Bagaimana Malaysia Dibentuk? – Bahagian III

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Memahami Perjanjian Malaysia 1963

Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London, United Kingdom melibatkan United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura.

Perjanjian ini mengandungi 11 Artikel dan 11 Lampiran dengan satu lampiran pindaan perjanjian mengenai perubahan tarikh Hari Malaysia daripada 31 Ogos 1963 kepada 16 September 1963.

Perjanjian ini telah didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 September 1970 oleh United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland dengan nombor rujukan 10760.

Perkara 1 – menyatakan bahawa Borneo Utara, Sarawak dan Singapura akan disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan dikenali sebagai Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura mengikut surat cara Perlembagaan yang dilampirkan pada surat perjanjian dengan penamaan Persekutuan dengan nama Malaysia.

Perkara ini dianggap sebagai tunjang utama dalam memahami makna federalisme Malaysia di mana tiga entiti dicantumkan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang dianggap sebagai satu entiti. Ini melihatkan bagaimana tiga entiti berkenaan memiliki kedudukan yang tersendiri dan sama taraf dengan keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu, walaupun pada hakikatnya ia dikenali sebagai ‘Negeri’ selepas pembentukan Persekutuan Malaysia.

Perkara 2 – menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menggubal Perlembagaan melalui Parlimen Persekutuan dengan memastikan surat cara Perlembagaan yang dilampirkan akan menjadi suatu Akta untuk dipatuhi di dalam Perlembagaan yang digubal dan akan berkuatkuasa pada 31 Ogos 1963 dan tarikh ini akan dikenali sebagai “Hari Malaysia” (tarikh ini kemudian dipinda kepada 16 September 1963).

Menurut A Rahman Tang Abdullah, Perkara 2 ini secara literalnya sudah pun dipenuhi dari sudut perundangan pada tarikh 26 Ogos 1963 ekoran kelulusan Akta Parlimen No. 26 (FMA1963). Ia memerlukan pihak Persekutuan Tanah Melayu melaksanakan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi maksud pembentukan Malaysia.

Perkara 3 – menyatakan mengenai tanggungjawab kerajaan United Kingdom untuk menyerahkan kepada Queen, perintah-perintah untuk membolehkan Perlembagaan negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura berkuatkuasa mengikut lampiran-lampiran perlembagaan setiap negeri tersebut yang dilampirkan bersama-sama perjanjian.

Perkara ini merujuk kepada penguatkuasaan Perlembagaan bagi ketiga-tiga negeri ini pada Hari Malaysia dan ia juga menjelaskan mengenai status quo Sabah dan Sarawak sebagai tanah jajahan mahkota British dan Singapura sebagai negeri naungan masih belum berubah ketika perjanjian ditandatangani.

Perkara 4 – menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan United Kingdom untuk mendapatkan penggubalan satu Akta di Parlimen United Kingdom bagi melepaskan hak kedaulatan oleh Queen ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura bermula pada Hari Malaysia dan diserahkan kuasa itu mengikut Perjanjian dan lampiran-lampirannya.

Ini menjadi penggerak utama kepada maksud Perjanjian Malaysia 1963 apabila melihatkan British melepaskan kedaulatannya ke atas Sabah, Sarawak dan Singapura serta bersetuju secara undang-undang dengan pembentukan Persekutuan Malaysia. Ia juga menandakan pada saat Hari Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura tidak lagi berada di bawah naungan British, sebaliknya menjadi negeri yang bebas dan merdeka.

Perkara 5 – menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk mendapatkan penggubalan Akta oleh Parlimen bagi meminda skop imigresen untuk kemasukan ke Sabah dan Sarawak serta peruntukan-peruntukan khas seperti lampiran yang tertentu yang dilampirkan bersama-sama Perjanjian ini akan tertakluk kepada penggubalan Akta tersebut.

Pindaan terhadap Akta Imigresen telah pun dilaksanakan bagi menjamin kedudukan Sabah dan Sarawak dalam perkara ini dan ia kekal sebegitu sehingga kini. Sehubungan itu, perkara ini juga dianggap telah ditunaikan.

Perkara 6 – menyatakan mengenai Perjanjian Pertahanan Luar dan Bantuan Bersama antara Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom pada 1957, kini diperluaskan bagi semua wilayah Malaysia serta kebenaran untuk United Kingdom terus menggunakan pangkalan-pangkalan tentera sedia ada, terutamanya di Singapura, seperti mana dalam lampiran di dalam Perjanjian ini.

Pada awal Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Anglo-Malayan Defence Agreement (AMDA) telah ditandatangani pihak British dan Tanah Melayu untuk melindungi kepentingan British dari segi pertahanan dan membantu Tanah Melayu membendung sebarang ancaman keselamatan. Berasaskan kepada maksud perkara ini, AMDA akan diperluaskan meliputi wilayah Sabah, Sarawak dan Singapura. Namun perkara ini dilihat tidak lagi berkaitan memandangkan pihak British telah menamatkan perkhidmatan pusat ketenteraan mereka di Singapura dan Malaysia pada tahun 1968.

Perkara 7 – menyatakan mengenai persetujuan bagi membolehkan Queen membuat perintah mengenai pembayaran sagu hati kepada pegawai dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat sebelum Hari Malaysia dan Perjanjian Pegawai Awam yang harus ditandatangani oleh Kerajaan United Kingdom dan Kerajaan Malaysia.

Aspek ini dilihat terhad kepada kedudukan pegawai British yang masih beada dalam perkhidmatan awam sebelum Hari Malaysia dan ia tidak lagi terpakai bagi pelantikan baru selepas itu. Menurut A Rahman Tang Abdullah, bidang kuasa ke atas pegawai-pegawai British yang masih berkhidmat di Sabah dan Sarawak selepas Hari Malaysia nanti terletak di bawah bidang kuasa persekutuan.

Perkara 8 – menyatakan mengenai tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak untuk mengambil tindakan bagi melaksanakan segala syor, jaminan dan aku janji yang terdapat di dalam Bab III dan Lampiran A dan Lampiran B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang ditandatangani pada 27 Februari 1963 selagi mana ia tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini menyentuh tentang penyerapan laporan IGC di dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia melihatkan kepentingan laporan berkenaan dalam memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak terpelihara. Ini merujuk kepada Memorandum 18/20 yang menjadi sebahagian besar daripada kandungan laporan IGC. Perkara ini juga menekankan keperluan untuk Perlembagaan Persekutuan menyerap laporan IGC secara menyeluruh.

Perkara 9 – menyatakan mengenai keperluan menjadikan Lampiran J yang berkenaan dengan Pasaran Bersama dan perkiraan kewangan di dalam perjanjian ini dijadikan sebagai Perjanjian antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura.

Perkara 10 – menyatakan mengenai keperluan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura dalam menjalankan kuasa-kuasa yang ada berkenaan siaran radio dan televisyen seperti mana termaktub di dalam Lampiran K di dalam Perjanjian ini selagi ia tidak dilaksanakan melalui Perlembagaan Malaysia.

Perkara 11 – menyatakan mengenai keperluan Perjanjian ini ditandatangani di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sahaja manakala setiap lampirannya hanyalah di dalam Bahasa Inggeris. Jika kekeliruan berlaku, maka naskhah Bahasa Inggeris akan digunakan sebagai tafsiran yang sah.

Perkara 9 dan 10 tidak lagi relevan dalam konteks semasa Perjanjian Malaysia 1963 memandangkan Singapura sudah berpisah daripada Persekutuan. Dan Perkara 11 hanya memaparkan aspek prosedur teknikal perjanjian dari sudut bahasa dalam menentukan keabsahannya.

Perjanjian Malaysia 1963 merupakan dokumen perundangan yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia. Namun begitu, Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh diteliti secara bersendirian, namun ia wajar dikembarkan dengan melihat peruntukan-peruntukan yang disediakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, laporan IGC juga dilihat amat dekat dan relevan dalam kita melihat secara terperinci tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Sabah dan Sarawak semasa bersetuju untuk terlibat sebagai sebahagian daripada entiti yang membentuk Malaysia. Melalui penelitian yang dibuat, Perjanjian Malaysia 1963 juga memberi penekanan untuk perkara-perkara di dalam laporan IGC itu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut had-had yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara elemen penting yang wajar dilihat termasuklah pematuhan terhadap Jadual Kesembilan dan Kesepuluh yang menjadi antara liputan utama dalam melihat pembahagian hak istimewa terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak.

Komen