Kecoh seluruh negara apabila harga bawang merah terutamanya dari negara India dikatakan naik secara mendadak sejak beberapa bulan yang lalu. Misalnya di negeri Perlis dan Kelantan dilaporkan harga bawang merah yang diimport dari India naik tiga kali ganda. Rata-rata penjual mengakui kenaikan harga tersebut dan memberikan alasan ianya berpunca dari masalah kekurangan bekalan. Mengikut kronologi, masalah kenaikan harga bawang ini telah bermula sejak perayaan Deepavali lagi akibat penyusutan bekalan dari India yang berpunca dari beberapa masalah di negara mereka sepert banjir, pilihanraya dan kekurangan bekalan untuk keperluan domestik.
Bawang merah atau nama saintifiknya allium cepa L merupakan sejenis tumbuhan yang termasuk dalam kumpulan Liliaceae yang tumbuh di Eropah, Asia, Amerika Utara dan Afrika. Pernah juga dikupas oleh sebuah akhbar tempatan sebelum ini di mana mengikut sejarah lampau, bawang merah dikatakan telah digunakan oleh manusia sejak 3,200 sebelum Masihi lagi. Penduduk Mesir kuno dipercayai antara bangsa terawal yang dikenal pasti menggunakan sayuran itu. Bawang merah juga dilaporkan pernah disebut dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah, ayat 61 yang menyatakan bahan makanan itu telah digunakan oleh kaum Bani Israel sekitar 1,500 sebelum Masihi sebagai salah satu makanan utama mereka.
Jadi secara prinsipnya bawang merah telah menjadi antara bahan asas keperluan masakan yang cukup mustahak di seluruh pelusok dunia termasuklah di negara kita. Maka pastinya kenaikan harga serta kekurangan bekalan bahan ini mula menguji daya kreativiti serta memberikan cabaran yang getir kepada para peniaga kedai makan dan juga kaum ibu di dapur. Bagi yang mampu dan tidak terlalu terkesan dengan kenaikan harga mungkin tiada masalah untuk terus membeli bawang merah. Ringkasnya golongan ini sanggup bayar berapa saja asalkan boleh dapat bekalan. Namun sebaliknya pula senario kepada golongan kurang berkemampuan terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) di mana mereka terpaksa mencongak apa pilihan yang ada. Para peniaga kedai makan pula mula merungut kerana jika tidak menggunakan bawang dikhuatiri makanan kurang sedap, dan jika naikkan harga makanan pula sudah pastinya pelanggan bising.
Maka masing-masing semakin pening memikirkan masalah bawang merah ini termasuk meneliti pilihan alternatif yang ada. Dalam konteks ini sudah semestinya antara pilihan yang mereka ada ialah, tidak membeli dan tidak menggunakan bawang merah dalam masakan mereka, membeli bawang dari negara lain seperta Belanda, Thailand dan Pakistan yang dilaporkan harganya lebih murah atau mengambil langkah berani dan drastik di mana cuba menggunakan daya kreativiti yang ada untuk mencuba bahan alternatif lain yang boleh menggantikan tempat dan fungsi bawang dalam masakan masing-masing. Apapaun pilihan adalah di tangan kita sendiri mengikut kemampuan, keperluan dan juga kesesuaian.
Pada masa yang sama seperti biasa, kita juga sudah mula kedengaran kononnya harga bawang naik kerana kelemahan penguatkuasaan dan kawalan dari pihak berkuasa yang berkaitan. Ini satu lagi lagu lama yang akan kita dendangkan setiap kali berlaku kenaikan harga sesuatu barangan. Walaupun dalam banyak situasi kita akui memang berlaku kelemahan dari segi penguatkuasaan itupun kerana masalah bilangan penguat kuasa yang sedikit berbanding jumlah penjual dan pemborong yang perlu dipantau, dikawal dan diambil tindakan. Namun kita tidak boleh pukul rata dengan melemparkan tuduhan yang sama dalam semua situasi. Misalnya dalam kes bawang merah ini semua pihak perlu memahami sitausi global yang sedang berlaku di mana harga naik kerana bekalan yang kian menyusut dari negara pengeluar iaitu India. Maka dari segi kitaran ekonomi secara lazimnya ini adalah suatu senario yang biasa iaitu, apabila penawaran semakin berkurangan dan permintaan pula semakin bertambah, maka harga barang tersebut akan melonjak naik dengan sangat mudah. Oleh itu sebelum kita menuding jari menyalahkan pihak berkuasa adalah wajar dan rasional jika kita mengambil tahu apa senario yang sedang berlaku dan yang sedang kita hadapi. Apapun kita tetap berharap pihak berkuasa akan terus memantau situasi dan perkembangan yang sedang berlaku serta mengambil tindakan tegas yang sewajarnya jika benar didapati ada pembekal, pemborong atau penjual cuba mengambil kesempatan dan menaikkan harga sesuka hati sehingga menzalimi pengguna.
Ironinya tatkala kos sara hidup semakin menghimpit kehidupan rakyat akibat pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu, kita terus diuji dengan situasi seperti ini yang sudah pastinya semakin menyukarkan kehidupan rakyat kita. Namun percayalah bawang merah bukanlah segala-galanya, atau satu-satunya masalah yang sedang kita hadapi, sebaliknya banyak lagi masalah dan cabaran yang lebih besar sedang menanti kita dalam tahun 2020 ini. Antaranya, dari masalah kelembapan ekonomi yang diramal akan berterusan, ketidaktentuan dan kecelaruan suhu politik yang semakin hangat, masalah sosial yang kian merobek institusi keluarga, jangkaan kos sara hidup yang akan terus naik serta mencengkam pengguna dan sehinggalah kepada masalah kesukaran graduan mendapat pekerjaan yang bersesuaian.
Jadi janganlah terlalu membuang masa meratapi kenaikan harga bawang merah apatah lagi cuba dipolitikkan atau naik angin tak tentu fasal. Diharap anggota masyarakat dapat kawal perasaan dan emosi supaya dapat berfikir dan bertindak secara matang, rasional dan profesional kerana harus diingat apapun berlaku yang akan menerima azab dan menanggung musibahnya tetap kita juga. Ringkasnya jangan biarkan masalah bawang merah ini terus menyelubungi kehidupan seharian kita. Apa yang penting sekarang ialah kita perlu nekad dan tekad untuk mengharungi segala cabaran yang bakal kita hadapi supaya dapat meneruskan survival kehidupan kita dan keluarga dengan harapan tahun baru akan membuka lembaran baru dalam kehidupan seluruh rakyat Malaysia. Semoga ada pelangi selepas hujan. Selamat menyambut tahun baharu 2020.
Tentang Penulis
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam majalah berkala seperti Dewan Masyarakat.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.