Sekarang aku nak cerita bahagian paling PENTING yang membelenggu fikiran aku sehingga sekarang, dan mungkin sehingga aku mati! Inilah sebab utama mengapa aku mengambil keputusan untuk membuat pengakuan terbuka dalam buku ini walaupun sudah 29 tahun insiden tersebut berlaku. Aku nak beritahu di sini, aku hanyalah orang biasa, sampah masyarakat. Aku dah puas dipandang hina dan jelek sehinggakan ia sudah tidak menjadi kudis lagi buat aku. Puas aku berfikir, adakah aku wajar menceritakan perkara ini ataupun membiarkan saja ia terus melekat dalam kotak pemikiran rakyat Malaysia hingga ke hari kiamat!
Carilah di Internet atau tanyalah sesiapa tentang kes amukkan Prebet Adam, semuanya akan menemui satu jawapan
IA DISEBABKAN PREBET ADAM MEMBALAS DENDAM BERIKUTAN KEMATIAN ADIKNYA YANG DIPUKUL SEHINGGA MATI OLEH YANG DIPERTUAN AGONG BAB 9 ANGKARA YANG DIPERTUAN AGONG? 81 SYAHRIL A. KADIR KETIKA ITU, ALMARHUM SULTAN ISKANDAR IBNI ALMARHUM SULTAN ISMAIL DI SEBUAH PADANG GOLF!
Untuk sekian kalinya, aku ingin menceritakan apa sebenar yang berlaku sekali gus ingin menjawab dakwaan yang telah melekat di hati dan sanubari masyarakat sejak sekian lama.
Seperti yang aku ceritakan dari awal-awal lagi, sejarah kematian pertama dalam keluarga aku ialah apabila adik aku yang berumur enam tahun, Azimah terbunuh setelah rumah kami di Simpang Lelong, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran. Bermula dari situ aku mengalami trauma yang bukan sikit, apatah lagi aku sendiri menyaksikan bumbung rumah runtuh dan menghempap tubuhnya yang tidak berdosa itu.
Selepas kejadian itu, dari kecil lagi, aku selalu didampingi ‘suara-suara aneh’ yang sering berbisik di telingaku sehingga aku dah lali dengannya.
Bila aku memasuki bidang ketenteraan, apa yang aku harap dan ingin lakukan MUSNAH bila anggota-anggota senior di kem kerap membuli dan mendera aku sehingga ke tahap maksimum! Sepak terajang, dicucuh rokok, disuruh minum air dalam kasut dan sebagainya adalah santapan aku pada setiap malam di berek. Aduan dan keluhan aku langsung tidak dipedulikan malahan aku dihina sehingga aku merasakan maruah dan harga diri aku sudah tidak ada lagi.
Di sana juga aku merasakan seolah-olah diganggu entiti misteri setiap kali melalui pagar belakang kem tersebut.
Kemuncaknya apabila aku mengambil keputusan untuk datang ke Kuala Lumpur dan mengamuk menggunakan senjata M16 hingga seorang lelaki terbunuh, beberapa orang lagi cedera dan banyak harta awam rosak teruk kerana perbuatan luar sedar dan luar kawalan itu.
Aku nak beritahu di sini, sejak hari pertama aku ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, aku menjadi keliru setiap kali menjalani proses soal siasat oleh pegawai dan anggota di sana.
Betul, mereka tidak pernah sekalipun ‘menjentik telinga’ apatah lagi melibas aku dengan paip getah segala, tetapi ada perkara PELIK yang sampai sekarang aku belum temui jawapannya.
Aku ulang, sejak hari pertama, mereka yang menyoal-siasat aku pasti mulakan proses tersebut dengan berkata: “Kesian kau Adam…sebab Agong kau jadi begini.”
Memang aku rasa terkejut dan pelik mengapa mereka berkata demikian. Setahu aku, aku sendiri pun ‘keliru’ mengapa aku boleh bertindak sejauh ini, macam mana pula mereka dengan mudah membuat kesimpulan tersebut?
Pada mulanya aku buat bodoh je dengan cakap-cakap mereka, tetapi lama-kelamaan situasi menjadi semakin pelik apabila mereka asyik bertanya bila adik aku kena bunuh, di mana kejadian itu berlaku, apa yang membuatkan Agong jadi marah dan sebagainya. Ini memang gila! Masa bila pula adik aku mati kena bunuh, mati sebab kebakaran adalah. Dan kalau betul dibunuh, masakan aku sebagai abang sulung langsung tak tahu menahu apa yang terjadi. Yang paling merapu tahap maksima adalah, apa hal pula nak kait dengan Agong dan Sultan bagai, aku kenal baginda pun tidak, paling kuat pun aku pernah tengok Tuanku dalam akhbar dan televisyen!
Selama hampir dua minggu ditahan dalam lokap itu, itulah TEKANAN yang paling dahsyat aku kena lalui. Hampir setiap hari aku akan ditanya soalan yang sama, disindir dengan perkara yang sama, diperli benda yang sama sampai aku naik bingung dibuatnya. Kalau betul ada adik aku dibunuh Almarhum Tuanku, aku harap mereka yang baca buku ini pergi cari adik-beradik aku yang lain dan tanya pada mereka – adik korang yang mana yang kena bunuh dengan Agong? Tanyakan sekali di mana kuburnya dan kalau betul, sila korek semula liang lahadnya dan tubuhkanlah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kembali kes ini.
Ini semua tak masuk dek akal langsung!
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk mengadu hal itu dengan Tuan Bahadon Baharom (Allahyarham). Beliau ketika itu mengetuai cawangan Jenayah Berat di IPK Kuala Lumpur. Kenapa dengan Bahadon? Walaupun beliau digelar Malaikat Maut kerana sering berbalas tembak dengan penjenayah tegar hingga berpuluh penjenayah mati di tangannya, Bahadon tidak ‘seteruk’ yang digambarkan orang di luar sana.
Di IPK tu, semua orang gerun dengan Bahadon. Penjenayah yang masuk lokap IPK kalau dengar saja nama beliau, boleh terkencing di situ juga!
Bahadon cukup baik dengan aku. Apabila aku teringin nak hisap rokok, Bahadon senyap-senyap akan usahakan agar aku dapat melepaskan gian aku itu. Bila aku mengadu bosan ditahan sorang-sorang dalam lokap, beliaulah yang mengarahkan agar aku dipindahkan ke sel lain bagi membolehkan aku berbual dan bercampur dengan suspek-suspek yang ditahan di situ. Bila aku mengadu nak mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari, Bahadon terus mengarahkan anggotanya memenuhi hajat aku. Pendek kata, aku nak apa pun Bahadon akan cuba penuhi. Aku ingat lagi perbualan aku dengan Bahadon pada satu petang.
“Tuan, saya dah tak tahan. Pegawai lain asyik bertanya penglibatan atau kaitan Tuanku dalam kes saya ni, apa yang mereka dok merapu ni Tuan…hampir setiap hari dari pagi sampai malam, soalan macam tulah yang mereka asyik tanyakan pada saya. Adakalanya mereka yang tanya, mereka sendiri juga yang bagi jawapan. Saya betul-betul tertekan Tuan,” kata aku pada Bahadon.
“Adam, saya bukan sentiasa ada di pejabat. Saya sering terlibat dalam operasi, saya pun ada rumah juga. Bukan 24 jam kat sini. Masa saya ada, bolehlah saya nasihatkan mereka…kalau saya takde, apa yang saya boleh buat pun,” jawab Bahadon.
“Habis tu macam mana Tuan…saya dah tak tahan kena ‘pressure’ macam ni,” kata aku.
“Layankan sajalah diaorang tu…lama-lama diaorang senyapla,” kata Bahadon.
Sejak pada itu, bila para pegawai dan anggota ini bertanyakan soalan berkenaan, aku hanya mengangguk, sepatah mereka tanya, sepatah aku jawab. Aku katakan yang tak banyak yang aku ingat pasal kejadian itu. Aku beritahu mereka yang aku ‘ingat-ingat lupa’. Memang betul seperti mana yang dikatakan Bahadon, bila aku seolah-olah bersetuju dengan ‘teori’ yang mereka kemukakan, mereka dah mula kurang bertanya mengenai kaitan Tuanku dalam kes ini.
Aku ingat selesai, rupa-rupanya tidak. Mereka kaitkan pula seolah-olah apa yang aku buat ini hasil konspirasi atau perancangan pihak Kementerian Pertahanan, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan iparnya yang juga Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd. Hashim Ali.
Kononnya insiden amuk aku itu sengaja dirancang bagi mengalihkan pandangan masyarakat terhadap beberapa isu politik yang sedang hangat melanda kepimpinan negara waktu tersebut.
Satu lagi bala, bisik hati aku. Mula-mula kata Sultan Johor bunuh adik aku, kali ini kononnya Panglima ATM dan Dr. Mahathir pula berpakat untuk ‘cetuskan’ insiden ini dan aku jadi kambing hitam mereka. Astaghfirullah. Terus-terang, aku tak sangka sampai macam tu sekali aku kena ‘bahan’ masa di IPK tu.
Aku tak tahu sama ada ini antara cara atau kaedah biasa yang digunakan polis bila menyoal-siasat suspek mereka atau macam mana. Yang pasti, sehingga sekarang, walaupun peristiwa ini dah 29 tahun berlaku, masyarakat kat luar terus bercakap dan PERCAYA yang peristiwa amukkan aku itu disebabkan Sultan Johor. Ada segelintir yang percaya ia memang satu konspirasi peringkat tertinggi.
Whateverlah… masyarakat akhir zaman ini lebih mudah mempercayai fitnah dan MALAS untuk menyelidik serta mencari jawapan yang sebenar di balik satu-satu isu. Dalam kes aku ini, merangkaklah mereka yang membuat dosa ini nanti mencari Almarhum di Padang Mahsyar kerana telah memfitnah baginda. Fitnah lebih dahsyat daripada membunuh.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda Tuanku Sultan Iskandar. Aku tak mahu ambil tahu kontroversi lain yang melibatkan baginda (kalau ada), yang aku tahu Almarhum TIDAK TERLIBAT LANGSUNG dalam kes amuk Prebet Adam. Kalau ada pembaca nak percaya, alhamdulillah. Kalau masih lagi ragu-ragu dan waswas terpulang. Aku bukan super hero yang boleh yakinkan masyarakat. Aku ibarat timun yang bertemu dengan pisau. Digolek ke kiri aku luka, digolek ke kanan aku cedera.
Engkau adalah apa yang engkau fikirkan. Aku dah tak tahu nak cakap apa lagi dah.
Tulisan Syahril A. Kadir ini adalah petikan dari buku Konfesi Prebet Adam.