Apa Itu Kebebasan? – Bahagian III

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

(Sambungan dari Bahagian II)

Sambungan perbincangan mengenai kebebasan yang diteliti sebelum ini. Selepas melihat pandangan T.H Green kita melanjutkan pemahaman terhadap idea kebebasan Isaiah Berlin.

Idea-idea Green telah mencetuskan perdebatan panjang mengenai kebebasan dan salah seorang sarjana yang menyambutnya ialah Isaiah Berlin. Dalam menstrukturkan semula konsep kebebasan positif dan negatif yang disentuh Green, Berlin telah membentuk semua takrifan terhadap kedua-dua dimensi kebebasan ini. Berlin pada asasnya banyak mengemukakan kritikan terhadap pandangan Green mengenai kebebasan positif dan melalui kritikan ini kita memahami bahawa Berlin memiliki pandangan berbeza dan lebih memberikan keutamaan kepada kebebasan negatif. Dalam beberapa nota kakinya di dalam esei terkenalnya, Two Concept of Liberty, Berlin beberapa kali mengemukakan kritikan terhadap idea-idea Green. Antaranya Berlin menyebut:

Hence I find nothing to disagree with in Green’s recommendations; I reject only the metaphysical doctrine of the two selves – the individual streams versus the social river in which they should be merged, a dualistic fallacy used too often to support a variety of despotisms. Nor, of course, do I wish to deny that Green’s views were exceptionally enlightened; and this holds of many of the critics of liberalism in Europe and America in the last hundred years or so. Nevertheless, words are important, and a writer’s opinions and purposes are not sufficient to render the use of a misleading terminology harmless either in theory or in practice. The record of liberalism is no better in this respect that that of most other schools of political thought.

Dalam satu lagi bahagian Berlin menyebut:

Apart from the confusion of freedom with equality, this entails that if a man chose some immediate pleasure – which (in whose view?) would not enable him to make the best of himself (what self?) – what he was exercising was not ‘true’ freedom: and if deprived of it, he would not lose anything that mattered. Green was a genuine liberal: but many a tyrant could use this formula to justify his worst acts of oppression.

Dalam kedua-dua nota kaki ini, Berlin menyatakan rasa tidak selesanya dengan pandangan Green yang disifatkannya sebagai memiliki kelemahan dan mendukung kepelbagaian bentuk kuasa mutlak serta penindasan. Malah Berlin mendakwa walaupun Green seorang pemikir liberal, namun idea-ideanya boleh digunakan oleh pemerintah zalim untuk menegakkan tindakan penindasan mereka. Berlin juga melihat idea-idea Green mengenai kebebasan positif adalah mengelirukan khasnya apabila Green membina hubungan positif antara kebebasan dan kesaksamaan. Pandangan Berlin ini, berdiri pada asas kebimbangan tentang pemerintah boleh menggunakan alasan untuk meningkatkan keupayaan rakyat dan membaiki taraf kehidupan sebagai punca untuk meluaskan penguasaan dan membentuk sistem pemerintahan yang lebih menekan seperti totalitarian. Namun dalam masa sama, Berlin tidak menolak sepenuhnya kebebasan positif dan hal ini dapat diperhatikan dalam beberapa perbincangan lanjut kemudian.

Berlin berjaya membina takrifan kebebasan positif dan kebebasan negatif yang lebih jelas. Kebebasan negatif menurui Berlin ialah “what is the area within which the subject – a person or a group of persons – is or should be left to do or be what he is able to do or be without interference by other persons.” Sementara itu, kebebasan positif ialah “what or who is the source of control or interference that can determine someone to do or be this rather than that.”

Dalam kebebasan negatif, Berlin meneroka aspek ketiadaan campur tangan dari pihak lain terhadap kebebasan individu. Bagi menjelaskan takrifan berkenaan secara terperinci, Berlin menganggap apabila seseorang individu itu dihalang daripada melakukan apa yang individu berkenaan berupaya untuk melakukannya, maka individu berkenaan telah hilang kebebasan dan jika keadaan ini berlarutan ke peringkat yang lebih luas, maka individu berkenaan boleh dianggap sudah menjadi hamba kerana kebebasannya telah dicampuri oleh pihak lain.

Dalam kebebasan positif pula Berlin menumpukan perbincangan tentang penentuan sumber kawalan dan campur tangan. Berbanding kebebasan negatif yang bercakap tentang absence terhadap campur tangan, kebebasan positif bercakap tentang presence campur tangan. Walaupun Berlin menyatakan kritikan terhadap konsep kebebasan positif Green, namun Berlin dalam masa sama turut mengakui tujuan kebebasan positif adalah untuk membina keupayaan dan kapasiti individu agar mereka mencapai tahap self-mastery atau menjadi tuan kepada diri mereka sendiri. Apa yang dipaparkan Berlin ini sebenarnya menyamai hubungan kebebasan positif dan negatif yang dihuraikan Green di mana apabila individu mencapai tahap self-mastery, barulah individu berkenaan mampu mengamalkan kebebasan negatif secara lebih kukuh.

Kritikan Berlin terhadap Green kadangkala mempunyai elemen kontrakdiksi dalam pandangannya sendiri tentang kedua-dua konsep kebebasan ini. Misalnya ketika membincangkan soal kemerosotan kebebasan, Berlin menganggap kemerosotan ini berlaku kerana kewujudan halangan untuk mencapai matlamat sebagai manusia, namun dalam masa sama Berlin melihat jika halangan itu berkaitan dengan ketidakupayaan sendiri, maka ia tidak boleh dianggap sebagai kemerosotan kebebasan.

Kontrakdiksi ini juga jelas apabila Berlin menganggap adalah satu jenaka untuk menawarkan hak politik atau memelihara kebebasan daripada campur tangan negara kepada golongan yang tidak berkeupayaan seperti tidak mempunyai pakaian lengkap, buta huruf, kebuluran dan berpenyakit. Bagi Berlin, semua golongan ini memerlukan bantuan perubatan dan pendidikan sebelum mereka mampu memahami, menggunakan dan meningkatkan had kebebasan masing-masing. Berlin menegaskan bahawa kebebasan tidak berguna kepada mereka yang tidak boleh menggunakannya dengan baik seperti golongan yang berada dalam keadaan kekurangan seperti yang dijelaskannya di peringkat awal.

Secara tidak langsung Berlin turut menyentuh mengenai keperluan campur tangan melalui had-had tertentu dan dengan tujuan untuk meningkatkan keupayaan individu bagi menggunakan kebebasan. Jadi andaian bahawa asas-asas hujah Green yang ditolak Berlin sebenarnya telah digunakan semula oleh beliau untuk membincangkan soal pemberian kebebasan dan bagaimana kebebasan hanya dapat berfungsi dalam sistem politik, sosial dan ekonomi yang teratur.

Namun dapat difahami bahawa pandangan Berlin tentang kebebasan positif mempunyai kecenderungan untuk disalah guna apabila berada di tangan pemerintah yang salah. Berlin mempunyai bukti sejarah yang mencukupi untuk menegaskan hujah ini kerana Berlin bercakap dari sudut realisme sistem masyarakat yang akan memunculkan keadaan sedemikian. Dalam hujahnya juga Berlin menegaskan bahawa kebebasan negatif tidak sesuai dalam rejim autokratik yang menafikan elemen self-goverment dan kuasa kerajaan yang terhad.

Dalam hujahnya yang cenderung mendukung kebebasan negatif, Berlin turut menyatakan kebimbangan mengenai had kebebasan kerana jika manusia dibenarkan melakukan apa sahaja, maka akan berlaku pencerobohan terhadap kebebasan individu oleh individu lain. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan kekacauan dalam sistem masyarakat dan melumpuhkan usaha mengukuhkan pencapaian kebebasan. Keadaan ini menyebabkan mereka yang kuat dan memegang kuasa yang lebih akan menentukan tahap kebebasan indvidu yang lebih lemah. Dalam hal ini, Berlin melihat wujud keperluan untuk kebebasan dibataskan dengan undang-undang dan dalam hal ini Berlin berpandangan wujud keperluan untuk menggariskan sempadan jelas antara ruang peribadi dan ruang awam. Melalui garisan yang jelas, barulah batas undang-undang yang dibentuk tidak mencerobohi kebebasan negatif individu. Berlin turut mengakui bahawa kebergantungan kehidupan manusia sangat rapat dan tiada aktiviti manusia yang benar-benar sepenuhnya berada di ruang peribadi dan tidak berlaga dengan kehidupan manusia lain. Kebebasan sebahagian orang bergantung kepada keadaan sebahagian yang lain mengawal keadaannya. Misalnya seorang mengunci pintu rumahnya sebagai cara menjaga kebebasan diri, namun terdapat seorang pencuri menceroboh masuk rumahnya dan mencuri hartanya. Keadaan ini melihatkan kebebasan gagal diseimbangkan kerana kegagalan individu lain mengawal dirinya. Seperti kata Berlin, “freedom for the wolves has often meant death to the sheep.”

(Bersambung ke Bahagian IV)

Komen