Antara Moratorium Dan i-Sinar, Yang Mana Pilihan Mantan CEO Bank Merangkap Menteri Kewangan?

Malaysia adalah kapal yang hampir karam. Dan tidak semua penumpangnya iaitu rakyat, pandai berenang atau ada pelampung keselamatan.

Selepas lebih setahun dilanda Covid-19, kita berada dalam keadaan yang jauh lebih sukar dan terhimpit.

Paling terkesan pastilah rakyat terbawah, meminjam istilah yang dipopularkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal. Golongan B40 dan M40 yang kini semakin pupus adalah kelompok rakyat terbawah yang paling terjejas teruk dalam pandemik Covid-19. Sudahlah diancam risiko kesihatan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan kini mendedahkan mereka pula kepada ancaman ekonomi kerana tiada pekerja atau pendapatan yang terjejas.

Sudah tentu pada masa yang sama, golongan T20 dimana mantan CEO bank merangkap Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz adalah salah seorang darinya, langsung tidak terjejas baik dari segi kesihatan atau ekonomi.

Dalam keadaan terhimpit ini rakyat kebanyakannya mengharapkan bantuan dari pihak kerajaan. Namun begitu jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan bahawa kerajaan sedang mengkaji bantuan yang sesuai untuk rakyat adalah mengecewakan. Kita gusar, jika ada rakyat yang mati kebulur kerana tiada makanan atau mati bunuh diri akibat tekanan semasa kerajaan masih sibuk membuat kajian.

Oleh keran itu sebaik sahaja kerajaan mengumumkan PKP 3.0 pada 1 Jun lalu, banyak suara yang mendesak agar bantuan segara diberikan dalam bentuk moratorium pinjaman pusingan kedua atau pengeluaran KWSP melalui i-Sinar atau i-Lestari.

Moratorium Pinjaman

Moratorium pinjaman atau penangguhan bayaran balik pinjaman telah dibuat pada tahun lalu bermula 1 April hingga 30 September 2020. Dilaporkan lebih 650,000 permohonan moratorium diterima dari peminjam individu dan syarikat dengan 98% dari permohonan tersebut telah diluluskan.

Jumlah keseluruhan nilai moratorium pula adalah sebanyak RM74.3 bilion atau dalam istilah lainnya adalah jumlah bayaran balik pinjaman yang telah ditangguhkan selama 6 bulan. Dari nilai RM74.3 bilion ini, sebanyak RM48.3 bilion dimanfaatkan oleh rakyat manakala baki RM26 bilion lagi dimanfaatkan oleh sektor perniagaan.

Jumlah keseluruhan nilai moratorium ini bagaimanapun tidak semestinya menjadi aliran tunai yang digunakan dalam urus niaga lain. Ya, sebanyak RM74.3 bilion yang sepatutnya menjadi bayaran balik pinjaman telah disalurkan untuk kegunaan lain tetapi ia tidak bermakna 100% dari nilai itu telah digunakan. Perlu juga kita mengambil kira rakyat atau perniagaan yang tidak membayar pinjaman selama 6 bulan tetapi juga tidak mendapat sebarang pendapatan dalam tempoh yang sama. Kelompok ini tiada wang untuk dibelanjakan walaupun setelah diberi moratorium.

Sukar untuk kita memastikan berapa peratus dari nilai RM74.3 bilion itu digunakan untuk urus niaga lain, tetapi yang pasti ianya tidaklah sehingga 100%. Mungkin sekitar 70% atau RM52 bilion, atau mungkin separuh sahaja iaitu sebanyak RM37.15 bilion. Namun walau apapun nilai sebenar, kita boleh mermuskan beberapa puluh bilion wang tunai telah dapat dialirkan bagi menggerakkan ekonomi.

Walaupun nilai keseluruhan moratorium adalah sebanyak RM74.3 bilion, ia bukanlah satu kerugian bagi pihak bank. Perlu kita fahami bahawa moratorium adalah penangguhan bayaran balik pinjaman, bayaran yang pihak bank tetap akan terima di masa hadapan.

Maka apakah nilai kerugian sebenar pihak bank?

Dianggarkan pihak bank secara keseluruhannya kerugian sebanyak RM6.4 bilion akibat pelaksanaan moratorium pinjaman. Namun nilai kerugian ini masih minimal dan apabila diambil kira pendapatan bank yang lain kita akan dapati bahawa 10 bank utama di Malaysia mencatatkan keuntungan kolektif sebanyak RM22 bilion untuk tahun 2020. Para CEO bank juga dikatakan mendapat bonus lumayan di sebalik keadaan ekonomi yang tidak menentu susulan pandemik.

i-Sinar (Dan juga i-Lestari Atau Pengeluaran KWSP Yang Lain)

Berbeza dengan moratorium pinjaman yang bersifat penangguhan bayaran balik dan tidak semestinya dapat diterjemahkan sebagai aliran tunai wujud, pengeluaran KWSP dalam bentuk i-Sinar dan i-Lestari pula adalah bersifat 100% pengeluaran tunai dari simpanan yang seterusnya dialirkan semula ke dalam aktiviti ekonomi.

Laporan dari KWSP menyebut untuk pengeluaran i-Lestari, sebanyak RM20.8 bilion telah dikeluarkan dari Akaun 2. Manakala bagi pengeluaran di bawah i-Sinar, sejumlah RM57.97 bilion pula telah dikeluarkan dari Akaun 1. Jumlah keseluruhan pengeluaran KWSP di bawah kedua program ini adalah sebanyak RM78.77 bilion.

Jumlah RM78.77 bilion ini mengatasi nilai moratorium pinjaman yang hanya sebanyak RM74.3 bilion. Dan berbeza dengan moratorium pinjaman, pengeluaran KWSP boleh diterjemahkan kepada aliran tunai 100% ke dalam aktiviti ekonomi. Dalam erti kata lain, wujud tunai sebanyak RM78.77 bilion yang telah dibelanjakan rakyat bagi menyuntik nyawa kepada ekonomi negara yang semakin tenat.

Tunai sebanyak RM78.77 bilion ini mungkin telah digunakan bagi membeli barangan keperluan atau melunaskan bayaran balik pinjaman pasca moratorium. Ia mungkin juga digunakan bagi tujuan pelaburan atau disimpan dalam tabungan lain untuk kegunaan kecemasan di kemudian hari. Walau apapun tujuannya, kita boleh merumuskan bahawa rakyat Malaysia telah berkorban simpanan hari tua mereka untuk menjana ekonomi negara.

Ya, pengeluaran KWSP bukan bantuan kewangan dari kerajaan. Ia sebenarnya adalah wang rakyat sendiri yang dikorek keluar dari tabung untuk meneruskan kehidupan.

Bandingkan suntikan modal rakyat sebanyak RM78.77 bilion ini dengan kerugian bank sebanyak RM6.4 bilion akibat moratorium, dan kita boleh lihat sebesar mana pengorbanan rakyat berbanding pengorbanan pihak bank.

Yang Mana Pilihan Mantan CEO Bank Merangkap Menteri Kewangan?

Ini persoalan besar yang perlu diberi perhatian oleh Tengku Zafrul Aziz. Dalam keadaan ini, beliau perlu menanggalkan topi CEO bank jika masih ada dan berfikir sebagai seorang menteri kewangan.

Kerana sekiranya beliau masih berfikir dalam kerangka seorang CEO bank, maka yang bermain di fikiran beliau nanti ialah bagaimana untuk memastikan duit bank tidak diusik dan bank kekal mencatatkan keuntungan berlipat ganda.

Sedangkan sebagai seorang menteri kewangan, tugas utama beliau adalah untuk memikirkan bagaimana wang kerajaan dapat digunakan sebaiknya untuk membantu rakyat yang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.

Ini tidaklah bermakna beliau perlu memilih antara moratorium 2.0 atau i-Sinar 2.0. Keduanya bukan bantuan dari kerajaan dalam erti kata yang sebenar. Moratorium adalah kemudahan yang diberikan oleh pihak bank, sedang i-Sinar atau pengeluaran KWSP lain ibarat tindakan ‘mengorek tabung sendiri’ oleh rakyat untuk terus hidup.

Namun begitu, dalam keadaan dimana kerajaan asyik mengulangi bahawa mereka tidak mempunyai wang yang cukup, pilihan jalan pintas yang ada adalah antara moratorium dan i-Sinar. Ia bukanlah pilihan yang terbaik tetapi ibarat bantuan Cardiopulmonary resuscitation (CPR) yang bertujuan sebagai prosedur kecemasan sebelum rawatan lanjut dapat diberikan, kaedah seperti moratorium dan i-Sinar adalah perlu sebelum nadi rakyat terhenti.

Komen