Apa Itu Kebebasan?

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Apakah sifat sebuah kebebasan? Adakah kita sebagai individu mempunyai ruang kebebasan luas sehingga boleh melakukan apa-apa yang kita mahu dan suka? Bagaimana pula jika kebebasan kita melanggar kepentingan masyarakat atau mendatangkan gangguan dan menceroboh kebebasan individu lain? Ini merupakan lambakan persoalan yang sering terlintas di fikiran apabila kita membincangkan perihal kebebasan. Sudah tentu kebebasan itu tidak pernah dan tidak mungkin bersifat mutlak, kebebasan ini datang dengan tanggungjawab dan tanggungjawab ini boleh jadi bersifat moral atau undang-undang.

Filasuf liberal terkemuka, John Locke walaupun menganjurkan konsep kebebasan individu dan campur tangan kerajaan yang terhad dalam kehidupan manusia, tetap meletakkan had dalam kebebasan. Ini memberi makna kebebasan tidak pernah bebas. Ia sebuah persoalan ironi yang sangat menarik. Namun itulah hakikat yang berlaku dalam kehidupan dan realiti hidup manusia. Kehidupan tidak berseorangan, sebaliknya banyak bersangkutan dengan kehidupan orang lain, jadi tahap kebebasan manusia juga terikat dengan manusia lain, menguruskan kebebasan adalah menguruskan keseimbangan, menguruskan keteraturan.

Locke dalam kenyataan terkenalnya menyebut:

The state of nature is a state of liberty but not of license. The state of nature has a law of nature to govern it, which obliges everyone; and reason, which is that law, teaches all mankind who will but consult it that, being all equal and independent, no one ought to harm another in his life, health, liberty or possessions.

Berasaskan kepada pandangan Locke, kita memahami bagaimana kebebasan individu itu bukan satu lesen untuk berbuat sesuka hati, Locke masih menyebut tentang keperluan untuk menguruskannya melalui kerangka perundangan. Namun kerangka perundangan itu pula wajar bersifat bebas dan seimbang. Di sini Locke menekankan tentang prinsip negara (kerajaan) yang memegang kunci undang-undang harus menegakkannya secara saksama. Ini melihatkan pegangan Locke tentang keperluan kerajaan menjaga kebebasan yang menjadi milik individu.

Dalam ayat terakhirnya Locke menegaskan tentang kehidupan bermasyarakat yang mana asasnya tidak ada sesiapa wajar merosakkan dimensi kehidupan manusia yang lain dan Locke menggariskan kesihatan dan pemilikan harta sebagai dua dimensi utama yang tidak wajar diceroboh dan kedua-duanya ini mewakili keperluan asas manusia. Satu lagi aspek penting yang disebut Locke ialah kebebasan. Locke meletakkan kebebasan sama pentingnya dengan kehidupan, kesihatan dan pemilikan harta. Ini sekaligus membuka perbincangan lebih besar mengenai kepentingan kebebasan. Berasaskan kepada kenyataan Locke ini dapat difahami bahawa kebebasan seseorang individu tidak boleh diceroboh oleh individu lain dan kerajaan. Dalam masa sama kenyataan ini juga memberi makna tentang had-had di dalam kebebasan kerana ketika mengamalkan kebebasan individu lain harus menjaga batas tertentu supaya ia tidak menceroboh kebebasan pihak lain.

Seorang lagi filasuf liberal yang turut menyentuh mengenai had-had dalam kebebasan ialah J.S Mill. Dalam salah satu kenyataannya Mill menyebut:

That the only purpose for which power can be rightfully exercised over any member of a civilized community, against his will, is to prevent harm to others.

Dalam konteks ini Mill mengupas mengenai keperluan dan kegunaan kuasa oleh kerajaan secara benar dan teratur ke atas mana-mana indvidu di dalam sebuah negara jika ia menceroboh kebebasan dan mendatangkan kerosakan kepada indvidu lain. Ini merupakan dimensi pandangan Mill terhadap had dalam kebebasan dan undang-undang merupakan instrumen penting dalam mengawal had kebebasan. Melalui pandangan ini, kita juga dapat melihat bagaimana Mill tetap berpegang kepada keperluan untuk sesebuah kerajaan itu mempunyai kuasa terhad di mana beliau menggunakan istilah rightfully exercised dan ini bermakna kerajaan hanya boleh menggunakan kuasa yang ada mengikut keperluan dan sekatan terhadap kebebasan tidak boleh dilaksanakan selagi seseorang individu itu masih mengamalkan kebebasan dalam ruangnya sendiri tanpa menceroboh ruang individu lain.

​Filasuf terkemuka, Karl Marx dan Friedrich Engels juga mempunyai pandangan tersendiri mengenai kebebasan dan mereka menyebut:

This is not possible without the community. Only within the community has each individual the means of cultivating his gifts in all directions; hence personal freedom becomes possible only within the community. In the previous substitutes for the community, in the state, etc., personal freedom has existed only for the individuals who developed under the conditions of the ruling class, and only insofar as they were individuals of this class. The illusory community in which individuals have up till now combined always took on an independent existence in relation to them, and since it was the combination of one class over against another, it was at the same time for the oppressed class not only a completely illusory community, but a new fetter as well. In the real community the individuals obtain their freedom in and through their association.

Dalam hujah ini Marx dan Engels berpandangan hanya melalui komuniti sahaja kebebasan individu akan dapat dijadikan kenyataan. Marx berpandangan idea mengenai kebebasan individu yang dibangkitkan oleh ahli falsafah liberal sebelumnya hanya memihak kepada kelas memerintah sahaja atau disebut sebagai borjuis. Perbincangan mengenai kebebasan individu dalam kerangka dinyatakan Marx ini tidak melihat keseluruhan struktur masyarakat. Ini juga menjadi titik perbincangan menarik mengenai kesenjangan kelas menyukarkan kesaksamaan kepada kebebasan individu. Ini kerana setiap individu berada pada tahap dan kapasiti berbeza. Sehubungan itu, tahap kebebasan yang dinikmati oleh setiap indvidu adalah tidak sama dan ini berkait rapat dengan status sosial mereka. Dalam hal ini, dilihat wujud keperluan untuk meneliti perbahasan kebebasan dan kebajikan kerana hubungan kedua-duanya membentuk kefahaman menyeluruh mengenai takrifan kebebasan yang diperlukan.

Menurut Womack yang meneliti hubungan kebebasan dan kebajikan melalui pandangan Mill dan Marx, terdapat perbezaan ketara di antara kedua-duanya. Womack memutuskan bahawa Mill beranggapan bahawa kebebasan menjadi punca kepada pengukuhan kebajikan rakyat. Manakala Marx berpandangan sebaliknya apabila melihat kebajikan adalah punca kepada kebebasan. Polemik yang dicetuskan Womack ini secara tidak langsung telah menyentuh mengenai perdebatan panjang tentang kebebasan negatif dan kebebasan positif yang turut terkait mengenai had kebebasan serta campur tangan kerajaan dalam kebebasan individu.

Setiap negara moden pada hari ini mempunyai perlembagaan yang menjadi landasan undang-undang dalam mengawal keteraturan masyarakat dan ia turut memberikan jaminan kebebasan kepada rakyat. Seperti di Malaysia, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan yang disebut sebagai Kebebasan Asasi adalah teras kepada perbincangan kebebasan di negara ini. Terdapat 9 perkara yang terkandung di bawah Bahagian ini bermula dengan Perkara 5 (Kebebasan Diri), Perkara 6 (Keabdian dan Kerja Paksa Dilarang), Perkara 7 (Perlindungan daripada Undang-Undang Jenayah, Kuatkuasa ke Belakang dan Perbicaraan Berulang, Perkara 8 (Kesamarataan), Perkara 9 (Larangan Buang Negeri dan Kebebasan Bergerak), Perkara 10 (Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan Berpersatuan), Perkara 11 (Kebebasan Beragama), Perkara 12 (Hak Berkenaan dengan Pendidikan) dan Perkara 13 (Hak Terhadap Harta).

Berasaskan kepada jaminan berkenaan, kerajaan diberikan mandat untuk melindungi hak-hak berkenaan, namun dalam menjalankan tanggungjawab, kerajaan sentiasa perlu menemukan keseimbangan dalam pemerintahan dan antara hal yang perlu diberikan perhatian ialah merapatkan jurang pendapatan dan golongan kaya-miskin. Malah dalam pentadbiran kerajaan pasti akan bertemu dengan individu dan kelompok masyarakat yang tidak mempunyai keupayaan dan mereka ini jelas memerlukan campur tangan kerajaan untuk dibantu dan ditingkatkan kapasitinya. Misalnya kanak-kanak miskin yang tidak mempunyai wang untuk ke sekolah, maka kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk memastikan kanak-kanak ini dapat ke sekolah, golongan penganggur yang tidak mempunyai pekerjaan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan dan golongan OKU yang sukar untuk mendapatkan rawatan perubatan, diberikan rawatan percuma.

Perbincangan tentang dua konsep kebebasan ini juga sering melewati penelitian aspek ruang awam dan ruang peribadi dan bagaimana hubungan individu dan kerajaan bertindak bagi memastikan kedua-dua ruang ini dihormati dan tidak bertindih di antara satu sama lain.

Komen