Anime One Piece Dan Keterkaitan Dengan Perlawanan Pendidikan

PENGEMBARAAN Luffy dan kru topi jeraminya dalam siri anime One Piece kini sudah tiba di Land of Wano.  Apa yang menariknya, pulau ini antara pulau yang paling korup pernah ditonjolkan dalam siri anime One Piece. Pemerintahan kerajaannya langsung tidak mengikut sistem The rule of Law.

Shogun Kurozumi Orochi merupakan seorang pemerintah yang kejam kerana mengetengahkan budaya isolasi dan alienasi pada masyarakatnya. Semua kekejaman dia lakukan dari korupsi, merampas harta rakyat, mencabut hak kanak-kanak dan wanita, membina industri yang mencemarkan alam dan manusia, fasiliti tidak dibangun dan apa saja tindakan asalkan status quo dapat dijaga dan rakyat dapat diasingkan dari elit supaya harta negara dapat diratah seenaknya.

Dalam pada kekejaman yang tak masuk akal ini berlangsung, tiada seorang pun dari rakyatnya yang mahu bangun melawan. Antara sebabnya kerana ada undang-undang hasutan dimana sesiapa saja yang bercakap buruk mengenai kerajaan dan pemerintahan akan diburu dan dibunuh.

Tapi dalam episod 909, ada satu lagi faktor ampuh kenapa generasi baru tidak bangun melawan penindasan dan keburukan dari pemerintah yang korup tadi. Kerana pendidikan ditulis, diajarkan dan disebarkan mengikut acuan sang penguasa. Jadi generasi muda yang dididik merasakan apa yang mereka alami itu bukan masalah, pemerintah mereka itu paling baik, tiada istilah korupsi dalam kamus hidup, sesiapa yang melawan dan bertindak mengkritik dianggap musuh dan tidak harus disokong. Malah sejarah juga diubah mengikut kepentingan penguasa.

Maka jelas pendidikan bukan saja boleh digunakan sebagai penyebaran ilmu tapi juga pemihakkan kepada kekuasaan dan pengkorupan. Jadi kita tidak seharus-harusnya menerima, menceduk setiap jenis pendidikan yang kita terima secara sewenangnya.

Kenapa harus saya menerangkan siri anime One Piece ini secara panjang lebar dalam mukadimah artikel ini?

Jawapannya mudah, kerana siri anime ini merupakan refleksi buat kesemua negara Dunia Ketiga yang di dalamnya terkandung negara yang sedang kita duduki. Masalah yang dilukiskan oleh Eiichiro Oda adalah masalah seharian kita atau masalah negara bekas kolonialisme. Dimana sejarah diubah sesuka hati dan pendidikan diajarkan untuk kepentingan mereka sendiri.

Kemudian beban kolonial ini pula disambut oleh pemerintah-pemerintah tempatan yang tinggal dan punyai psikologi feudal dan kolonial yang tebal. Sekali lagi pendidikan digunakan sebagai alat propaganda bagi menguatkan cengkaman politik mereka lalu menguasai sebahagian besar rakyatnya. Berlakulah budaya korup satu persatu baik di Afrika, Timur Tengah, Filipina, Indonesia mahupun Malaysia sendiri.

Menyedari akan penindasan terhadap pendidikan maka hadirlah pemikir-pemikir besar seantero dunia cuba melawan idea buruk ini dengan idea pendidikan yang lebih progresif, humanis dan radikal supaya pendidikan boleh dijadikan sebagai alat perlawanan dari sang penindas. Antaranya ialah Paulo Freire dengan bukunya Pedagogy of the Oprressed, Henry A. Giroux On Critical Pedagogy, Stanley Aronowitz Against Schooling, Ivan Illich Deschooling Society dan Peter McLaren Pedagogy of Insurrection: From Resurrection to Revolution. Juga tidak ketinggalan penulis-penulis sejarah progresif semisal E.H Carr What is History, Howard Zinn The Politics of History, Vijay Parshad The Darker Nation, Pankaj Mihsra From the Ruin Empire dan seterusnya.

Berbekalkan semangat perlawanan dari pemikir-pemikir pendidikan terdahulu, maka lahirlah slogan-slogan perlawanan semisal ‘pendidikan alat perlawanan,’ ‘pendidikan alat perubahan bangsa,’ ‘melawan dengan pendidikan,’ dan pelbagai lagi slogan yang dilihat sebagai satu inisiatif baik untuk meniup kesedaran bahawa pendidikan kemanusiaan itu harus ditegakkan.

Namun memahami pendidikan sebagai alat perlawanan saja tidak cukup dan yang lebih buruk jika pendidikan digunakan hanya sebagai agen perlawanan. Jika ini berlaku tidak kurangya dengan kesan pendidikan yang digunakan oleh penguasa.

Hari ini, sebahagian aktivis anak muda cuba untuk membawa idea pendidikan perlawanan untuk menyerang autoriti dan kekuasaan supaya hak-hak mereka didengar dan diambil perhatian. Tindakan ini harus dipuji tapi pendidikan sepatutnya tidak habis disitu sahaja. Pendidikan tidak habis setelah perlawanan yang mahu dibawa itu berlangsung mahupun tamat.

Memburukan lagi keadaan jika pendidikan perlawanan ini berlaku dalam masa yang singkat, tanpa kajian yang komprehensif juga tidak mengambil kira faktor sosiologi, ekonomi sebelum diajarkan kepada kelompok-kelompok yang memerlukan pembelaan. Nantinya akan timbul masalah yang lebih besar atau perlawanan ini akan menindas orang lain yang sepatutnya dijaga dan dipelihara sama. Juga kerap kali pendidikan yang radikal ini dipandang serong dan sukar diterima oleh masyarakat kerana bentuknya yang dilihat seperti dipaksakan dan perlukan stamina yang tinggi tak semua orang punyai.

Juga pendidikan sebagai perlawanan ini tidak harus bertunjang sekitar membaca, mengira dan mengatur masyarakat ia harus pergi jauh lebih dalam dengan mempersoalkan mengapa perlu membaca, apa yang perlu dikirakan dan mengapa masyarakat perlu tersusun dan teratur. Supaya kesedaran kritis itu boleh lahir dan berterusan.

Soalnya pendidikan semacam apa yang kita perlu?

Kita perlukan pendidikan untuk pencerahan atau pendidikan pencerahan. Pendidikan pencerahan ini sebagai persediaan untuk kita menghadapi segala masalah dunia yang melibatkan manusia bukan hanya akan terhenti apabila suara mereka didengar atau perlawanan autoriti dilakukan.

Jadi ada tiga ciri pendidikan untuk pencerahan.

  1. Mengangkat pilar kemanusiaan bukan hanya pada isu yang diperjuangkan. Jadi tidak kira apa pun masalah yang berlaku semisal korupsi, pecah amanah, pemusnahan alam, pelanggaran hak demokrasi, kita semua punya satu tiang dimana sekiranya isu itu melanggar nilai kemanusiaan universal, harus diangkat lalu diperjuangkan dan disuarakan tak kira apa pun parti politik yang kita sokong, dan di belakang elit mana yang kita berlindung. Jika kemanusiaan dilanggar maka kita harus cabar untuk kemanusiaan sejagat. Saya percaya lahirlah seribu raja atau berpuluh jutawan sekiranya mereka mempunyai kompas moral yang betul, ia tidak mendatangkan masalah malah banyak menyelesaikan masalah. Untuk itu pendidikan pertama sekali harus dikedepankan.
  2. Menggali masalah dengan mengambil pelbagai faktor termasuk ekonomi dan sosiologis supaya tidak ada masalah lebih besar apabila ada perlawaan dan perlawanan itu  bukan membawa musibah. W. F Wertheim menjelaskan adanya false consciousness dalam kalangan kita dimana elit tidak mahu melihat masalah, dan masyarakat tidak mahu menyatakan masalah. Mungkin ini yang terjadi dalam diri kita, kerana terlampau bersungguh menyatakan kita di pihak yang benar, kita gagal melihat masalah dari mata burung. Makanya perlawanan yang cuba kita bawa kerana dilihat bukanlah sebagai penyelesaian tapi sebagai rasa ketidak puasan hati sahaja.
  3. Menawarkan alternatif relevan yang lebih memurnikan semua. Inilah yang paling sukar dan hampir tidak kita lakukan. Kita mampu menggerakkan seribu gerakan, kita boleh bina seribu sekolah, tapi sekiranya kita tidak sediakan alternatif untuk pendidikan yang mencerahkan tadi, maka usaha kita akan sia-sia dan ditenggelamkan oleh zaman kerana usahanya tidak berterusan, tidak ada yang menyahut dan akan mati. Jadi usahlah kita mengeluh jika usaha kita selama ini tidak berhasil.

 Kesimpulan

Maka begitulah yang terjadi, pendidikan boleh jadi alat pembebas ataupun jadi alat menindas, kita perlu hati-hati menyebut soal pendidikan dan bila kita sudah mendapat pendidikan jangan berpuas hati dulu sambil duduk-duduk di kerusi empuk, harus kita renungkan pendidikan jenis apa yang kita terima dan pendidikan jenis apa yang kita keluarkan supaya nanti tak ada yang derita kerana pendidikan yang kita reka.

Komen