Anak Muda: Lantang Di Media Sosial, Bacul Di Medan Perang

Tulisan ini memang berniat untuk menggegarkan maruah anak muda yang pada hari ini sekian lama dipermainkan, namun sebahagian anak-anak muda gagal untuk menterjemahkan maruah mereka melalui aksi.

Kelihatan sambutan pesta demokrasi di negeri Melaka baru-baru ini bercampur baur antara masyarakat kita yang peka dengan pertumbuhan politik atau sudah penat dengan pertandingan lompat-melompat yang ditopengkan dengan niat membantu rakyat. Jentera-jentera parti yang rata-ratanya anak-anak muda dikerahkan untuk menyebar dakyah-dakyah parti kepada masyarakat awam dengan harapan air liur mereka dapat ditadah oleh masyarakat awam, untuk dipulangkan dengan secoret pangkahan di atas kertas undi.

Apa yang dapat dilihat daripada PRN Melaka baru-baru ini, adalah sebuah bentuk pemikiran abstrak yang sehingga hari ini tidak dapat dipastikan apakah punca anak-anak muda gagal untuk memainkan peranan penting untuk turut serta menjadi agen-agen penyumbang ke arah penstrukturan kerajaan negeri yang baru. Namun, penulis percaya akan kemungkinan-kemungkinan alasan yang akan diberikan.

Covid-19

Pandemik yang telah meragut nyawa mencecah hampir 30,000 barangkali menjadi punca utama mengapa ramai dalam kalangan rakyat, terutamanya anak muda tidak turun untuk mengundi. Lihatlah, apakah ada kawalan SOP yang ketat di Pusat Pengundian? Ketika kempen pilihan raya sekalipun, ahli-ahli politik kita hampir kesemuanya gagal untuk menjaga SOP, tidak kiralah mereka daripada parti apa sekalipun. Jikalau penguatkuasaan terhadap ahli-ahli politik pun gagal, apatah lagi penguatkuasaan kepada ribuan pengundi yang bakal hadir.

Adakah ia alasan yang munasabah? Tidak lagi apabila 25 juta rakyat Malaysia telah lengkap vaksinasi.

Dunia hari ini telah berada di dalam fasa endemik, di mana kita tiada pilihan untuk teruskan kehidupan bersama-sama #KeluargaCovid-19. Kehidupan seharian kita sahaja, terutamanya belia, bermain dengan risiko dijangkiti Covid-19. Kita ke kedai makan, kafe, tempat kerja, padang futsal, tandas awam dan lain-lain tempat yang memakan berjam-jam masa kita. Mengapa tidak boleh meluangkan 10 minit sahaja masa untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia? Mungkin alasan mereka yang seterusnya adalah kerana ahli politik tetap akan melompat untuk kepentingan mereka.

Lompat-Melompat

Sejak Langkah Sheraton, kita telah menyaksikan satu acara monyet-monyet dan kata-katak politik yang telah melompat ke lembah yang lebih menguntungkan mereka. Nama-nama pelompat politik tersohor seperti Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan lain-lain adalah sangat sinonim dengan aktiviti licik dan kotor tersebut. PRN Melaka, khususnya, melihat Pakatan Harapan menyambut kedatangan dua ekor katak politik dari UMNO yang telah memberi tamparan yang hebat kepada parti yang sepatutnya menjadi tunjang ke arah politik berprinsip, adil dan intelek.

Adakah keputusan mereka melompat ini dibuat berdasarkan konsensus daripada rakyat yang memilih untuk mewakili mereka? Apakah ada apa-apa perbincangan di peringkat akar umbi mengenai keputusan mereka untuk melompat sehingga hancurnya kerajaan negeri? Tiada dan dalam mana-mana tragedi melompat, tiada seorang wakil rakyat pun yang turun ke pengundi-pengundi mereka dan berbincang mengenai keputusan tersebut.

Demokrasi dalam negara ini adalah demokrasi yang mati. Rakyat hanya terlibat dengan proses demokrasi apabila tiba masa mengundi sahaja. Wakil rakyat tidak sepenuh hati memeluk keindahan demokrasi, bahkan melacurkan perkataan demokrasi hanya kerana ingin dilihat sebagai ‘man of the people’.

Namun, adakah ini alasan untuk kita terus diperbodohkan dengan permainan politik sebegini rupa? Anak-anak muda mempunyai satu kuasa yang seharusnya digunakan untuk masa depan negara; iltizam dan daya pemikiran yang seharusnya bebas daripada dijajah. Kalau sehingga matilah kita masih tanamkan pemikiran kolot ini, maka selamanyalah kita akan dihancurkan dengan masa depan yang ditentukan oleh orang-orang politik tanpa ada usaha untuk turut serta mengubahnya.

Kau punya kudrat, kau punya tenaga. Jikalau tak mampu bertanding, kau turun dan pangkah calon yang mampu mengubah masa depan negara atau negeri.

Penutup

Demikianlah lumrah politik negara ini. Penulis melihat penglibatan anak-anak muda dalam pesta demokrasi hanyalah bagai meletus kekecewaan di dalam ciapan-ciapan Twitter atau membuat satu pautan di dalam Facebook. Selebihnya, hanya marah dan duduk diam sahaja.

Yang paling gagal dalam situasi ini bukanlah calon yang kalah dalam pilihan raya, namun yang paling gagal adalah mereka yang gagal untuk turun dan memangkah untuk membawa perubahan.

Semoga anak-anak muda dalam negara ini punya kesedaran bahawasanya kita punya tanggungjawab sebagai agen perubahan. Jangan sesekali rasa undian anda itu tidak bermakna, bila kita punya tanggungjawab untuk terus perbaiki apa yang telah lama patah, rosak dan hancur.

Panjang umur perjuangan.

(Artikel ini adalah tulisan saudara Farhan Amran dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen