Bagaimana Malaysia Dibentuk? – Bahagian II

Malaysia Solidarity Consultative Committee (MSCC)

Pihak British telah menganjurkan persidangan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) di Singapura pada 21 hingga 26 Julai 1961. Persidangan ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan lebih menyeluruh wakil dari Sabah dan Sarawak terhadap gagasan Malaysia. Dalam persidangan berkenaan, Donald Stephens telah mencadangkan satu jawatankuasa yang diwakili oleh Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah dibentuk bagi membincangkan cadangan pembentukan Malaysia secara lebih lanjut dan saksama.

Hasil daripada cadangan berkenaan maka Malaysia Solidarity Consultative Committee (MSCC) telah ditubuhkan pada 23 Julai 1961 dan jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Donald Stephens.

Jawatankuasa ini telah diberikan peranan untuk mengumpulkan pandangan dan menggalakan perbincangan dan mengukuhkan persefahaman ke arah pembentukan Malaysia. MSCC dianggap sebagai rintisan awal ke arah gerakan lebih besar dan MSCC telah mengadakan mesyuarat sebanyak empat kali meliputi mesyuarat pertama di Jesselton (Kota Kinabalu) pada 21 Ogos 1961, mesyuarat kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, mesyuarat ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan yang terakhir di Singapura pada 1 Februari 1962.

Mesyuarat MSCC pertama berlangsung hangat dengan persefahaman masih tidak dapat dibentuk dengan jitu dan gagasan Malaysia masih belum dapat diterima oleh pemimpin dari Sabah dan Sarawak. Isu utama yang menimbulkan pertentangan adalah berkaitan dengan kepentingan rakyat dan status quo keanggotaan di dalam persekutuan kelak.

Mesyuarat kedua MSCC dilihat masih tidak berupaya mengukuhkan kesepaduan pandangan ahli  terhadap gagasan Malaysia. Namun, Donald Stephens telah memainkan peranan aktif menghidupkan perbincangan dan memberikan perspektif jelas agar setiap delegasi menghapuskan keraguan terhadap cadangan pembentukan Malaysia. Hasilnya mesyuarat kedua ini mula menampakkan hasil dan hala tuju gagasan yang lebih jelas apabila barisan delegasi mula memberikan sokongan.

Mesyuarat ketiga berjalan lancar dengan kesepakatan ke arah pembentukan Malaysia mula dijelmakan melalui komitmen setiap delegasi. Perbincangan berkaitan aspek keselamatan komunis menjadikan gagasan Malaysia dilihat sebagai suatu cadangan yang wajar dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Pada mesyuarat terakhir, persetujuan terhadap cadangan pembentukan Malaysia berjaya dicapai secara menyeluruh dan satu dokumen Memorandum of Malaysia telah dipersetujui oleh ahli MSCC. Dokumen ini menyenaraikan 44 perkara termasuk dari sudut bentuk negara yang dipersetujui iaitu persekutuan, pemerintah pusat yang kuat, kedaulatan semua negeri terletak di bawah persekutuan dan status quo semua negeri adalah setara.

Kerajaan Sarawak pada 4 Januari 1962 telah menerbitkan satu kertas putih yang menyatakan sokongan terhadap gagasan Malaysia. Langkah sama turut diambil Borneo Utara pada 31 Januari 1962. Kertas putih ini bertujuan untuk memberikan penjelasan kepada rakyat di kedua-dua wilayah berhubung cadangan pembentukan Malaysia.

Keputusan terpenting yang dibuat oleh MSCC ialah persetujuan semua ahli untuk ditubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menilai sokongan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap cadangan pembentukan Malaysia.

Suruhanjaya Cobbold

Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada 17 Januari 1962 untuk menjalankan pungutan suara di Sabah dan Sarawak mengenai cadangan pembentukan Malaysia. Suruhanjaya ini dianggotai oleh Lord Cobbold, Sir Anthony Bell, Sir David Watherson, Datuk Wong Pow Nee dan Mohammad Ghazali Shafie.

Suruhanjaya ini telah melaksanakan tugas dari 19 Februari hingga 17 April 1962 dan mereka telah mengadakan 35 sesi pendengaran awam dengan 20 di Sarawak dan 15 di Sabah. Suruhanjaya ini juga telah menerima 600 cadangan bertulis di Sabah dan 1,600 di Sarawak (James Chin 2013: 24). Lebih 4,000 orang yang terdiri daripada 690 kumpulan kecil dan besar telah bertemu dengan suruhanjaya ini.

Menurut James Chin, Suruhanjaya Cobbold telah menerbitkan laporan penuh pada pertengahan Ogos 1962 dan mereka telah merumuskan bahawa satu pertiga daripada penduduk di Sabah dan Sarawak menyokong sepenuhnya penubuhan Malaysia tanpa terlalu memikirkan soal syarat. Satu pertiga lagi menyokong penubuhan Malaysia dengan syarat yang pelbagai untuk menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak. Manakala satu pertiga lagi berpandangan Sabah dan Sarawak perlu diberikan kemerdekaan terlebih dahulu sebelum penubuhan Malaysia dan dalam kelompok ini ada yang berpandangan untuk British kekal memerintah dalam tempoh beberapa tahun lagi sebelum gagasan ini dipersetujui. Suruhanjaya ini juga mendapati hampir 20 peratus warga di Sabah dan Sarawak menentang pembentukan Malaysia.

Suruhanjaya ini telah mencadangkan penggunaan nama Malaysia sebagai nama persekutuan yang akan ditubuhkan kelak dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dijadikan asas kepada perlembagaan baru.

Menurut Bilcher Bala, Suruhanjaya Cobbold telah mengemukakan cadangan pembentukan persekutuan berasaskan kepada perkara-perkara berikut:

  • Sebuah pemerintah pusat yang kuat, tetapi dengan syarat bahawa Sabah dan Sarawak akan mempunyai autonomi dan perlindungan tertentu yang tidak boleh dipinda oleh pemerintah puast tanpa persetujuan negeri berkenaan;
  • Ketua Negeri di Sabah dan Sarawak adalah tidak layak menjadi Ketua Negara (Persekutuan);
  • Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan;
  • Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi persekutuan;
  • Hak kebebasan beragama;
  • Penggunaan bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak;
  • Hak keistimewaan pribumi;
  • Autonomi dalam aspek imigresen, tanah, pertanian, hutan dan kastam tempatan kepada Sabah dan Sarawak;
  • Hak untuk menarik diri daripada persekutuan;
  • Hak kewangan yang setara;
  • Hak mempercepatkan Borneonisasi jawatan perkhidmatan awam di Sabah dan Sarawak;
  • Hak kewarganegaraan sebelum Hari Malaysia;
  • Mengekalkan Mahkamah Tinggi Borneo;
  • Ketua Negeri dilantik oleh Ketua Negara dengan persetujuan Ketua Menteri; dan
  • Perwakilan Parlimen berasaskan populasi dan saiz negeri.

Suruhanjaya ini kemudiannya mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa kerja yang kemudiannya dikenali sebagai Jawatankuasa Antara Kerajaan atau Inter-Governmental Committee (IGC) bagi membangunkan kerangka perjanjian yang bersesuaian ke arah pembentukan Malaysia.

Inter-Governmental Committee (IGC)

Inter-Governmental Committee (IGC) ditubuhkan pada 1 Ogos 1962 dan diketuai oleh Lord Lansdowne untuk merangka perjanjian pembentukan Malaysia yang sempurna. IGC juga telah diberikan tanggungjawab untuk menyusun perlembagaan yang lengkap dengan memperuntukkan perlindungan dan kepentingan khas kepada Sabah dan Sarawak.

Semasa mesyuarat persediaan di Jesselton (Kota Kinabalu) pada 30 Ogos 1962, IGC telah memutuskan pembahagian tugas berasaskan kepada lima jawatankuasa kecil seperti berikut:

  • Jawatankuasa Kecil Perlembagaan;
  • Jawatankuasa Kecil Kewangan:
  • Jawatankuasa Kecil Perundangan;
  • Jawatankuasa Kecil Perkhidmatan Awam; dan
  • Jawatan Kecil Penyusunan Jabatan-Jabatan.

Menurut Mohd Noor Abdullah, Majlis Undangan Negeri Sabah pada 12 September 1962 telah meluluskan usul menerima keputusan menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963 dengan syarat dan jaminan khusus kepada hak negeri Sabah. Usul ini turut memutuskan wakil dari Sabah yang akan berada di dalam IGC. Langkah sama turut diambil Sarawak pada 26 September 1962.

IGC telah mengadakan 24 mesyuarat, termasuk 12 mesyuarat jawatankuasa kecil dan mesyuarat terakhir diadakan pada 20 Disember 2012 di Kuala Lumpur.

Laporan akhir IGC yang siap pada Februari 1963 telah mengambil kira semua perkara yang dituntut untuk diberikan jaminan dan pemeliharaan hak ke atas Sabah dan Sarawak melalui Memorandum 20 untuk Sabah dan Memorandum 18 untuk Sarawak. Pada 8 Mac 1963 Majlis Negeri Sarawak telah bersetuju dengan syor yang terkandung dalam laporan IGC dan Majlis Undangan Negeri Borneo Utara juga telah mengambil ketetapan sama pada 13 Mac 1963.

Memorandum 18/20 yang diserahkan untuk pertimbangan IGC dan telah diterima oleh IGC untuk dimasukkan ke dalam laporan akhir adalah seperti berikut:

  • Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi tiada agama rasmi atau dijamin kebebasan beragama bagi Sabah dan Sarawak;
  • Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi persekutuan tetapi bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Sabah dan Sarawak tanpa had serta kebebasan penggunaan bahasa ibunda;
  • Perlembagaan Malaysia haruslah satu dokumen baharu berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957;
  • Ketua Negeri di Sabah dan Sarawak tidak boleh menjadi Ketua Negara;
  • Nama persekutuan ialah Malaysia dan bukan Melayu Raya;
  • Perkara Imigresen ialah autonomi Sabah dan Sarawak;
  • Tiada hak kepada Sabah dan Sarawak untuk menarik diri daripada persekutuan;
  • Borneonisasi perkhidmatan awam harus dipercepatkan;
  • Pegawai British digalakkan untuk terus memberi khidmat sehingga digantikan oleh anak Sabah dan Sarawak;
  • Rakyat Sabah dan Sarawak yang lahi sebelum Hari Malaysia berhak menjadi warganegara;
  • Perkara kewangan, pembangunan dan tarif serta membuat pinjaman sendiri ialah hak Sabah dan Sarawak;
  • Hak keistimewaan pribumi Sabah dan Sarawak terpelihara;
  • Bentuk kerajaan di Sabah dan Sarawak menggunakan sistem kementerian;
  • Hak syarat kuasa perundangan dikekalkan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak atau pun tidak boleh diwakilkan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak oleh pemerintah pusat dalam tempoh tujuh tahun peralihan;
  • Amalan sistem pendidikan sedia diteruskan dan dikekalkan di bawah autonomi Sabah dan Sarawak;
  • Pemindaan, pengubahsuaian atau pengeluaran sebarang perlindungan khas bagi negeri termasuk pemindaan perlembagaan negeri tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan daripada rakyat dan kerajaan Sabah dan Sarawak;
  • Perwakilan di Parlimen Persekutuan harus mengambil kira populasi dan saiz serta potensi yang tidak kurang berbanding Singapura;
  • Nama Ketua Menteri ialah Gabenor di Sarawak dan Yang di-Pertua Negara di Sabah;
  • Nama negeri Sarawak dikekalkan dan Borneo Utara ditukarkan sebagai Sabah; dan
  • Kuasa Majlis Tanah Nasional tidak boleh digunakan di Sabah dan Sarawak (Bilcher Bala 2018: 36-37).

Kerumitan Penubuhan Malaysia

Penubuhan Malaysia dilaksanakan secara teratur berasaskan lunas perundangan dan perundingan, tanpa mengabaikan hak dan kepentingan mana-mana pihak. Proses yang dilalui sememangnya rumit dan cukup panjang, namun ia menjadi proses penting kepada kemunculan sebuah negara baru.

Setiap rundingan yang dilalui juga telah dibuat dengan teliti serta memberikan kebebasan yang luas kepada negeri-negeri dari Borneo misalnya untuk menentukan kedudukan mereka sendiri. Setiap cadangan yang dikemukakan dari Sabah dan Sarawak tidak diabaikan, malah diterima secara menyeluruh.

Ini dapat dilihat kepada Memorandum 20 yang diterima sebagai asas kepada pembentukan Perjanjian Malaysia 1963. Ia meletakkan kedudukan Sabah dan Sarawak bukan sekadar sebagai sebuah negeri di dalam Malaysia, tetapi sebagai entiti yang bersama-sama bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

Hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak yang digariskan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan kemudiannya diterjemahkan dalam beberapa perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk Jadual Kesepuluh. Ini melihatkan bagaimana asas utama yang diletakkan di dalam sistem federalisme di Malaysia ialah keupayaan untuk dua entiti kerajaan dalam sebuah sistem dapat berinteraksi dalam ruang yang tersendiri secara adil penuh penghormatan.

Melihat kembali kepada kerumitan pembentukan Malaysia, adalah amat wajar untuk Perjanjian ini dihormati dan hak-hak Sabah dan Sarawak sebagai peserta di dalam sistem federalisme ini diangkat pada kedudukan yang tepat berpaksikan kepada undang-undang.

Komen