Hari ini kes jangkitan novel coronavirus di seluruh dunia sudah melangkau angka 1.2 juta, serta mencatatkan lebih 64,000 kematian.
Lima negara tertinggi yang terkena jangkitan, kadar kematian dan jumlah penduduk adalah seperti berikut:
1. Amerika Syarikat
Populasi: 331 juta
Jangkitan: 311,635
Kematian: 8,454
% kematian vs jangkitan: 2.7%
2. Sepanyol
Populasi: 46.6 juta
Jangkitan: 126,168
Kematian: 11,947
% kematian vs jangkitan: 9.5%
3. Itali
Populasi: 60 juta
Jangkitan: 124,632
Kematian: 15,362
% kematian vs jangkitan: 12.3%
4. Jerman
Populasi: 83 juta
Jangkitan: 96,092
Kematian: 1,444
% kematian vs jangkitan: 1.5%
5. Perancis
Populasi: 67 juta
Jangkitan: 89,953
Kematian: 7,560
% kematian vs jangkitan: 8.4%
Kita tolak Amerika Syarikat sekejap (tapi aku cuit juga sikit nanti). Aku mahu fokus pada empat negara Eropah paling teruk dilanda COVID-19 iaitu Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis.
Kalau kita perhatikan pola data ini, ada satu irregularity – ratio kematian di Jerman cuma 1.5%, terlalu rendah.
Jerman jika mengikut garis masa COVID-19 antara yang paling awal detect first case di Eropah, 27 Januari 2020. Lagi awal dari Itali (31 Januari) dan Perancis (juga 31 Januari).
Tapi bagaimana sebagai negara terawal, malahan selepas 2 bulan COVID-19 menjajah ini, Jerman masih boleh steady dan berdiri gagah dengan hanya 1.5% kadar kematian sedangkan rakan seangkatan Kesatuan Eropah lain terjejas bukan main teruk?
Sebenarnya dalam melawan COVID-19, ada lima faktor kritikal yang ada pada Jerman tapi tidak ada pada negara lain.
Lima faktor inilah yang meletakkan negara dengan 4 bintang kejuaraan Piala Dunia di lencana jersi bola sepak mereka berada dalam kelas yang tersendiri.
Faktor Pertama – Ujian
Jika dibandingkan antara Jerman dan Amerika Syarikat, antara kegagalan paling besar pentadbiran Donald Trump semasa kemunculan COVID-19 di sana adalah terlalu sedikit (dan pastinya terlalu lambat) ujian klinikal yang mereka buat untuk kesan jangkitan COVID-19. Berbeza dengan Jerman, mereka sudah berjaya mewujudkan sistem ujian pada pertengahan Februari dan sehingga 31 Mac, Jerman telah melakukanujian pada 1,000,000 orang. Hal ini membawa kita kepada faktor kedua.
Faktor Kedua – Desentralisasi
Soalan yang kita kena tanya, macam mana Jerman boleh mobilise sehingga satu juta ujian dalam masa yang sangat singkat?
Jawapannya – negara dengan motto “Einigkeit und Recht und Freiheit” (Unity and Justice and Freedom) ini mengamalkan Non Centralized Diagnostic System. Walaupun penyeliaan dan pemantauan kesihatan awam Jerman dipusatkan kepada Robert Koch Institute (RKI), tapi makmal-makmal di seluruh negara ada kebebasan untuk melakukan ujian. Jadi staf kesihatan di Munich, Hamburg, Berlin, North Rhine-Westphalia atau di mana sahaja atas Fatherland itu boleh pergi ketuk pintu rumah siapa-siapa untuk buat random testing dengan cepat, pantas dan berkesan.
Hasilnya? Jerman dapat bertindak cepat bagi rawatan awal untuk kes yang mild symptom, dapat laksanakan isolisasi, dapat buat contact tracing dan dapat kesan dengan awal sesiapa sahaja yang terkena jangkitan.
Faktor Ketiga – Tuah
Kes-kes awal di Jerman melibatkan ramai orang muda.
Seperti yang kita tahu, penyumbang fatality rate paling ramai akibat COVID-19 adalah warga tua berumur 60 tahun ke atas. Di Jerman, purata umur pesakit cuma 46 tahun. Statistik purata umur ini jauh lebih muda berbanding Perancis, 62.5 tahun dan Itali, 62 tahun. Kumpulan sasaran umur pesakit yang berbeza ini memberikan kesan kepada fatality rate.
Campur tangan Tuhan semacam ini sangat membantu Jerman.
Faktor Keempat – Institusi Perubatan
Jerman ini selain apa yang kita tahu tentang kejuruteraan Mercedes Benz, BMW, Audi, Volkswagen dan Porsche;
ia juga merupakan negara yang memiliki hospital universiti terbaik di Eropah. Antara yang tersohor seperti hospital universiti di Dusseldorf, Cologne, Aachen, Bonn dan Heidelberg. Jumlah hospital yang banyak digabung pula dengan sistem perubatan yang mantap meletakkan Jerman ahead of competition melawan COVID-19. Di Jerman ratio bed to person mereka 8.1/1,000 orang manakala ratio ICU bed to person pula 6.1/1000 orang. Ratio yang mantap ini jauh meninggalkan negara lain seperti Amerika Syarikat, Itali, Perancis dan Sepanyol.
Faktor Kelima – Politik
Berbeza dengan Amerika Syarikat, United Kingdom atau Itali, Jerman di bawah kepimpinan Iron Lady Angela Merkel mengambil tindakan pantas, tidak ada politicking atau berdolak-dalik bila berdepan COVID-19 di peringkat awal.
Contohnya;
Pentadbiran Trump – playdown COVID-19 malahan mendakwa ianya “will go down, not up”. Masyarakat pun tenang tidak ada risau apa.
Itali – Syarikat fesyen di sana pekerjanya mereka import dari China. Tidak ada salah pun import pekerja, Malaysia pun import Bangladesh dan Myanmar. Apa yang jadi salah bila propaganda politik right wing macam kempen mempertahankan sempadan Italy dari pelarian, walhal dalam masa sama kumpulan pemodal terusan bawa masuk pekerja asing dibayar gaji rendah, penginapan tidak bersih, working condition pula tanpa kemanusiaan menjadi punca COVID-19.
United Kingdom – Eton/Oxbridge elite right wing seperti Perdana Menteri Boris Johnson pun sama playdown COVID-19 ini. Ketika COVID-19 memuncak Boris Johnson pergi ke hospital siap bersalam dengan pesakit. Real punya drama. Sudahnya dia pula positif COVID-19.
Jerman?
Perlu diingat selain aspek ketenteraan, negara yang kuat juga diambil kira dari segi keunggulan healthcare system sedari awal. Inilah yang Jerman buat.
Jerman konservatif – dari Otto Von Bismarck ke Hinderburg, membawa ke Adolf Hitler, Konrad Adenauer, Helmut Kohl sehinggalah ke tampuk kekuasaan Angela Merkel – semua mereka ini secara umum mengutamakan kekuatan negara melebihi kepentingan pasaran bebas neoliberal. Kerana itu parti-parti politik di Jerman ini akan tetap in good term bila sampai pada dasar-dasar memperkukuhkan negara (memperkasa sistem perubatan awam misalnya).
Faktor-faktor ini menjawab persoalan dunia, mengapakah dalam kelompok negara Eropah yang teruk terjejas,
Jerman sebagai negara yang kaya dengan tinggalan monumen dan istana zaman medieval bersama sejarah paling hitam perang dunia – hari ini masih mampu bertahan melawan COVID-19 dengan cemerlang mendahului negara negara lain di seluruh dunia?
Bukan setakat itu, dalam menangani krisis global, Jerman menjadi negara Kesatuan Eropah terawal yang reach out dan hulur bantuan terutamanya kepada Itali dan Perancis.
Ini yang kita namakan “Solidaritas”.
Pesakit dari Lombardy di Itali misalnya yang sudah tidak cukup katil, mendapat bantuan Jerman dan dibawa ke hospital di Cologne, Bonn dan Bochum. Sama juga pesakit dari Metz di Perancis. Pasukan perubatan Jerman datang membawa mereka ke Essen, hospital paling dekat dalam North Rhine Westphalia.
Kalau semasa perang dunia 80 tahun dulu pesawat Luftwaffe Jerman tabur bom ke tanah rakyat Perancis, hari ini Jerman bawa pesawat Airbus A310 bawa rakyat Perancis ke Jerman untuk selamatkan mereka pula.
***
Pengajaran yang kita boleh kutip daripada tindak tanduk Jerman dalam memerangi COVID-19;
1. Sentiasa sediakan payung sebelum hujan. Get ready, and get prepared for anything worst to come.
2. Keilmuan, kepakaran, sains dan teknologi adalah alat yang sangat penting ketika berhadapan krisis.
3. Sentiasa mengutamakan kekuatan negara melalui pembangunan intensif fasiliti perubatan, makmal, hospital dan pusat kajian sains.
4. Tidak main-main dan ambil mudah bila nampak first sign of trouble. Terus bertindak dan bersiap siaga seadanya.
5. Ketepikan agenda politik dan meletakkan negara serta kepentingan rakyat di hirarki paling tinggi ketika mengemudi krisis.
6. Jahat dahulu tidak semestinya jahat selamanya. Semasa Perang Dunia Kedua, Nazi Jerman ibarat Galactic Empire yang mahukan kemusnahan, tapi hari ini ketika kita semua berhadapan perang Dunia Novel Coronavirus, Jerman pula memimpin pasukan Rebel Alliance menentang kejahatan COVID-19.
Jadilah seperti Jerman.
Bila sudah kuat dan hebat, tetap stay humble. Tolong pula orang susah yang memerlukan.
Kita pula di Malaysia jadilah orang kaya yang tidak kedekut, orang kuat yang tidak menindas dan orang pandai yang sentiasa mengajar.
Seorang Takafulman yang berjaya. Juga penulis buku antaranya Dari Tanjung Malim Ke KLCC, Dari KLCC Ke Tanjung Malim dan Proletar Dua Menara. Menetap di Tanjung Malim sejak kecil sehingga kini bergelar bapa.