang tidak sedar bahawa dia sedang bermandian wang tunai barang kemas, motosikal, rumah kedai dua tingkat, dan tanah lot pemberian sebelas buah syarikat. Inilah pendidikan masyarakat yang sebenar ditekankan oleh Saidina Ali yang tidak kita pedulikan.
Islam yang kita jadikan acuan untuk anak-anak hari ini ialah Islam fikah yang menjadikan jiwa mereka keras. Tambah pula kita ada Tuan Guru, dan ulama yang mendakwa berbohong itu sunat bila terdesak. Atau ustaz yang berubah-ubah pendirian apabila perlu berkuasa maka diperbolehkan tidur sekatil dengan penyamun. Pendidikan masyarakat inilah yang amat malang sekali tidak begitu diambil berat. Kita terlalu terbawa-bawa dengan silibus pendidikan sifir darab, cepat baca dan menulis tetapi kita terlupakan nilai.
Padahal masyarakat di Barat, dalam filem To Sir, With Love misalan menunjukkan kepada kita bagaimana ia boleh dilakukan. Iaitu dengan menerap atau memupuk nilai di sekolah.
Sukar untuk negara ini berada dalam keadaan sifar rasuah. Sesungguhnya memberi rasuah itu memang salah dan merupakan satu jenayah. Akan tetapi jika kita mempunyai anggota masyarakat yang menjaga-jaga, selalu berwaspada atau bertakwa; kita tidak akan bertemu dengan penerima rasuah seperti contoh kes di atas. Kalau tidak pun kosong rasuah, paling tidak negara kita tidak sampai aib di mata dunia.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.