Awas Sumpahan Stadium Shah Alam

Stadium Shah Alam (yang lama dan sudah uzur) dibina pada tahun 1994 dengan kos menelan belanja sebanyak RM480 juta. Pada masa ianya siap dibina, Stadium Shah Alam merupakan stadium terbesar di Malaysia.

Rekaan Stadium Shah Alam sebenarnya diinspirasi dari Stadion Poljud di Split, Croatia. Rekaan kedua-dua stadium saling tidak tumpah. Tetapi apa yang membezakan keduanya adalah dari segi saiz. Berbanding kapasiti 80,372 untuk Stadium Shah Alam, Stadion Poljud hanya mempunyai kapasiti 34,198.

Seperkara lagi yang membezakan antara kedua stadium ini ialah, Stadion Poljud masih lagi dalam keadaan baik dan digunakan untuk acara sukan seperti olahraga dan bola sepak. Stadium Shah Alam pula walaupun berusia 15 tahun lebih muda berbanding Stadion Poljud, tetapi sayangnya ia kini tidak lagi selamat untuk digunakan.

Pembinaan Stadium Shah Alam sebenarnya adalah kemuncak yang menobatkan Selangor sebagai negeri termaju dan mungkin terkaya di Malaysia. Ia menceritakan bagaimana sebuah kerajaan negeri terlebih dahulu berupaya membina stadium gergasi sebelum kerajaan persekutuan melakukannya melalui  Stadium Nasional Bukit Jalil yang hanya siap pada tahun 1998.

Namun, realiti yang sebenarnya ialah pembinaan stadium tersebut merupakan satu pembaziran berskala besar. Dengan belanja ratusan juta ringgit dan kapasiti lebih 80 ribu, Stadium Shah Alam menjadi stadium projek gajah putih.

Tentu sekali, ada masanya kapasiti stadium ini diisi penuh dengan penonton. Tetapi mungkin setahun sekali ketika perlawanan akhir Piala Malaysia contohnya, itu pun jika final dianjurkan di Stadium Shah Alam. Tetapi sejak adanya Stadium Nasional Bukit Jalil yang lebih moden dan besar, Stadium Shah Alam hanya menjadi pilihan kedua apabila SNBJ sedang diselenggara atau baik pulih.

Stadium Shah Alam juga bukan pilihan utama penganjuran konsert bertaraf antarabangsa. Seingat saya, hanya tiga konsert besar melibatkan artis antarabangsa pernah diadakan di sana. Bon Jovi pada tahun 1995, Deep Purple pada tahun 1999 dan Maroon 5 pada tahun 2012. Mungkin ada konsert lain oleh artis tempatan atau serantau, tetapi tidak banyak.

Ada dua sebab kenapa Stadium Shah Alam bukan pilihan utama penganjuran konsert. Pertama, Shah Alam adalah bandar raya ‘kekeluargaan’ dan ‘Islamik’. Panggung wayang pun mengambil masa bertahun untuk akhirnya dibuka di Shah Alam apatah lagi untuk bandar raya ini menjadi pusat konsert tahunan.

Yang kedua pula, duti hiburan yang dikenakan di Selangor agak tinggi berbanding di Kuala Lumpur. Justeru penganjur konsert mengelak memilih Stadium Shah Alam kerana mahu menjaga margin keuntungan mereka.

Tanpa keupayaan untuk memenuhi setiap ruang kapasiti stadium baik dalam perlawanan bola sepak mingguan melibatkan Selangor FC atau pun melalui konsert bertaraf antarabangsa, Stadium Shah Alam tidak berkeupayaan menjana pulangan setimpal. Sebaliknya kos selenggara yang tinggi untuk sebuah stadium gergasi bermakna lebih banyak duit terpaksa keluar berbanding masuk ke kantung kerajaan negeri.

Siapa kerajaan negeri ketika Stadium Shah Alam dibina? Barisan Nasional (BN).

Pada tahun 2008 ketika Pilihan Raya Umum ke-12, Selangor tumbang ke tangan Pakatan Rakyat (PR). Salah satu sebabnya berpunca dari rasa tidak puas hati rakyat Selangor dengan pemerintahan kerajaan BN di Selangor selama ini, antaranya melibatkan hal pembaziran dalam kebanyakan projek atau aktiviti kerajaan negeri.

Salah satunya tidak mustahil Stadium Shah Alam.

Kerajaan PR, dan kemudian kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang mewarisi kerajaan negeri Selangor juga tidak berupaya untuk mengubah nasib Stadium Shah Alam. Ia terlalu ‘gergasi’ untuk mengisi keperluan yang tidaklah sebesar mana.

Selangor FC terus bermain di situ tetapi jumlah penonton mereka setiap kali perlawanan jarang sekali mencapai separuh atau 50% dari kapasiti Stadium Shah Alam. Konsert juga hampir tiada dianjurkan sekaligus menutup peluang untuk stadium tersebut mendapat kutipan selain dari jualan tiket bola sepak yang tidaklah sebanyak mana.

Tahun demi tahun, Stadium Shah Alam semakin uzur hingga akhirnya ia diklasifikasikan tidak selamat untuk sebarang acara sukan atau hiburan.

Stadium Shah Alam menjadi sumpahan. Satu-satunya cara untuk menghapuskan sumpahan ini ialah dengan merobohkan ‘gergasi’ yang tidak diperlukan.

Inilah yang sedang diusahakan kerajaan negeri Selangor hari ini melalui projek Kompleks Sukan Shah Alam termasuk pembinaan semula Stadium Shah Alam baharu dengan saiz kapasiti yang lebih kecil. Ia lebih masuk akal kerana memberikan pulangan yang mungkin bersesuaian dengan kos selenggara stadium.

Tetapi menghapuskan sumpahan bukanlah mudah. Dengan pilihan raya negeri yang akan diadakan dalam tahun ini, isu Stadium Shah Alam sudah pun menjadi modal politik pihak lawan dalam usaha menumbangkan kerajaan PH di Selangor.

Sebagaimana Stadium Shah Alam menjadi sumpahan kepada BN hingga tumbang di Selangor pada 2008, ia juga tidak mustahil boleh menjadi sumpahan yang sama buat PH.

Justeru, kebijakan kerajaan negeri Selangor adalah penting bagi memastikan rakyat negeri faham dan jelas kenapa perlunya dirobohkan Stadium Shah Alam yang lama untuk digantikan dengan yang baharu.

Jika tidak, termakan sumpahlah jawabnya.

Komen