BAGAIMANA ‘ABANG MAT’ MENDAPATKAN KEBENARAN IMPORT BERAS PUTIH DARI INDIA?

Umum tahu negara berdepan dengan isu bekalan dan harga beras yang melanda sejak beberapa bulan lalu.

Bekalan Beras Putih Import (BPI) terjejas berikutan langkah sesetengah negara seperti India yang mengenakan sekatan eksport untuk produk beras mereka.

Kesan dari bekalan yang terhad, harga BPI melonjak naik dan ini mengakibatkan sebahagian pengguna beralih ke Beras Putih Tempatan (BPT) yang dikawal harganya namun ia menjerumus pula kepada ketidakcukupan bekalan BPT di pasaran.

Ada pelbagai intervensi dibuat oleh Kerajaan Perpaduan untuk mengatasi isu beras ini, antaranya dengan meningkatkan bekalan BPT, menyerap harga BPI, melaksanakan operasi bersepadu dan sebagainya.

Terkini satu lagi langkah kerajaan adalah untuk menambah bekalan BPI di pasaran dengan berusaha mendapatkan kebenaran import dari negara pembekal seperti India.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu atau ‘Abang Mat’ telah pun memulakan usaha tersebut sejak Ogos 2023 lagi.

Pada 25 Ogos, ‘Abang Mat’ telah mengutus sepucuk surat kepada menteri bertanggungjawab di India agar menarik balik sekatan eksport Beras Putih Selain Basmathi ke Malaysia.

Ia disusuli pula dengan pertemuan empat mata antara ‘Abang Mat’ dan Duta Besar India untuk membincangkan permohonan tersebut pada 27 September.

Syukur, tanggal 19 Oktober usaha tekun ‘Abang Mat’ berhasil apabila Note Verbale diterima dari Kerajaan India yang bersetuju untuk membenarkan Malaysia mengimport 170,000 metrik tan Beras Putih Selain Basmathi.

Kejayaan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat dan keupayaan menteri seperti ‘Abang Mat’ dalam menggunakan saluran diplomatik yang ada bagi mencapai solusi terbaik buat semua.

Komen