RUMAH adalah antara keperluan asas setiap manusia jadi tidak hairanlah kalau setiap orang ada impian untuk membeli dan memiliki sebuah rumah sebagai tempat berteduh seisi keluarga. Maka secara lazimnya impian ini akan disandarkan kepada pendapatan dan kemampuan kewangan masing-masing. Dalam senario semasa rakyat semakin bergelut untuk membeli rumah apabila rumah yang dibina bukan lagi berstatus mampu milik sebaliknya sekadar mampu lihat sahaja. Inilah nasib malang dan tragedi yang sedang menimpa majoriti rakyat negara ini.
Hakikatnya isu pemilikan rumah terus menjadi mimpi ngeri dalam kalangan rakyat kita terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana atau lebih dikenali sebagai kelompok B40 dan M40. Bagi golongan ini impian tersebut semakin kabur umpama jauh panggang dari api. Hal ini kerana majoriti rumah yang ada dan sedang dibina bukan lagi rumah mampu milik sebaliknya sudah menjadi rumah yang hanya mampu lihat sahaja.
Pelbagai kajian telah dilaksanakan selama ini tentang perkara ini namun masalahnya masih belum menemui titik noktah. Ironinya hampir semua kajian yang dibuat membuktikan rakyat semakin sukar dan bergelut untuk membeli sebuah rumah. Terkini hasil dapatan kajian Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada September lalu menunjukkan 53 peratus daripada responden di kalangan penjawat awam belum mampu memiliki rumah sendiri sebaliknya mereka sama ada masih menyewa, menetap di kuarters atau mendiami kediaman milik keluarga. Untuk rekod kajian ini menunjukkan 2,817 penjawat awam daripada 5,308 responden masih tidak memiliki rumah sendiri.
Antara punca mereka tidak dapat membeli rumah ialah, kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan mengikut kelayakan dan harga rumah, jumlah potongan gaji sekarang terlalu tinggi serta jumlah potongan gaji tidak mencukupi. Jika dibuat analisa, senario ini berlaku apabila wujudnya ketidakseimbangan yang sangat ketara antara harga rumah yang semakin melambung naik dengan kadar kenaikan gaji yang sangat perlahan. Akibatnya penjawat awam tersepit dengan kesukaran untuk memperolehi pinjaman perumahan.
Memandangkan rumah adalah keperluan asas, kita memohon pihak kerajaan sebagai pihak berkuasa dan penggubal dasar masuk campur untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri. Kita akui kerajaan juga sedang berusaha untuk membina sebanyak mungkin rumah mampu milik misalnya kerajaan dikatakan sudah merangka perancangan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2018 hingga 2028, namun hakikatnya masalah ini kelihatan cukup kompleks dan masih terus berlaku di mana rakyat terus merungut dan semakin tertekan.
Perkara pokok di sini ialah harga rumah terlalu mahal. Para pemaju jelas kelihatan lebih suka dan mengutamakan projek rumah mewah yang mendatangkan keuntungan berlipat ganda berbanding rumah mampu milik pada harga yang rendah dan sederhana. Nampaknya ketamakan dan kedegilan para pemaju terus menzalimi rakyat yang kurang berkemampuan. Misalnya hasil kajian Bank Islam melalui Kajian Ekonomi Berdasarkan Sektor 2020 mendapati rakyat Malaysia tidak mampu membeli rumah kerana purata harga rumah di pasaran ketika ini 234 peratus lebih tinggi berbanding purata harga rumah yang mampu dimiliki. Purata harga rumah ketika ini adalah pada kadar RM372,126 berbanding kemampuan berdasarkan purata pendapatan rakyat pada kadar RM3,087. Dan berdasarkan purata pendapatan tersebut, rumah yang mampu dimiliki adalah pada harga RM111,132 atau RM222,264 untuk pinjaman secara bersama. Persekitaran ini menunjukkan peluang untuk rakyat memiliki rumah semakin hari semakin tipis dan sangat mencabar.
Oleh kerana ianya membabitkan kepentingan rakyat serta melibatkan banyak pihak terutamanya para pemaju yang tamak dan degil, kita sangat memerlukan campur tangan pihak kerajaan supaya dapat menangani masalah ini. Kerajaan di samping membina lebih banyak lagi rumah mampu milik melalui pelbagai agensi kerajaan, perlu juga memberi perhatian serius kepada usaha dan strategi bagi mendesak para pemaju untuk turut membina rumah mampu milik sebanyak mungkin serta mengawal harga rumah yang ditetapkan oleh pemaju. Tuntasnya kita tidak mahu pemaju hanya fokus kepada projek pembinaan rumah mewah dengan harga yang cukup tinggi sehingga menyebabkan golongan kurang berkemampuan terus terpinggir dan tertutup rapat peluang untuk memiliki rumah tersebut.
Di samping itu kita juga memohon agar pihak kerajaan mewujudkan skim pinjaman khas untuk golongan B40 dan M40 sebagai tambahan kepada skim pinjaman perumahan penjawat awam yang sedia ada. Harus diingat golongan B40 dan M40 bukan terdiri dari kalangan penjawat awam semata-mata sebaliknya merangkumi pelbagai lapisan masyarakat terutamanya yang hidup di bandar dan lebih sinonim dikenali sebagai miskin bandar. Dalam keadaan kadar gaji baik dalam perkhidmatan awam mahupun swasta yang secara relatifnya masih rendah dan di tambah pula dengan peningkatan harga barangan dan kos sara hidup yang cukup mendadak mana mungkin golongan ini mampu layak untuk memperoleh pinjaman perumahan dari institusi kewangan. Pendapatan isi rumah umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan perbelanjaan sara hidup yang cukup tinggi terutamanya untuk menanggung anak-anak dan hutang yang sedia ada menyebabkan golongan ini sukar mendapatkan pinjaman kerana dikhuatiri tidak mampu membayar balik. Jadi di sinilah kita memerlukan skim pinjaman khas tersebut yang lebih fleksibel dan bersandarkan kepada konsep ihsan dan kebajikan dan bukannya keuntungan dengan hasrat untuk membantu rakyat miliki rumah.
Pada masa yang sama kerajaan juga wajar mempertimbangkan beberapa cadangan dari pakar untuk merungkai masalah pemilikan rumah ini. Antara cadangan yang dilihat mampu membantu ialah kerajaan diminta bertindak sebagai orang tengah dengan memperkenalkan inisiatif pembelian rumah secara pukal yang boleh mengurangkan harga rumah serta memperkenalkan peraturan cukai baharu ke atas rumah yang tidak didiami dalam tempoh dua tahun yang boleh membantu mengurangkan permainan harga rumah dalam kalangan pihak ketiga.
Semoga pihak kerajaan tampil dengan lebih banyak lagi tindakan proaktif serta memperkenalkan pelbagai inisiatif dan strategi yang efisien untuk tempoh jangka pendek dan jangka panjang bagi membantu lebih ramai lagi golongan B40 dan M40 memiliki rumah. Tiada gunanya kita berbangga dan megah dengan status negara maju mahupun Harimau Asia andai sebilangan besar rakyat marhaein masih hidup merempat.
Tentang Penulis:
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam majalah berkala seperti Dewan Masyarakat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.