ANTARA Dua Darjat (1960), merupakan filem yang memaparkan kritikan tanpa selindung terhadap golongan feudal. ‘Serangan’ terus-terusan P. Ramlee di dalam filem ini bermula dari awal sehingga akhir. Filem ini tidak memerlukan pembedahan lanjut untuk kita memahami makna dan tanda di dalamnya. Semuanya terpapar dengan jelas dan terang. Kita cuma perlu duduk, tonton dan bertenang dengan filem tentang ketidakseimbangan sosial dan layanan masyarakat yang berbeza-beza mengikut pangkat dan darah keturunan ini.
Filem ini bermula di tengah-tengah dan kembali secara beransur-ansur ke belakang dan memberi penjelasan kepada penonton tentang apa sebenarnya yang berlaku. Pembukaan filem ini sebenarnya agak misterius. Hujan, petir dan suasana malam menambahkan kelam babak pembukaan filem ini. Jangkaan awal boleh menyebabkan kita berfikir bahawa ini merupakan sebuah filem Thriller. Namun, menerusi rungkaian plot yang kemas, dibuat secara teratur membolehkan kita memahami setiap konflik yang timbul dengan baik.
Piano menjadi objek fokus di dalam filem ini dan kemudiannya kita dapat memahami bahawa piano menjadi fokus kerana ia adalah objek penting yang menjadi titik pertemuan dan perpisahan Ghazali dan Tengku Zaleha. Melalui piano mereka berkenalan, melalui piano mereka menjadi rapat dan melalui piano mereka bertemu semula. Menggunakan objek sebagai mengaitkan setiap konflik dan pertembungan watak merupakan satu idea bijak dan membolehkan kita memahami dengan mudah perkaitan berkenaan.
Pada babak awal sewaktu kita diperkenalkan dengan Anggerik Villa yang suram dan muram, kita ditontonkan dengan potret Tengku Karim yang kelihatan senget dan menimbulkan syak di hati kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena di dalam villa berkenaan. Penggunaan objek seperti ini amat membantu penceritaan yang kemudiannya secara beransur-ansur kita diperkenalkan dengan Tengku Karim dan seterusnya watak-watak lain.
Ego dan rasa meninggi diri dalam kalangan golongan feudal dan bangsawan ini ditonjolkan P. Ramlee dalam beberapa babak. Misalnya dalam babak semasa Tengku Karim memarahi Tengku Zaleha yang basah kuyup membantu penduduk kampung menolak keretanya yang tersangkut lumpur.
“Tengku, berdarah mulia. Tidak layak bercampur-gaul dengan pemuda-pemuda yang bukan keturunan diraja, tau?”
Filem ini juga menonjolkan kawalan golongan feudal ini terhadap wanita dengan wanita tidak dibenarkan keluar rumah, hanya duduk di rumah dan bergaul dalam kelompok elit sahaja. Patriarki yang menebal dalam jiwa feudal ditonjolkan. Ini dapat dilihat kepada dialog Tengku Hasan yang memarahi Yang Cik, ibu tirinya kerana membenarkan Tengku Zaleha keluar rumah.
“Mak Yang! Mengapa Mak Yang membiarkan Tengku Zaleha keluar semasa Ayahanda tiada di rumah?”
Kemudian kita dapat lihat bagaimana Tengku Karim menghalang Tengku Zaleha daripada keluar rumah.
“Mulai dari hari ini Ayahanda tak izinkan kamu pergi ke mana-mana. Kerana Ayahanda curiga kalau kau bercampur-gaul, lebih-lebih lagi kamu membuat perhubungan dengan pemuda-pemuda yang tidak setaraf dengan darjat kita.”
Kita dapat melihat juga bagaimana egonya Tengku Karim yang enggan bersalaman dengan Ghazali, semasa Ghazali datang ke rumahnya untuk mengajar Tengku Zaleha bermain piano. Ini merupakan sebahagian daripada sikap negatif golongan feudal yang dikritik secara terus tanpa berselindung oleh P. Ramlee. Filem ini lebih mudah dibaca kerana paparan kritikannya dilihat tepat dan mengena.
Terdapat satu babak yang benar-benar dilihat sebagai tamparan P. Ramlee kepada golongan feudal. Kita lihat babak Sudin sedang bersiap-siap, berpakaian cantik dan memakai pewangi sehingga Ghazali menegurnya. Sudin kelihatan segak, wangi dan bergaya. Niat Sudin sebenarnya untuk bertemu dengan pujaan hatinya, Muna, orang gaji yang bekerja dengan Tengku Karim. Kita dapat lihat Sudin begitu bersemangat untuk memikat Muna. Apabila Sudin tiba di kawasan rumah Tengku Karim, Sudin melihat Muna sedang sibuk mencuci lantai dan pada masa yang sama seorang lagi orang gaji di rumah berkenaan, Wak Karto datang dan cuba memikat Muna. Sudin yang berada di luar menyembunyikan diri, takut dirinya kelihatan. Namun malang menimpa Sudin apabila Wak Karto yang membantu Muna, menyimbah air cucian lantai yang busuk itu ke luar dan membasahi Sudin seluruhnya. Sudin yang hampa pulang ke rumah dalam keadaan tidak terurus dan busuk. Berlawanan dengan keadaan dirinya semasa keluar rumah tadi. Ghazali turut menyindirnya. Babak ini mungkin kelihatan biasa, namun jika diteliti dengan baik kita dapat mengesan satu kritikan tajam yang cuba disampaikan. Sudin, orang kebanyakan membawa bau wangi dan pergi ke rumah golongan feudal dan membawa pulang bau busuk. Bau wangi itu mewakili jiwa orang kebanyakan di dalam filem ini yang elok, suci dan harum. Hati yang sentiasa baik dan membantu orang. Bau busuk itu yang datang dari rumah Tengku Karim, mewakili jiwa golongan feudal di dalam filem ini yang busuk dan sentiasa cuba menindas orang-orang yang lemah.
Filem ini juga melihatkan keberanian P. Ramlee menggunakan perkataaan feudal di dalam dialognya. Ini menandakan P. Ramlee begitu menekankan aspek kritikan terhadap golongan ini. Sebelum filem Antara Dua Darjat, perkataan feudal tidak pernah disebut di dalam filem-filem P. Ramlee yang lain. Walaupun perkataan itu hanya disebut sekali, namun kesannya cukup ketara. Perkataan berkenaan disebut di dalam dialog semasa Sudin cuba menasihati Ghazali.
“Ghazali, orang yang berdarah Feudal macam Tengku Karim itu dia lebih suka melihat anaknya mati daripada melihat anaknya membuat perhubungan dengan orang kebanyakan seperti kita.”
Ini jelas menunjukkan sikap P. Ramlee terhadap kelompok feudal yang memandang kebanyakan golongan ini suka bertindak berat sebelah dan memihak kepada mereka sahaja dan dalam masa yang sama menindas golongan yang lemah dan tidak mampu melawan.
Watak Yang Cik, seorang wanita daripada golongan biasa yang cantik dan menjadi isteri kepada Tengku Karim serta ibu kepada Tengku Zaleha dan ibu tiri kepada Tengku Hasan. Kita dapat mengetahui bahawa Yang Cik ini ialah seorang perempuan kabaret melalui herdikan Tengku Hasan terhadapnya. Yang Cik menonjolkan dirinya sebagai seorang wanita yang sabar dengan segala penindasan dan kemuncaknya beliau membalas segala herdikan berkenaan dengan kritikan menyeluruh yang dilihat mampu menampar jiwa kelompok feudal.
“Ya! Aku memang perempuan kabaret! Ayah kau yang tergila-gilakan aku dulu. Oh! Kalau kamu Tengku-Tengku gilakan perempuan kebanyakan tak mengapa ya? Kalau Tengku Zaleha gilakan laki-laki kebanyakan kamu pentingkan darah. Kenapa ayah kamu tak pentingkan darah semasa ia kahwin dengan aku dulu?”
Ini merupakan satu sindiran tajam yang mengkritik perihal perangai golongan feudal yang gemar mengambil kesempatan terhadap wanita dan menjadikan mereka seperti hamba selepas memiliki mereka. Kata-kata Yang Cik ini merupakan satu kemuncak kepada segala kesabarannya sebelum ini.
Selain berkonflik dengan orang kebanyakan, golongan feudal di dalam Antara Dua Darjat juga ditonjolkan sebagai memiliki sikap suka berbalah sesama mereka disebabkan soal harta. Ini dapat dilihat semasa dialog di dalam kereta di antara Tengku Mukri dan ayahnya. Babak ini menonjolkan niat tidak baik Tengku Mukri yang mahu berkahwin dengan Tengku Zaleha hanya kerana mahukan hartanya. Kemudian kita melihat babak Tengku Mukri menjalinkan hubungan sulit dengan wanita kebanyakan lain. Lihat di sini dua perkara yang menjadi rebutan golongan feudal ialah harta dan wanita.
Namun, P. Ramlee cuba mengimbangi kritikannya dengan menonjolkan watak Tengku Aziz, golongan feudal yang dilihat liberal dan tidak mementingkan darjat. Tengku Aziz ditonjolkan sebagai golongan feudal yang disenangi ramai dan sanggup berkorban demi kebahagian golongan kebanyakan. Tengku Aziz menembak Tengku Mukri dan rela bertanggungjawab di atas kematian berkenaan. Menurut Tengku Aziz, lelaki seperti Tengku Mukri amat bahaya. Ya! Memang bahaya kepada masyarakat dan P. Ramlee menonjolkan bahawa golongan feudal seperti Tengku Mukri tidak sepatutnya wujud. Satu dialog yang diungkapkan Tengku Aziz, benar-benar menonjolkan perihal dirinya yang liberal dan terbuka.
“Kamu selalu mementingkan darjat, mementingkan darah. Apakah keistimewaannya yang berada dalam darah kita Tengku Mukri? Tengku! Tengku hanya panggilan, gelaran, nama. Tidak ada kena-mengena dengan darah kita Tengku Mukri.”
Di penghujung filem ini kita dapat melihat kemenangan milik orang kebanyakan dan golongan feudal semuanya musnah, Tengku Mukri mati, Tengku Hasan ditangkap polis dan Tengku Karim dimasukkan ke hospital mental. Babak akhir filem ini juga melihatkan P. Ramlee ‘melepaskan geram’ terhadap golongan feudal dengan menjerit kepada Tengku Mukri yang sedang berdarah di kepala.
“Kamu selalu berbangga dengan darah keturunan mu! Kamu selalu berbangga dengan darah keturunan mu! Sekarang cubalah kamu bandingkan darah mu dengan darah ku! Bandingkanlah darah mu dengan darah ku!”
Filem Antara Dua Darjat turut memberi ilham kepada salah satu babak dalam filem hebat arahan Yasmin Ahmad berjudul Mukhsin (2006). Babak berkenaan ialah ketika kumpulan muzik sedang bermain muzik keroncong di dalam hujan. Di dalam filem Antara Dua Darjat, Ghazali dan rakan-rakan memainkan lagu berjudul Alunan Biola dalam suasana hujan di bawah rumah. Persamaan yang nyata dan ilham yang digarap dengan baik oleh Yasmin Ahmad hasil penelitiannya terhadap filem P. Ramlee.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Membedah P. Ramlee)
Daniyal Kadir adalah seorang penjawat awam yang juga rajin mengulas tentang seni perfileman. Beliau juga merupakan penulis buku Membedah P. Ramlee selain kerap muncul dalam acara bicara perfileman, baik sebagai panelis atau moderator. Di masa lapang, Daniyal juga terlibat dalam pembikinan filem pendek.