Angkara Virus Korona Yang Menyedarkan Manusia

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

“Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Al-Baqarah:155)

Begitulah ujian Allah yang datang buat rakyat Malaysia dalam mendepani tahun 2020 yang penuh dengan cabaran. Satu persatu cabaran, konflik dan ujian dihadapi.

Sungguh Virus Korona (COVID-19) membawa suatu situasi yang amat memeranjatkan bahkan memberi tamparan serta impak yang besar kepada masyarakat dan negara. Siapa sangka dengan hanya sebuah musuh yang invisible mampu melumpuhkan negara besar seperti Cina dan Itali serta Malaysia yang tidak terkecuali.

Sesungguhnya inilah suatu ujian Tuhan yang datang, meringkukkan manusia Malaysia di dalam penjara Rumah sendiri. Ditambah pula dengan waktu Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 14 April. Namun masih lagi, kedegilan dijelmakan oleh rakyat berwarganegara Malaysia.

Hakikatnya tanpa kita sedar di tengah-tengah Wabak Korona yang menguji kita, sesungguhnya ada beberapa sisi yang hadir lantas menyedarkan kita bernama manusia. Manusia yang selalu alpa dan lupa.

Angkara Korona,
Barulah tersedar akan selama ini bahawa hidup ini melakukan kemaksiatan di muka bumi Tuhan.
Tatkala kini, tiada penawar melainkan berlindung kepada-Nya,
Barulah tersedar akan jalan Pulang menuju kepada-Nya.
Pintu Taubat yang melambai baru terlihat selepas selama ini alpa dengan dunia.
Apakah selepas ini, jiwa akan kembali melupakan jalan ini tatkala wabak berakhir?

Kalau bukan kerana wabak korona,
Tidaklah tersedar bahawa masjid yang selama ini sebenarnya sepi juga,
Lantaran virus korona, masjid ditutup.
Barulah tersedar jiwa yang leka bahawa selama ini peluang terbuka,
Tidak pernah ku jejakkan kaki ke Rumah-Nya,
Melainkan Jumaat dan Hari Raya.
Ruginya manusia yang leka. Sekarang baru tersedar,
Hati bermohon dan berharap agar manusia tidak lupa membangkitkan semula roh Rumah-Nya.

Angkara Korona,
Barulah tersedar betapa masyarakat hanya membabi buta soal agama,
Masjid ditutup dikatanya takut virus lebih daripada takut Tuhan,
Habis semua fatwa ditepis umpama kata altimet,
“Baru 7 kali datang usrah sudah pandai tepis fatwa”
Dimanakah otak dan akal mereka?
Mungkin terperuk di kepala lutut atau tertinggal di mana-mana.

Kalau bukan kerana Korona,
Tidaklah jiwa dan raga ini akan sedar betapa peritnya hidup mereka yang miskin,
Tiada makanan untuk dimakan kerana tiada punca pendapatan,
Sedangkan kita baru diuji sebegini,
Sudah mati kutu dibuatnya.
Apalah tawakal yang sebenarnya golongan miskin dan gelandangan pakai selama ini?

Angkara Korona,
Barulah tersedar akan pengorbanan mereka yang selama ini aku, kau dan kita tidak nampak.
Mungkin juga pura-pura tak nampak.
Selama ini menghina mereka penghantar makanan,
Tiada masa hadapan, tiada jaminan,
Tiada kelas,
Sekarang mereka pula menjadi barisan hadapan,
Memerah keringat,
Memulas “throttle” motosikal demi menghantar makanan,
Hanya untuk anda yang selama ini mencemuh mereka dengan pelbagai cemuhan.
Tunjukkanlah hormat, sesungguhnya mereka wira tidak didendangkan.

Kalau bukan Korona,
Tidaklah tersedar bahawa selama ini Angkatan Tentera yang dicemuh selama ini,
Dikatanya tiada kerja,
Namun sekarang baru zahir pengorbanan mereka bersama Polis Diraja Malaysia.
Membanteras mereka yang degil,
Sanggup bersusah,
Berhujan panas demi kerana tugas dan tanggungjawab kepada negara.

Angkara Korona,
Kita punya masa untuk bersama keluarga,
Yang selama ini kita leka dan masa bersama terabai.
Inilah masa untuk meluangkan masa dengan aktiviti di dalam rumah bersama,
Agar erat hubungan kekeluargaan.
Namun sayang masih ramai yang tidak mengerti,
Keluar melata sedangkan sudah diberi amaran,
Barulah tersedar bagaimana susahnya mendidik manusia.
Apakah masih kau mahu menghina guru?
Yang bersusah menabur bakti, mendidik anak bangsa,
Namun kau pula menyalahkan mereka.

Terima Kasih Korona atas sisi baik yang kau tonjolkan. Namun demikian, kami tidak menginginkan dikau lama di bumi ini kerana mahu melihat bangsa dan negara ini membangun.

Sedarlah manusia bahawa inilah sebuah ujian dari Tuhan yang Maha Agung dengan sekelip mata melumpuhkan kita. Sungguh kami tidak mampu menepis melainkan dengan Pertolongan Mu.

Jadikanlah kisah Umar sebagai panduan yang mengelakkan dirinya tatkala mahu mengunjungi Syam setelah mendapati Taun berleluasa di sana. Dan terdengar juga olehnya sebuah hadis yang dibaca oleh Abdur Rahman b Auf yang bermaksud:

“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Sekiranya berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Inilah sebenarnya seruan YB Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia di saat Korona bermaharajalela. Namun dek kerana musuh yang tidak nyata, rakyat masih mengabaikan seruan ini dan keluar seolah-olah mereka yang paling mengetahui.

Sedangkan inilah suatu panduan agar kita patuh dan agar wabak ini tidak meruntuhkan negara kita. Juga agar wabak ini cepat mengucapkan selamat tinggal. Kenapa masih kita berdegil dan kenapa masih kita tidak mahu menyelamatkan diri.

Sungguh generasi lalu diajak berkorban demi negara dengan mengangkat senjata namun generasi kita berkorban dengan hanya tinggal di rumah semasa Virus Korona. Kenapa masih ego?

Ingatlah janji baginda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menetap di rumahnya dan bersabar ketika terjadinya sebuah wabak. Maka, dia mendapat pahala syahid walaupun tidak meninggal dunia”
(HR Bukhari)

Tentang Penulis

A.R. Kasa adalah mahasiswa di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya.

Komen