Pada minggu lepas, saya ada melihat pada portal berita yang menunjukkan Arab Saudi dan Iran bersetuju untuk memulihkan semula hubungan diplomatik yang terputus sejak dari tahun 2016. Ini merupakan satu perkembangan bagus yang ditunjukkan oleh kedua-dua negara besar Islam tersebut.
Hubungan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi sebelum ini memang diselubungi dengan pelbagai kontroversi yang berlaku di antara dua negara terbabit dan kemuncaknya adalah pada tahun 2016 iaitu ketika kedutaan Arab Saudi di Tehran dibakar oleh para demonstran yang berdemonstrasi mengecam tindakan Arab Saudi yang melaksanakan hukuman mati terhadap ulama syiah, Nimr al Nimr sehingga menyebabkan Arab Saudi bertindak memutuskan segala hubungan diplomatik dengan Iran.
Justeru yang menarik perhatian di sini ialah kedua-dua negara tersebut bersetuju untuk memulihkan semula hubungan selepas mengadakan perjumpaan di Beijing dan ia merupakan inisiatif oleh China yang memainkan peranannya sebagai orang tengah dalam rundingan tersebut.
Kita dapat lihat di sini bahawa China sudah memulakan langkahnya untuk menjadi negara yang berpengaruh di Timur Tengah tersebut. Ia adalah saingan terhadap Amerika Syarikat yang sudah lama bertapak di Timur Tengah dengan menjadikan beberapa buah negara di Timur Tengah sebagai sekutunya seperti Arab Saudi yang ternyata menjadi sekutu terbesarnya di rantau Timur Tengah ini dengan menjadi pembekal minyak terbesar kepada Amerika Syarikat.
Rundingan di antara dua negara tersebut berjalan selama dua tahun lebih di mana kemuncaknya adalah di Beijing apabila pegawai dari kedua-dua negara tersebut hadir untuk bertemu antara satu sama lain. Ini sebenarnya menunjukkan China sebenarnya mampu menyelesaikan masalah antara kedua-dua negara tersebut selain daripada Amerika Syarikat yang diharapkan untuk memperbetulkan masalah tetapi sebaliknya menimbulkan lagi permasalahan tersebut yang makin rumit dari hari ke hari.
Bagaimana sekutu utama Amerika Syarikat itu mampu untuk duduk berunding bersama dengan seteru lamanya dan bersetuju untuk memulihkan semula hubungan diplomatik yang diuruskan oleh China? Jawapannya adalah Arab Saudi sudah merasakan Amerika Syarikat tidak lagi mampu untuk melindungi sekutu-sekutunya lagi kerana Amerika Syarikat kini dilihat tidak lagi kritikal dengan sekutunya di rantau Timur Tengah.
Amerika Syarikat sekarang ini dilihat tidak mampu lagi untuk mengekalkan pengaruhnya di rantau Timur Tengah terbabit dan kemudian diisi oleh China yang melihat ada peluang untuk mengembangkan pengaruhnya menggantikan Amerika Syarikat di rantau tersebut. Sebab itulah apabila muncul berita Arab Saudi dan Iran bersetuju untuk memulihkan hubungan diplomatik di Beijing yang diuruskan oleh China, dan Amerika Syarikat agak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataannya menerusi jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby iaitu “Amerika mendukung sebarang usaha untuk mengurangkan ketegangan di rantau ini”. Akan tetapi ada sedikit penambahan pada kenyataan tersebut iaitu “ia benar-benar masih harus dilihat jika Iran akan memenuhi kewajipan mereka.” Maknanya Amerika Syarikat sendiri tidak yakin bahawa pemulihan hubungan diplomatik antara kedua negara tersebut mampu menjamin kestabilan di rantau ini.
Ini kerana perang proksi di Yemen masih lagi berlangsung antara puak Houthi yang disokong oleh Iran dan Arab Saudi sejak tahun 2014. Perang di Syria juga masih berlangsung dan belum ada penamatnya di situ dan juga di tempat lain seperti Iraq yang masih lagi bergelut dengan kestabilan politiknya lagi dan sebagainya.
Kesimpulannya, mungkin langkah pemulihan semula hubungan diplomatik antara Iran dan Arab Saudi ini dilihat mampu mengurangkan ketegangan yang berpanjangan di Timur Tengah hasil daripada perseteruan antara kedua negara terbabit, namun kehadiran China di rantau Timur Tengah ini mampu mencetuskan satu ketegangan politik yang baharu yang mana sekutu lama Amerika Syarikat iaitu Arab Saudi perlu memilih sama ada akan terus bergantung kepada Amerika Syarikat ataupun beralih untuk menjadi sekutu kepada seteru utamanya iaitu China.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Naufal Durokhman dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.