Antara Berbusana Dan Bersikap Terbuka: Mana Lebih Seksi?

Ada seorang Hang Tuah berbusana lengkap bersama tengkolok yang kerap aku terjumpa pada setiap hari Jumaat di masjid. Melihatkan gelagat Hang Tuah berkaca mata itu terlalu mempesonakan berbanding mendengar khutbah yang lebih banyak membuatku menguap kebosanan.

Sejurus mempersembahkan ritual 2 rakaat, Hang Tuah itu dengan tenangnya berjalan melewati ribuah jemaah lain yang bertebaran mencari nasi beriyani dan sirap bandung di luar kawasan masjid. Ketenangan serta tahap keyakinan beliau mempamerkan jatidiri seorang melayu tulen lengkap berbusana adalah sesuatu yang perlu dicemburui.

Sebenarnya sudah lama aku fikirkan apakah trend berbusana ialah satu pengembalian Melayu kepada akar identiti?

Masakan tidak aku menyibukkan diri tatkala melihat lelaki-lelaki ganteng bertengkolok ke sana ke mari, berinstagram dan bermedia sosial mempromosi imej seorang pendekar seperti yang pernah muncul dalam drama 90-an, Pendekar Kundur. Aku akui menjadi amat gelisah dan rimas memerhati golongan sebegini berbusana ke Tesco untuk membeli sekilo ikan kembung. Dan aku kempunan jawapan kenapa semua orang galak, sekurang-kurangnya mesti menghiasi kepalanya dengan tengkolok meski berada di bahagian mosh pit di konsert kugiran grunge baru-baru ini.

Adakah ini sekadar trend atau tanda identiti bangsa yang mesti dipraktis semula?

Adakah berbusana, bertengkolok, menyimpan rambut panjang, berkumis ala pendekar dan menyisip keris di pinggang mampu mengembalikan kegemilangan Melayu?

Inilah persoalan yang kerap aku lontarkan. Dan jawapan yang selalu ada ialah; dengan mengenakan semula pakaian yang pernah dipakaikan bangsa Melayu dulu akan mempertemukan kita semula kepada akar bangsa. Apa yang disesuaikan menutup tubuh adalah imej, identiti dan lambang jatidiri bangsa. Yakni, warisan kegemilangan bangsa ini wajib dipanjangkan, supaya tidak pupus dek iPhone, tidak lekang dek Instagram.

Maka dengan itu, izinkan aku tidak bersependapat dalam hal ini. Pertamanya, apa kena mengena pakaian dengan jatidiri serta sikap sesuatu bangsa? Apakah kecemerlangan, kemajuan dan tamadun ulung sesuatu bangsa bersandarkan kepada jenis pakaian?

Subuh tadi, ciapan seorang pemuda di negeri burung berjaya melewatkan perintah Tuhan. Dalam kemamaian teramat, aku menyusuri bebenangnya mengenai syarahan Dr. Farish A Noor tentang Kota Banten. Dua, tiga kali aku mengulangi setiap bebenangnya untuk mendapatkan pemahaman yang jitu.

Dr. Farish yang terkenal dengan bukunya Quran & Cricket mengupas kehebatan Kota Banten dan keunggulan jatidiri masyarakatnya.

Syarahnya, Kota Banten merupakan sebuah pelabuhan terkenal, maju dan kaya pada satu ketika dahulu. Terdapat ramai pedagang dari seluruh pelusuk dunia datang berdagang ke sana. Kebijakan pemerintah kota mengamalkan konsep ‘parlimen’ membuka jalan demokrasi kepada semua pedagang yang berlabuh. Setiap wakil pedagang diberi hak bersuara, memberi pendapat dan idea bagi menguruskan bahagian-bahagian ekonomi.

Terdapat rekod bergambar mendokumentasikan betapa ramainya pedagang berlatarbelakangkan kaum, budaya dan agama yang berbeza menyerap masuk ke kota ini. Keberagaman yang berselerak di seluruh kota ternyata tidak dimusuhi. Malah dirai dan dirayakan masyarakat tempatan.

Meski mewah dengan kepelbagaian, masyarakat kota kosmopolitan ini masih mengekalkan ciri-ciri nusantaranya.

Keunikan Kota Banten hasil multi kulturnya menjadikan ia sebagai kota pelabuhan terunggul. Keautentikannya lah yang menyebabkan pedagang Eropah yang pada ketika angkuh dengan sifat homogennya tersakiti. Mereka sukar menerima hakikat bahawa keseksian plural yang dipraktis Kota Banten meletakkan ia sebagai pelabuhan termaju pada era itu.

Jelas, terang lagi bersuluh bahawasanya keterbukaan masyarakat nusantara Kota Banten lah yang menjadikan kota mereka sebagai pelabuhan terhebat. Inilah kunci kemajuan mereka yang menemukan kota ini dengan kekayaan, kemajuan, kestabilan dan kemananan.

Sejarah telah membuktikan sikap terbuka dan penerimaan kepada multi perbezaan adalah sesuatu yang bagus. Ia adalah permulaan kepada cita-cita akan dunia yang lebih baik. Keterbukaan adalah jatidiri, identiti masyarakat Nusantara zaman silam.

Namun idea mengalirkan sifat terbuka di dalam tubuh di zaman pemakaian tengkolok di merata rata tempat berhadapan dengan permusuhan.

Seperti dukungan kepada konsep kebebasan, keterbukan selalu dilempar tuduhan-tuduhan sadis. Percayalah, dengan bersikap terbuka, tidak akan membuatkan kamu ‘okie’ dengan pasangan berdesah desah bersenggama di ruang awam. Bersikap terbuka tidak akan menukarkan keimanan kamu pada keesokan pagi disebabkan kamu terbuka menerima konsep pluralisme agama. Keterbukaan bukanlah ulangan kepada cerita-cerita dongeng yang menjadi punca dunia ditenggelami dosa.

Keterbukaan ialah asas utama yang menjadikan kamu manusia rasional. Dari titik inilah penerimaan kamu terhadap perbezaan dan kepelbagaian seindah langit ketujuh. Keterbukaan menjadikan manusia berfikir secara logik tanpa mencampuradukkan sentimen menyedihkan serta emosi. Sikap inilah yang menyelamatkan seseorang dari menjadi si bodoh rasis yang merasakan dirinya punya superioriti mengatasi yang lain.

Sejatinya, inilah jatidiri yang sekian lama kita cari. Warisan yang sepatutnya kita panjangkan dan amalkan. Warga Nusantara zaman silam telah lama berani bersikap terbuka menghadapi globalisasi. Alih-alih hari ini, yang berteriak Melayu mesti kembali ke asalnya, menjadi segak berbusana seperti Sultan dahulu kala semakin hari semakin dungu tak bertempat. Entah mengapa cucu cicit Nusantara semalang ini.

Makanya, apa kena mengena Melayu, busana, tengkolok dan keris dengan kisah Kota Banten yang aku surahkan di perenggan lalu?

Nah! Aku bukan si tolol kegemaran kamu mahu menukangi cerita Melayu itu sebahagian Nusantara atau sebaliknya.

Di dalam dunia yang penuh warna, diversiti adalah anugerah terindah umat manusia pernah miliki. Apakah perbincangan Melayu itu identitinya di tanjak atau keris, atau bagaimana mengenali ciri-ciri seorang Melayu asli, atau berdondang sayang akan romantisme Melayu sudah tidak relevan lagi. Titik!

Aku tidak pernah percaya untuk mengembalikan kegemilangan Melayu dan mempersembahkan kebanggaan diri sebagai seorang Melayu adalah dengan cara mengenakan tengkolok dan mempromosi mengenakan busana pada 1 syawal. Saksikanlah sendiri di mana Melayu berpijak hari ini? Melayu suka membawang, sukakan cerita artis wanita lepaskan hijab, suka ceramah sado Pencetus Ummah, suka bergocoh di lebuh raya, sukakan ketuanan, suka diperbodohkan ahli politik, suka menghukum dan sukakan perkara-perkara yang membuatkan kita menangis melihat tindak tanduk mereka.

Takkanlah kehuru-haraan ini boleh dipadamkan dengan kembali berpakaian seperti zaman Sultan Mansur Syah?

Akuilah! Bukan itu yang mesti dikembalikan. Bahkan bukan cara itu menjadikan sesuatu bangsa berjaya dan merdeka, melainkan kesaktian jatidiri, keberanian dan sikap terbuka yang mempesonakan dididik dan disemat ke dalam hati.

Lagi pula, buat apa berbangga bawa keris ke hulu ke hilir bukti mahu menajdi bangsa hebat kalau bodohnya bukan main kepalang? Tak gitu?

Komen