Apabila Wabak Berita Palsu Bertembung Wabak COVID-19

Tatkala semua pihak bertungkus lumus dan berusaha keras untuk mengawal dan mengekang penularan wabak COVID-19 di negara kita, pertambahan jumlah berita palsu di media sosial mengenai COVID-19 pula dilihat mula menganggu usaha tersebut. Malah ianya sudah menjadi satu lagi wabak dan virus yang semakin sukar dikawal serta mula menjejaskan kehidupan rakyat. Ironinya, sejak wabak COVID-19 mula menyerang negara kita serta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kita dapat lihat begitu banyak berita palsu terus berlegar di media sosial seperti facebook dan kumpulan WhatsApp. Tindakan para netizen yang cuba menjadi hero dan wartawan ekspres mula mengelirukan rakyat sekali gus mencetuskan panik dan ketidakselesaan dalam kalangan anggota masyarakat.

Ironinya setiap hari Pasukan Respon Pantas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) terpaksa mengeluarkan kenyataan “Pemakluman Berita Plasu” yang membabitkan berita tidak tepat, sahih dan benar melibatkan pelbagai agensi kerajaan. Untuk rekod, sejak pasukan ini ditubuhkan pada 16 Mac lalu, secara purata pasukan ini menerima enam hingga sembilan berita palsu dalam sehari. Misalnya antara berita palsu yang menarik perhatian kita ialah, Ketua Pengarah Imigresen terpaksa menafikan berlakunya kejadian rempuhan warga negara Malaysia yang cuba balik dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru pada 9 April 2020 dan terpaksa juga menjelaskan video yang ditularkan dalam media sosial itu sebenarnya adalah suasana latihan kebakaran yang dilaksanakan di BSI pada 18 Disember 2019. Begitu juga halnya dengan pelbagai berita palsu lain yang mencetuskan panik dan kerisauan dalam kalangan anggota masyarakat seperti berita terdapat kes positif COVID-19 di sesebuah lokasi, hebahan palsu tentang sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai zon merah serta ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sesuatu lokasi. Malah sebelum PKP fasa pertama diumumkan juga telah tular berita palsu bahawa kerajaan akan mengumumkan perintah berkurung sehingga mencetuskan pembelian panik dalam kalangan rakyat.

Sedar atau tidak tindakan tidak bertanggungjawab segelintir anggota masyarakat kita sendiri yang menyebarkan wabak berita palsu ini mula menggangu usaha pihak berkuasa menangani penularan wabak COVID-19. Penulis sendiri tidak faham kenapa masih ada yang begitu degil dan mementingkan diri sehingga sanggup menularkan berita palsu dan tidak sahih walaupun kita percaya mereka sedar ianya satu perbuatan yang salah, tidak beretika dan boleh menganggu ketenteraman awam.

Dalam keadaan seluruh anggota masyarakat risau dan bimbang dengan penularan wabak ini, adalah sangat tidak wajar kita mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan berita palsu seperti ini. Justeru netizen perlu hentikan perbuatan yang keji ini kerana jelas ianya menyusahkan semua pihak. Sepatutnya semua anggota masyarakat bersatu padu memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada barisan petugas hadapan terutamanya kelompok petugas kesihatan dalam menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan. Untuk itu juga kita perlu mendengar nasihat kerajaan dan menyokong segala usaha yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa demi menjaga kesihatan dan keselamatan nyawa seluruh rakyat Malaysia.

Sesungguhnya ini bukan masa untuk kita bermain-main, bertindak kebudak-budakan atau cuba menjadi hero kerana percayalah ianya sangat tidak kena pada tempatnya. Sedarlah virus ini cukup berbahaya di mana bilangan kes positif dan kematian terus meningkat di seluruh dunia. Jadi bermuhasabalah sebentar apakah tindakan kita menyebarkan berita palsu ini boleh membantu pihak berkuasa atau menyusahkan dan menyukarkan lagi kerja mereka.

Sekarang kita berada berada pada fasa ketiga PKP dan belum ada apa-apa jaminan PKP ini akan ditamatkan pada fasa ini kerana masih banyak lagi usaha untuk mengekang penularan wabak ini perlu dilaksanakan. Ini ditambah lagi dengan kedegilan segelintir rakyat kita yang masih ingkar arahan PKP dan terus keluar rumah tanpa sebarang alasan yang munasabah dan logik. Jadi ingatlah banyak lagi kerja yang lebih penting yang perlu dilakukan dan diberi tumpuan khusus oleh semua agensi kerajaan agar dapat menangani wabak ini dengan berkesan daripada terpaksa membuang masa pada setiap hari untuk mengeluarkan kenyataan makluman penafian tentang sesuatu berita palsu.

Kepada golongan netizen yang sudah terbiasa dengan budaya menyebarkan berita palsu ini, besarlah harapan kita agar jika tidak dapat membantu sekalipun janganlah menyusahkan dan menganggu usaha untuk mengekang penularan wabak ini. Menyebarkan berita palsu bukanlah suatu budaya yang baik dan kita tidak mahu ianya menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat kita. Oleh itu, mulai dari sekarang belajarlah untuk kawal diri dan nafsu agar tidak terjebak dalam kelompok yang menyebarkan berita palsu. Jika semua anggota masyarakat dapat berfikir dan bertindak dengan matang, rasional dan penuh bertanggungjawab pada diri, rakyat dan negara, kita yakin tidak akan berlaku lagi penularan berita palsu. Ini sekali gus akan membolehkan semua pihak berkuasa memberikan tumpuan penuh kepada usaha untuk mengekang penularan wabak berbahaya ini. Katakan tidak pada budaya menyebarkan berita palsu, duduk diam-diam di rumah dan biar pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka dengan tenang dan tanpa sebarang gangguan.

Komen