AUKUS: Impian Australia Dan Dilema ASEAN

Tindakan Australia memeterai pakatan strategik bersama United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dinamakan AUKUS telah mencetuskan perdebatan geopolitik yang hangat di rantau Indo-Pasifik. Pelbagai reaksi timbul dan gemanya bukan sekadar di kalangan negara anggota ASEAN tetapi turut mendapat perhatian India, Jepun dan juga Perancis.

Australia yang dikritik hebat oleh negara jirannya terpaksa bertindak menghubungi negara terlibat untuk memperjelaskan situasi mereka. Ini termasuklah panggilan telefon oleh Perdana Menteri, Scott Morrison menghubungi rakan sejawatnya Ismail Sabri untuk memaklumkan bahawa AUKUS adalah perlu bagi memudahkan Australia memiliki kapal selam berkuasa nuklear untuk angkatan lautnya.

Apa Perlunya AUKUS?

Pakatan strategik bukanlah sesuatu yang pelik dalam hubungan antarabangsa. Ia menjadi amalan kebanyakan negara dalam mewujudkan satu kolektif keamanan atau pakatan ketenteraan bersama.

Lama sebelum AUKUS, Australia merupakan parti kepada beberapa pakatan strategik lainnya seperti ANZUS (melibatkan Australia, New Zealand dan AS), Five Eyes (Australia, Kanada, New Zealand, UK dan AS), Quad (Australia, India, Jepun dan AS) serta Five Powers Defence Arragements (FPDA)/Perjanjian Pertahanan Lima Negara yang melibatkan Australia bersama Malaysia, New Zealand, Singapura dan UK.

Tindakan Australia memeterai AUKUS bukanlah sesuatu yang luar biasa. Akan tetapi dalam imbangan geopolitik semasa, persoalan kenapa perlunya AUKUS tidak dapat dielakkan. Apatah lagi mengambil kira beberapa pakatan strategik sedia ada yang dianggotai Australia.

Dalam panggilan telefon oleh Canberra ke Putrajaya (yang perlu dilakukan oleh kerana kedua negara adalah parti di dalam FPDA), Scott Morrison menjelaskan kepada Ismail Sabri bahawa AUKUS adalah perlu bagi memenuhi keperluan ketenteraan negara itu.

Australia memerlukan armada kapal selam yang baharu bagi memenuhi keperluan strategik mereka, sebuah negara benua yang dikelilingi lautan ibarat sebuah pulau gergasi. Pada masa kini armada kapal selamnya terdiri dari kelas Collins, enam buah kapal selam diesel-elektrik yang digunakan sejak 1996.

Perancangan asal Australia adalah untuk menggantikan kapal selam kelas Collins ini dengan kelas Attack, kapal selam rekaan asal Perancis yang akan menelan belanja sekitar AUD90 bilion untuk 12 buah. Kapal selam diesel-elektrik kelas Attack pastilah jauh lebih maju berbanding kelas Collins yang sedia ada.

Akan tetapi kapal selam kelas Attack ini masih belum mampu untuk menyaingi kehebatan kapal selam berkuasa nuklear yang dimiliki China. China memiliki sejumlah 19 kapal selam berkuasa nuklear (7 kapal selam peluru berpandu balistik dan 12 kapal selam pemburu) yang disokong oleh 60 buah kapal selam diesel-elektrik lain.

Senario strategik 2021 adalah berbeza dengan tahun 1996 ketika Australia melancarkan kapal selam kelas Collins. Pada tahun 1996, angkatan laut China masih bertaraf green-water navy dan terhad di kawasan pesisir. Kini angkatan laut China telah berubah menjadi blue-water navy dengan kapal selam nuklear, kapal pengangkut pesawat dan kapal pemusnah serta dijangka bakal menyamai keupayaan angkatan laut AS dalam beberapa tahun akan datang.

Justeru, perolehan kapal selam kelas Attack walaupun jumlahnya dua kali ganda berbanding kelas Collins yang sedia ada masih belum mencukupi bagi memenuhi keperluan strategik Australia dalam berdepan China di rantau Indo-Pasifik. Australia memerlukan kapal selam berkuasa nuklear jika mereka mahu menyaingi kekuatan angkatan laut China untuk jangka masa panjang.

AUKUS adalah pakatan strategik bagi memenuhi keperluan Australia ini. Akses kepada teknologi kapal selam nuklear adalah terhad dan kos pembinaannya adalah tinggi. Namun melalui perjanjian yang mungkin terkandung dalam AUKUS, ia membuka ruang dan peluang buat Australia memiliki aset ketenteraan idaman mereka.

Untuk AS dan UK pula, AUKUS adalah pemangkin strategi global mereka dalam membendung China. Menawarkan teknologi kapal selam nuklear pada harga yang minimum akan menjamin penglibatan aktif Australia bersama AS dan UK di rantau Indo-Pasifik. AS khususnya boleh menarik nafas lega kerana Australia boleh menjadi timbalan kepada komitmen ketenteraan AS di rantau ini.

Reaksi Negara Jiran Dan ASEAN

Namun pemerolehan kapal selam nuklear dalam aset ketenteraan Australia tetap mengundang rasa tidak puas hati jiran sekitar. New Zealand sebagai jiran paling dekat mempunyai polisi bebas nuklear yang tegas, pernah menghalang kemasukan kapal tentera berkuasa nuklear AS ke perairan mereka dan sudah pun memberi amaran akan melakukan layanan yang sama ke atas kapal selam nuklear Australia.

Jepun, Korea Selatan dan Taiwan pula melihat AUKUS sebagai satu perkara positif yang dapat membantu negara-negara ini membendung China. Nada sama dikongsi oleh India yang merupakan seteru geopolitik China.

Di kalangan negara ASEAN, kegusaran timbul tentang potensi tercetusnya perlumbaan senjata di rantau Indo-Pasifik. Negara ASEAN sejak sekian 1971 telah menegaskan Asia Tenggara sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Bahkan pada tahun 1995 komitmen ini diperkukuhkan lagi dengan termeterainya Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ). Walaupun kedua ZOPFAN dan SEANWFZ kerap dicabul oleh negara kuasa besar seperti AS dan China, ASEAN tidak mahu melihat munculnya kuasa asing lain seperti Australia sebagai pencabul yang baharu.

Indonesia, satu lagi jiran terdekat antara yang paling mengkhuatiri niat sebenar Australia. Pengalaman pada tahun 1999 berkait penglibatan Australia ketika usaha kemerdekaan Timor Timur membuatkan Indonesia sentiasa berwaspada terhadap permainan geopolitik jiran selatannya yang pernah digelar deputy sheriff AS di Asia. Australia dikhuatiri bakal menggunakan kapal selam nuklear sebagai bargaining chip dalam apa sahaja perundingan dengan Indonesia di masa hadapan, malah tidak mustahil sebagai senjata ugutan apabila berlaku konflik.

Sentimen sama turut menjadi pegangan Thailand dan Vietnam, walaupun ia lebih disebabkan faktor ekonomi. Kedua negara ini mempunyai hubungan dagang yang besar dengan China, kepentingan yang jauh mengatasi pengaruh AS apa lagi Australia. Sebelum Covid-19 meletus, Thailand dan Vietnam juga antara negara yang banyak menerima kedatangan pelancong China.

Laos dan Myanmar pula tanpa perlu diduga pastilah memihak pada China dalam hal ini, kerana kebergantungan pelaburan dari China dan sokongan politik bagi mengekalkan keabsahan kerajaan junta di Myanmar dan komunis di Laos.

Negara kecil ASEAN yang lain, seperti Brunei dan Kemboja pula mungkin mengambil sikap selaras dengan prinsip ZOPFAN dan SEANWFZ apabila menolak AUKUS.

Dua negara ASEAN yang menjadi parti kepada FDPA, Malaysia dan Singapura pula berdepan dilema yang lebih rumit. Singapura walau tidak selantang Malaysia dalam mengkritik Australia, masih tetap mempunyai kegusaran yang berasas. China adalah rakan dagang utama Malaysia dan China. Tetapi pada masa sama, Australia adalah rakan sekutu di dalam FDPA.

Malaysia khususnya, yang telah banyak berdepan insiden pencerobohan ruang udara dan perairan oleh China memerlukan rakan sekutu yang kuat. Keupayaan ketenteraan Malaysia sendiri tidak akan dapat menyaingi China, melainkan melalui kerjasama ketenteraan dengan rakan sekutu yang lain. Pengajaran dari Darurat pengganas komunis dan Konfrontasi dengan Indonesia telah membuktikan bahawa bantuan ketenteraan rakan sekutu adalah penting.

Secara logiknya perolehan kapal selam nuklear oleh Australia akan membantu memperkuatkan keupayaan ketenteraan di dalam FDPA yang menguntungkan Malaysia dan Singapura, tetapi pada masa sama mendatangkan rasa tidak puas hati China yang boleh menjejaskan ekonomi kedua negara ini.

Namun tidak semua negara ASEAN melihat AUKUS sebagai satu permasalahan. Filipina, sebagai negara ASEAN yang mempunyai pertindihan tuntutan dengan China di Laut China Selatan, mengambil pendirian untuk menyokong AUKUS. Ia tidaklah menghairankan kerana Filipina mempunyai hubungan rapat dengan AS dan melihat penglibatan kententeraan AS di Asia Tenggara, biarpun melalui proksi seperti Australia, sebagai satu deterrence ke atas China.

Namun persoalannya, adakah Filipina melakukan pilihan yang betul untuk terus berpihak tanpa berselindung ketika rakan ASEAN yang lain lebih berhati-hati?

Komen