Apa Itu Kebebasan? – Bahagian IV

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

(Sambungan dari Bahagian III)

Sebelum ini kita telah melihat konsep kebebasan melalui pandangan T.H Green dan Isaiah Berlin. Di bahagian akhir, saya akan meneliti kritikan yang timbul terhadap konsep kebebasan yang dibawa oleh kedua-dua sarjana ini.

Sarjana terkenal, Charles Taylor memberikan perspektif kritikal terhadap pandangan yang beranggapan kebebasan positif membukan jalan kepada pemerintah autokratik dan menghalang kebebasan. Taylor beranggapan pandangan seperti ini ekstrem dan gagal mengiktiraf kebebasan yang wujud dalam sesebuah masyarakat dan idea seperti ini biasanya berkisar tentang kritikan terhadap idea masyarakat komunis. Dalam keadaan ini, Taylor menganggap kemusnahan kebebasan golongan borjuis bukanlah kemusnahan kepada kebebasan. Berasaskan kepada pandangan Taylor ini, kita dapat menyimpulkan bahawa pertikaian mengenai kebebasan positif sebenarnya adalah atas sifat penolakan sesetengah sarjana terhadap aliran Marxis yang melihat kebebasan berlaku apabila masyarakat wujud tanpa kelas dengan tiada lagi penindasan dan pencerobohan borjuis ke atas proletariat.

​Melanjutkan perbincangannya tentang kedua-dua konsep ini, Taylor membuka dimensi baru mengenai kebebasan positif sebagai exercise-concept, manakala kebebasan negatif sebagai opportunity-concept. Dalam hal ini, Taylor melihat kebebasan positif dilihat sebagai exercise-concept kerana seseorang hanya dikira sebagai bebas apabila berjaya menentukan dan membentuk kehidupannya sendiri. Sementara itu, kebebasan negatif dikira sebagai opportunity-concept kerana ia menjadi bebas hanya terkandung dalam persoalan apa yang boleh dilakukan dan apa yang terbuka untuk dilakukan. Pandangan Taylor ini menegaskan bahawa kebebasan tidak cetek setakat kebebasan dari campur tangan luaran, sebaliknya ia harus menilai halangan-halangan dalaman yang berlaku untuk mencapai kebebasan.

​Pegangan terhadap kebebasan mana yang paling tepat, negatif atau positif juga tergantung kepada ideologi yang dipegang. Ini kerana golongan Libertarian lebih cenderung dan dekat kepada kebebasan negatif, manakala golongan yang berpegang kepada idea Marxisme dan Sosialisme lebih selesa dengan kebebasan positif. Aspek pertembungan ideologi yang membahagikan kebebasan kepada dua bahagian, negatif dan positif telah dibincangkan secara kritikal oleh sarjana politik, MacCallum Jr. Dalam tulisannya, MacCallum secara terbuka mengkritik pembahagian dimensi kebebasan kepada dua bahagian seperti dibincangkan secara konkrit oleh Berlin. MacCallum berpandangan pembahagian ini dilakukan secara tidak jelas dan telah menimbulkan kekeliruan nyata untuk meneliti persoalan falsafah kebebasan yang sebenar.

​Dalam hujahnya, MacCallum Jr mencadangkan konsep kebebasan tunggal dengan kebebasan merupakan satu hubungan triadik. Hubungan ini digambarkan MacCallum sebagai “x ranges over agents, y ranges over such “preventing conditions” as constraints, restrictions, interferences, and barriers, and z ranges over actions or conditions of character or circumstance.” Berdasarkan kepada hubungan triadik yang dibentuk MacCallum Jr, agents boleh ditafsirkan sebagai individu atau masyarakat yang berdepan dengan halangan terhadap kebebasan dan berasaskan kepada halangan ini muncul kesan atau keadaan selepas halangan berkenaan. MacCallum Jr melihat kebebasan dalam pandangan paling mudah dengan melihat hubungan manusia dengan halangan terhadap kebebasan yang dihadapi.

​MacCallum Jr juga menegaskan perdebatan tentang konsep kebebasan negatif dan kebebasan positif seringkali berlangsung dalam keadaan untuk menentukan konsep mana yang benar dan konsep mana yang salah. Keadaan seperti ini menurut MacCallum Jr tidak membantu ke arah usaha mengesan masalah asas dalam pemahaman dan perbahasan falsafah kebebasan. Sehubungan itu, MacCallum mencadangkan untuk kebebasan memakai satu konsep dalam melihat segala perdebatan yang berlangsung dalam dua dimensi yang menjadi pertikaian sebelum ini.

Komen