Antara Penduduk Dengan Rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia umumnya memandang rendah pada pekerja-pekerja asing. Malah umumnya akan berasa selesa jika tiada pekerja asing di negara ini. Tetapi mereka sedar tentang keperluan negara terhadap pekerja asing, bukan saja untuk ekonomi tetapi juga keselesaan hidup mereka.

Umum juga mengetahui bahawa pekerja asing tidak dilayan dengan baik di negara ini. Tiada sebarang pembelaan tetapi cuma pejam sebelah mata. Nasib mereka itu adalah sesuatu yang dirasakan tidak selesa tetapi tiada apa yang perlu dilakukan.

Pekerja asing ini dianggap sebagai bukan rakyat Malaysia dan mereka tidak dirasakan perlu dilayan sama dengan warga negara. Hakikat bahawa mereka adalah manusia dan berada di negara melalui laluan sah tidak diambil kira.

Kedudukan pekerja asing adalah mereka ini merupakan penduduk Malaysia. Tetapi konsep penduduk Malaysia adalah luas. Ia meliputi semua manusia yang tinggal di negara ini secara tetap dan sementara. Mereka yang tinggal tetap didaftar sebagai penduduk tetap. Ada yang merupakan penghijrah. Tidak kurang pula yang menyertai program Malaysia Sebagai Rumah Kedua. Ada yang tidak tinggal tetap tetapi didaftar sebagai pekerja asing yang mempunyai permit kerja. Begitu juga dengan permit pelajar dan pelawat. Kemudian ada pula yang didaftar sebagai pelarian. Tetapi banyak penduduk yang tidak didaftar. Ada yang tidak bernegara, stateless. Ada pula pekerja asing tanpa izin (PATI) dan mereka ini boleh disifatkan sebagai penceroboh. Mereka ini adalah kesemuanya penduduk Malaysia. Dalam bahasa Inggeris, mereka ini disebut sebagai sebahagian daripada Malaysian population.

Namun begitu, kalau hendak dikirakan maksud penduduk dengan pengertian lebih luas dan inklusif, ia wajar meliputi semua benda hidup, bukan saja manusia. Dripada tumbuhan hinggalah haiwan yang menduduki wilayah sempadan Malaysia, dari Perlis sampailah ke Sabah. Tentulah mereka ini tidak tertakluk pada undang-undang seperti manusia, tetapi konsep ini lebih selari dengan aliran masa kini yang menghargai alam sekitar.

Haiwan-haiwan itu tidak mengenal sempadan, apatah lagi entiti politik bernama Malaysia. Di semenanjung, umpamanya, harimau dan gajah merentas sempadan Malaysia dan memasuki Thailand, dan tiada sesiapa yang dapat menghalang mereka. Begitu juga apabila orang utan di Sabah keluar sempadan Malaysia untuk memasuki Indonesia.

Itu belum lagi dikira burung yang terbang ikut suka mereka, bebas ke seluruh rantau ASEAN. Begitu juga dengan ikan yang berenang ikut suka mereka. Tetapi ada juga haiwan yang tidak pernah keluar daripada Malaysia. Mereka adalah penduduk tetap negara ini.

Apa yang hendak disebutkan di sini ialah, apabila disebut penduduk, pemikiran seseorang hendaklah jangan tertumpu pada manusia saja. Ia wajar meliputi juga haiwan dan hidupan liar.

Dari segi simboliknya pun, sebagai sebuah negara, Malaysia mempunyai haiwan nasional iaitu harimau yang dinamakan Malayan Tiger atau Harimau Malaya. Nama harimau ini diberikan oleh penjajah British untuk membezakannya dengan Bengal Tiger yang merupakan harimau utama di India. Walaupun ia bernama Harimau Malaya tetapi habitatnya meliputi Thailand Selatan.

Tidak terdapat harimau di pulau Borneo. Haiwan ikonik pulau itu ialah orang utan yang hidup bukan saja di Sabah tetapi juga di Kalimantan. Setiap negeri di Malaysia mempunyai lambang haiwan atau burung masing-masing. Penduduk pula bukan saja haiwan tetapi juga tumbuhan. Apabila melihat konsep kependudukan dari sudut luas ini, maka kesedaran alam sekitar dapat ditekankan.

Malaysia hanyalah secebisan daripada bumi yang wilayahnya bersambung dengan jiran-jirannya, Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina. Sempadan bukanlah menjadi penghalang kepada kesenangan tetapi lebih kepada kemudahan untuk urusan dan pentadbiran.

Akhirnya apa yang bernilai adalah perikemanusiaan seseorang. Bagaimana seseorang mempunyai etika atau berakhlak untuk melayan penduduk yang berada di negara ini. Sama ada seseorang itu warga negara atau tidak, mereka adalah manusia. Jadi nilainya terletak pada mereka yang berdepan dengan golongan ini. Terdapat undang-undang dan peraturan dalam menguruskan mereka. Pada asasnya peraturan dan undang-undang ini ada sebabnya dan untuk kebaikan pelbagai pihak. Walaupun ada kalanya ia menyusahkan, malah berlaku kesilapan tetapi terpulang pada mereka yang berkuasa dan bertugas dalam menghadapinya. Sama ada mereka mempunyai nilai kemanusiaan atau tidak.

Di mana dan bagaimana seseorang lahir tidak ditentukan oleh mereka sendiri. Semuanya mengikut nasib. Jika kebetulan seseorang itu lahir di Malaysia dan menjadi warga negara, maka ia hidup bernasib baik. Tetapi itupun ada yang hendak berhijrah apabila didapati tidak cukup peluang di negara ini. Ada yang berhijrah ke Britain, Australia dan Amerika Syarikat untuk menjadi warga negara sana.

Tetapi katakanlah seseorang itu lahir di Nepal. Di lereng banjaran Himalaya. Sumber kehidupan adalah pertanian, penternakan dan pelancongan. Bilangan penduduk semakin banyak. Tiada industri. Kemiskinan berleluasa. Tiada jalan lain selain daripada mencari pekerjaan di luar Nepal. Maka sampailah seseorang itu di Malaysia untuk menjadi pekerja asing. Walaupun masih merupakan warga negara Nepal tetapi sudah menjadi penduduk Malaysia.

Lebih malang lagi jika seseorang itu lahir sebagai orang Rohingya. Walaupun merupakan rakyat Myanmar tetapi orang Rohingya tidak diberikan kewarganegaraan. Tanah mereka dirampas dan mereka dihalau dan menjadi pelarian. Banyak yang terkandas di kem pelarian di Bangladesh. Tetapi ada yang menaiki perahu dan lari ke Thailand, Indonesia dan Malaysia. Kalau mereka berada di negara ini bertahun-tahun lamanya, maka jadilah mereka penduduk Malaysia.

Akhirnya begitulah nasib manusia. Nasib bertuah atau malang. Tiada pilihan mutlak. Apa yang manusia mampu pilih ialah untuk menjadi baik atau jahat. Sama ada memiliki sikap berperikemanusiaan atau buat tidak endah dan hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri. Atau bercampur baur antara kebaikan dan kejahatan. Kesemuanya adalah pilihan masing-masing.

Negara adalah ciptaan zaman moden. Sebelum adanya negara, yang wujud ialah kerajaan dalam erti kata kingdom, dan empayar. Hanya selepas Perang Dunia Kedua, dengan adanya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, setiap inci tanah di muka bumi ini menjadi sebahagian daripada negara tertentu.

Maka seharusnya semua orang mempunyai warga negara. Mereka mungkin boleh menukar warga negara jika ia menepati dengan undang-undang negara terlibat. Tetapi ketika lahir, mereka sepatutnya memilik kewarganegaraan. Negara dicipta untuk kemudahan manusia dan bukan sebaliknya. Malangnya di seluruh dunia, ada saja orang yang stateless atau tidak mempunyai kewarganegaraan. Ini kerana negara kelahiran mereka dengan undang-undang tertentu tidak mengiktiraf mereka sebagai warga negara. Inilah nasib yang menimpa orang Rohingya. Tetapi di Malaysia, ada kes-kes anak kelahiran negara ini, yang stateless mengikut undang-undang sedia ada.

Teapi jika mengikut ukuran perikemanusiaan, peraturan kewarganegaraan wajar diselaraskan. Dalam dunia hari ini dengan semua muka bumi adalah sebahagian daripada sesebuah negara, tidak wajar ada orang yang stateless. Prinsipnya mudah. Di mana seseorang itu lahir, di situlah sepatutnya dia menjadi warga negara, kecuali salah seorang ibu bapanya mahu anaknya menjadi warga negara lain mengikut kedudukan mereka.

Komen