Apa Itu Kebebasan? – Bahagian II

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

(Sambungan dari Bahagian I)

Sambungan perbahasan mengenai kebebasan. Kali ini ditampilkan bahagian berikutnya dengan meninjau pandangan sarjana T.H Green.

Filasuf zaman pencerahan, T.H Green mula memperkatakan tentang pertembungan kebebasan negatif dan kebebasan positif dalam dua ruang utama iatu ruang peribadi dan ruang politik (awam). Dimova-Cookson dalam pandangannya terhadap takrifan kebebasan Green telah menyatakan filasuf ini melihat kebebasan mempunyai kepelbagaian makna kerana ia berkaitan tentang kemahuan dan pemahaman manusia mengenai kebaikan. Green juga tidak lepas daripada mengaitkan kebebasan dengan pertimbangan moral dan bagaimana kebebasan boleh memberikan kebaikan kepada individu dan masyarakat yang disertainya.

Mander ketika membincangkan pandangan Green tentang prinsip kebebasan menyatakan Green telah memecahkan kebebasan kepada tiga dimensi utama iaitu free will, juristic freedom dan real freedom. Free will merujuk kebebasan yang diamalkan oleh seseorang tanpa sebarang bantuan atau halangan daripada pihak lain. Ini merupakan takrifan kebebasan paling rendah dan asas di mana manusia secara semula jadinya bebas melakukan apa-apa perkara yang difikirkan sesuai pada pandangannya. Kebebasan bentuk ini tidak mempunyai perkaitan dengan pihak lain. Peringkat kedua kebebasan yang dilihat Mander pada apa yang dihuraikan Green ialah juristic freedom. Kebebasan dalam dimensi ini adalah tertakluk kepada undang-undang dan memerlukan persetujuan masyarakat. Kebebasan seperti ini terkait dengan kepentingan umum dan sebarang kebebasan yang terlalu luas akan menceroboh kebebasan individu lain di dalam masyarakat. Real freedom pula berbeza dengan kedua-dua dimensi awal kebebasan tadi kerana menurut Mander, real freedom mempunyai komponen bersifat menilai dan Green menyebutnya seperti dipetik Mander sebagai “a positive power or capacity of doing or enjoying something worth doing or enjoying.” Secara asasnya real freedom ini adalah kebebasan untuk melakukan kebaikan. Mander kemudian mengembangkan perbincangan dengan menyatakan bahawa dimensi juristic freedom dan real freedom ini menjadi cerminan kepada konsep kebebasan negatif dan kebebasan positif.

Dalam hujah yang berkaitan Dimova-Cookson melihat juristic freedom sebagai kebebasan untuk melakukan apa yang disukai dan ia adalah landasan permulaan kepada tingkat kebebasan serta ia merupakan bentuk kebebasan yang difahami secara umum. Manakala real freedom pula membawa kepada peringkat kebebasan lebih tinggi dan kompleks yang menyentuh mengenai usaha individu untuk mencapai kebaikan lebih baik kepada diri sendiri (self-perfection) dan menggunakan kebaikan yang dicapai untuk untuk membantu ahli masyarakat yang belum mencapai tahap lebih baik dalam kehidupan.

Berasaskan kepada keadaan ini kita memahami bahawa Green tidak melihat kebebasan sebagai bebas dalam erti kata perlakuan untuk kepuasan di peringkat individu sahaja, konsep kebebasan pada pandangan Green adalah konsep yang berkembang dan memiliki tahap-tahap pencapaian. Dalam kedua-dua dimensi ini kita dapat melihat Green membangunkan pengertian tanggungjawab dalam kebebasan, bukan sahaja tanggungjawab individu untuk mengawal diri sendiri daripada menceroboh kebebasan pihak lain. tetapi juga tanggungjawab positif individu terhadap individu yang lain.

Green meletakkan kebebasan positif sebagai makna sebenar kebebasan dan Green melakukannya melalui pertimbangan moral dengan menganggap bahawa kebebasan adalah keupayaan untuk melakukan sesuatu yang berharga dan mampu dinikmati. Justeru kebebasan melakukan sesuatu yang tidak baik bukanlah erti kebebasan yang dibahaskan Green. Bagi Green kebebasan mempunyai nilai sebagai sebuah kebebasan, jika ia memberikan manfaat kepada masyarakat.

Melalui perbincangan ini dapat difahami bahawa Green merupakan sarjana terawal yang membincangkan aspek kebebasan positif dengan melihat hubungan rapat yang wujud antara kebebasan dengan kesaksamaan dan kebajikan.

Apabila membincangkan kebebasan positif secara khusus, Green meneroka bersama-sama aspek kesaksamaan dan kebajikan yang menjadi tunjang kepada pembentukan masyarakat lebih baik. Masalah kesenjangan dan kebebasan hanya dinikmati oleh sesetengah golongan adalah tidak sihat untuk suasana kebebasan secara lebih menyeluruh. Menurut Dimova-Cookson kebebasan positif dari sudut pandang Green ialah pihak yang memiliki sumber menggunakan sumber berkenaan untuk meningkatkan kesejahteraan pihak lain. Dalam hujah yang sama Green juga disifatkan tidak bersetuju dengan sebarang bentuk tekanan terhadap semua pihak supaya mengamalkan kebebasan positif, sebaliknya pengamalan kebebasan positif ini dilaksanakan secara bersasar melibatkan golongan kaya, berkuasa dan berkeupayaan. Dalam konteks semasa, golongan seperti ini boleh dilihat dalam kerangka kerajaan pada hari ini.

Tujuan utama konsep kebebasan positif dari sudut pandang Green ini adalah untuk membentuk keseimbangan dalam masyarakat dan merapatkan jurang kerana jurang yang melebar khasnya dari segi kelas akan menyebabkan rasa kebebasan itu berbeza-beza. Melalui pandangan umum, kita dapat melihat bahawa kebebasan positif yang dianjurkan Green ini cenderung membentuk penguasaan dominan kelas memerintah. Namun jika kita berbalik kepada pertimbangan moral yang diberikan Green mengenai tujuan kebebasan positif adalah untuk kebaikan, menyediakan masyarakat yang saksama dan memiliki keupayaan seimbang, maka tiada ruang manipulasi dan pencerobohan terhadap kebebasan di antara satu sama lain.

Mander merumuskan bahawa walaupun Green memberi tumpuan kebebasan positif atau real freedom ini sebagai matlamat utama kebebasan, namun Green sama sekali tidak menolak keperluan terhadap juristic freedom dan free will. Secara umumnya, juristic freedom dan free will ialah konsep awal kebebasan negatif yang meneroka ruang tiada campur tangan atau sebarang halangan terhadap perkara-perkara yang mahu dilakukan individu. Namun sebelum kebebasan negatif ini dapat dicapai, pengukuhan masyarakat perlu dilakukan melalui kebebasan positif. Walaupun konsep kebebasan yang ditekankan Green ini mempunyai ciri-ciri idealistik yang sukar untuk dipenuhi dalam kedudukan realisme hubungan masyarakat pada hari ini, tetapi keupayaan Green meneroka hubungan kebebasan positif dan kebebasan negatif sebagai saling melengkapi dan tidak bertentangan telah memberikan makna besar kepada polemik kebebasan.

(Bersambung ke Bahagian III)

Komen