Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam ucapannya di satu majlis menyatakan bahawa beliau tidak kisah dilabel ‘Inspektor Tandas’ oleh segelintir seteru politik yang menggunakannya sebagai satu unsur serangan peribadi.
Gelaran sedemikian diberikan kepada Perdana Menteri di atas kecenderungan beliau memeriksa tandas khususnya di sekolah dan usaha berterusan beliau untuk membaik pulih tandas yang uzur.
Usaha membaik pulih tandas mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai sesuatu yang remeh dan kerja bawahan yang tidak sepatutnya menjadi urusan seorang pemimpin negara, apatah lagi oleh seseorang berjawatan Perdana Menteri.
Namun begitu sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, Anwar sedar pentingnya tandas yang bersih dan lengkap dalam membina masyarakat madani yang yang menjadi gagasan dalam era kepimpinan beliau.
Majoriti dari kita mungkin melihat tandas sebagai tidak lebih dari sebuah tempat melepaskan hajat kecil atau besar, tetapi penciptaan tandas juga sebenarnya merupakan satu asas kepada ketamadunan manusia dan bukti kemodenan seperti diakui oleh sekian ramai sejarawan.
Bahkan dalam agama Islam, tandas juga dilihat sebagai suatu keperluan asas selaras dengan tuntutan agama yang sangat mementingkan kebersihan dalam segala sudut kehidupan. Zaman kegemilangan Islam menyaksikan pembinaan tandas awam selari dengan pembinaan masjid yang menjadi bukti betapa kebersihan itu berkait rapat dengan ritual ibadah.
Usaha murni Perdana Menteri membaik pulih tandas di sekolah adalah satu bentuk keprihatinan beliau terhadap kebajikan anak-anak sekolah. Justeru itu peruntukan RM70,000 melalui Kementerian Pendidikan untuk setiap sekolah telah disediakan bagi tujuan membaik pulih tandas sekolah yang uzur.
Nyata sekali, pendekatan oleh Perdana Menteri haru ini jauh berbeza dengan Perdana Menteri pertama Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin yang pernah membelanjakan RM38 juta duit rakyat untuk ubah suai Seri Perdana ketika zaman pandemik COVID-19.
Di saat rakyat dihimpit pandemik, kegawatan ekonomi hingga terpaksa mengibar bendera putih di rumah sendiri, pemimpin negara pula memilih untuk bermewah mengubah suai kediaman sendiri.
Sedangkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, jumlah RM38 juta yang sama sebaliknya digunakan untuk baik pulih tandas di 542 buah sekolah yang memerlukan.
Sesungguhnya kebersihan itu sebahagian dari kesempurnaan iman manakala kekotoran dan pembaziran itu pula sebahagian dari sifat syaitan, dan sesungguhnya juga pentadbiran kerajaan hari ini jauh lebih prihatin keperluan rakyat marhaen berbanding kerajaan sebelum ini yang hidup laksana di kayangan.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.