Anak Muda Dan Politik

KEBANYAKAN anak muda pada hari ini lebih gemar untuk membicarakan kontroversi artis yang didakwa menukar jantina berbanding isu-isu politik. Padahal isu-isu peribadi artis tidak akan menjadikan kehidupan kita lebih mudah, tapi berbicara tentang politik sekurang-kurangnya memberikan kita gambaran tentang isu-isu penting seperti harga makanan, peruntukan dan polisi terbaharu pemerintah. Golongan muda selalunya terus menyifatkan politik merupakan permainan orang tua atau sudah terlalu kotor dengan korupsi dan salah guna kuasa. Kita tidak boleh menyalahkan mereka semata-mata kerana melihat pada permainan politik kita pada hari ini, “politik kotor dan keji” sedang berlaku. Akhirnya kebanyakan anak muda melihat politik merupakan kerja yang membuang masa. Fenomena ini perlu diubati, anak muda pada hari ini perlu mula bercakap dan memahami permainan politik, terutamanya politik di tanah air sendiri.

Pendidikan Politik

Oleh kerana permainan politik kita hanya didominasi oleh mereka yang sudah tua, maka terpaksalah golongan muda digelar pemimpin negara pada masa hadapan. Padahal ramai sahaja anak muda yang boleh memimpin pada usia muda, malangnya golongan muda sukar untuk mendapat jawatan politik yang penting. Permainan politik di Malaysia tidak menawarkan peluang yang sama terhadap semua rakyat. Anak seorang politikus akan melalui jalan yang mudah untuk terlibat dalam dunia politik berbanding anak orang biasa. Lihat sahajalah kebanyakan orang besar yang mewarnai politik tanah air kita; kebanyakan mereka anak siapa?

Jika anak kepada orang biasa atau orang susah ingin terlibat dengan politik, mereka perlulah berilmu. Oleh kerana sistem pendidikan kita pada peringkat sekolah rendah dan menengah tidak menyentuh politik dengan banyak, ilmu-ilmu politik pada peringkat awal perlu dipelajari di luar waktu kelas. Anak muda terpaksa belajar daripada keluarga, membaca akhbar atau menonton televisyen untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkenaan politik negara. Malangnya, sumber-sumber seperti ini selalunya “tidak memberi pendidikan” tapi “memberikan kebencian”. Hampir semua media pada hari ini mempunyai kecenderungan politik sehingga laporan yang disampaikan tidak adil.

Wajar jika pendidikan politik mula diajar pada peringkat sekolah menengah untuk memberi kematangan politik kepada para pelajar kita. Namun sebelum memperkenalkan pendidikan politik di sekolah, sistem pendidikan kita harus dibebaskan terlebih dahulu daripada cengkaman politik. Memperkenalkan subjek pendidikan politik di sekolah tanpa pengawasan dan sifat neutral tidak akan melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran berpolitik. Pendidikan politik juga akan membantu pelajar untuk menjadi pemimpin pelajar yang akan memimpin persatuan pelajar dengan lebih teratur dan berpengetahuan. Apabila mereka sudah keluar daripada sekolah nanti, pastinya mereka tidak akan termakan dengan helah politik murahan yang sering menyentuh isu agama dan bangsa kerana sudah memiliki ilmu semasa di sekolah. Apa yang paling penting adalah mereka dapat meraikan kepelbagaian pendapat politik di Malaysia, sesuatu yang menjadi kelemahan rakyat kita pada hari ini.

Membuang Stigma Politik Kotor

Kita harus berusaha untuk memberi keyakinan kepada anak muda yang perubahan masih boleh berlaku melalui politik dan sedikit pengorbanan. Generasi yang didominasi oleh kumpulan “buta politik” tidak akan menjadikan negara kita lebih baik. Anak muda harus mula bersembang tentang keadaan politik negara di mana-mana; di kedai kopi, di panggung wayang atau ketika bersosial media. Jangan kita menjadi generasi yang hanya tahu merungut tentang masalah-masalah yang ada di negara ini namun jijik dengan punca-punca masalah itu.

Generasi mudalah yang akan menjadi penentu topik perbicaraan rakyat di Internet, sama ada mereka mahu sibuk membincangkan isu jantina orang atau krisis pengangguran yang dihadapi negara. Apabila anak muda mula bersuara dengan “ilmu” maka ia akan memberi tekanan kepada pemerintah untuk menyelesaikan isu-isu anak muda. Bukankah anak muda mahu isu-isu yang menghimpit hidup mereka selesai? Jika mereka benar-benarkan mahu, mereka sepatutnya mula bekerja keras untuk itu!

Menanamkan kesedaran pada minda anak muda bukanlah mudah, ia memerlukan masa, pembelajaran dan pembacaan. Ahli politik tidak gentar dengan anak muda yang datang bermodalkan berani semata-mata, mereka kelompok yang mudah  dimanipulasikan. Berbeza dengan anak muda yang datang dengan ilmu dan pengetahuan, ia umpama mimpi ngeri kepada penguasa. Untuk menjadi “anak muda berilmu” memerlukan kerja keras dan ketekunan dalam mendalami ilmu-ilmu politik supaya dapat membaca tipu helah politikus. Bermulalah dengan sekecil-kecil mengambil tahu, kemudian membaca, menganalisis, berdiskusi dan akhirnya memberi komentar tentang keadaan politik semasa.

Anak Muda Harapan Terakhir

Selaku orang yang sudah muak dengan permainan politik “orang tua” di Malaysia, saya fikir menyandarkan harapan kepada golongan baharu bukanlah sesuatu yang salah. Semoga generasi muda pada hari ini lebih cakna kepada keadaan politik kita, keadaan semakin mendesak untuk anak muda memiliki kesedaran politik. Tidak perlu pun menjadi ahli politik, tapi sebolehnya harus selalu membincangkan isu-isu politik supaya ia menjadi perbincangan utama generasi baharu.

Komen