Al Farabi, Politik Spiritual Dan Moral

DALAM kerancakan kita memahami pemikiran tokoh Barat, aku cuba bawa pemikiran tokoh dari Asia Barat pula. Al-Farabi merupakan antara tokoh intelektual Muslim yang sangat misteri berbanding dengan tokoh-tokoh intelektual Muslim yang lain. Dia langsung tak menceritakan tentang latar belakang dia, hatta pada anak-anak murid dia sekalipun. Bukan hanya tidak cerita, dia tidak menulis langsung biografi tentang diri dia. Tapi mujurlah ada sarjana sejarah yang hidup selepas Farabi, menulis tentang latar belakang dirinya, dapatlah sedikit sebanyak kita mengenal manusia yang bernama Farabi.

Latar Belakang

Nama sebenar Al-Farabi ialah Muhammad ibn Muhammad ibn Tharkhan ibn Azwalagh al-Farabi. Tetapi nama yang paling terkenal dan disebut dari bibir ke bibir itu ialah Al-Farabi. Dalam Latin pula nama al-Farabi lebih terkenal dengan panggilan al-Farabius atau Avennasar. Lahir di Wasij, dalam salah sebuah daerah Farab, Turki. Sekarang daerah ini digelar sebagai Ortar, Turki. Ada berlaku perdebatan mengenai tarikh kelahiran Farabi, tapi kebanyakan penulis melaporkan bahawa Farabi lahir pada 257H/870M iaitu semasa pemerintahan kerajaan Samaniyyah.

Al-Farabi juga dikatakan berasal daripada keluarga yang ada taraf sosial tinggi dan ternama. Ini dibuktikan melalui nama datuk Farabi iaitu Tharkan yang bermaksud pegawai tertinggi tentera dalam bahasa Turki. Al-Farabi juga dikatakan sebagai manusia yang mampu menguasai hampir ke semua bidang ilmu pengetahuan. Farabi memulakan pendidikannya dengan belajar dari rumah (home tutor) ataupun belajar dari masjid yang berdekatan dengan tempat tinggalnya iaitu di Wasij. Farabi menerima ilmu asas pendidikan dalam bidang agama seperti fiqh, hadis, tafsir al-Quran dan sebagainya. Al-Farabi juga banyak mengumpul, menterjemah dan menyempurnakan karya penulisan Aristotle dan membahaskannya dengan lebih meluas.

Selain daripada menulis mengenai falsafah, agama dan sains, al-Farabi juga menulis tentang politik. Penulisan politik dilakukan oleh al-Farabi untuk menunjukkan keprihatinannya terhadap kekacauan dan ketidakstabilan politik yang sedang berlaku pada zaman itu. Inilah sebenarnya peranan intelektual, memberi reaksi tentang isu yang melanda dan melebur dalam masyarakat, bukannya asyik salah menyalah antara satu sama lain. Matlamat falsafah politik Farabi adalah untuk membentuk pemerintahan yang sewajarnya serta kepentingan masyarakat yang sempurna.

Karya Politik Al-Farabi

Farabi ada menulis beberapa kitab berkaitan dengan hal ehwal politik. Antara kitabnya yang penting ialah al-Madinah al-Fadhilah. Buku ini secara umumnya membincangkan mengenai isu-isu yang bergelumang dalam masyarakat ketika itu. Buku-buku lain termasuklah Tahsil al-Sa’adah, al-Siyasat al-Madaniyah dan Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadhilah. Al-Farabi telah menggariskan beberapa perkara yang penting perlu dicapai untuk menghasilkan sebuah negara yang baik. Di antaranya ialah:

1. Peranan Masyarakat

Melalui kaca mata Farabi, dia merasakan bahawa untuk membentuk sebuah negara yang baik, masyarakat harus terlebih dahulu mengetahui peranan mereka. Kita sebenarnya tidak boleh lari dari membicarakan isu masyarakat dalam negara kerana tanpa masyarakat, maka tak terbentuklah negara. Beberapa nilai murni harus diterapkan ke dalam masyarakat, keperluan politik pula adalah untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Jadi kedua benda ini mesti saling berkait dan tidak boleh terputus.

Untuk menjadikan sesebuah negara itu baik, masyarakat seharusnya memperbaiki moral dan memiliki akhlak yang tinggi. Al-Farabi juga kata, ciri sebuah negara yang baik bergantung dengan tahap akhlak masyarakat. Betul juga, sebab kalau masyarakat ada akhlak tinggi, sudah tentu masyarakat ini sedaya upaya akan menjaga negara, contohnya tidak buang gula-gula getah di bawah tempat duduk.

Oleh itu, al-Farabi menggariskan lima kelompok utama masyarakat yang perlu wujud bagi melahirkan negara yang baik, iaitu:

1. Ahli falsafah,
2. Ahli bahasa seperti penyair dan pemidato,
3. Pakar-pakar dalam sesuatu bidang,
4. Tentera, dan
5. Pekerja yang berjuang untuk kelangsungan ekonomi negara.

Al-Farabi juga mencadangkan supaya setiap masyarakat diberi kebebasan untuk menceburi bidang mengikut kebolehan, kepakaran dan kesesuaian masing-masing. Kepelbagaian bidang yang berbeza ini sebenarnya kunci untuk melengkapi antara satu sama lain. Sekiranya masyarakat dapat melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing sudah tentu negara dapat mencapai tahap terbaik.

2. Kepimpinan Negara

Al-Farabi mengatakan dalam sebuah negara perpaduan dan keharmonian itu ditentukan sendiri oleh pemimpin negara. Disebabkan itu amat pentinglah peranan pemimpin dalam sesebuah negara dan masyarakat harus bijak dalam memilih pemimpin mereka. Menurut al-Farabi, pemimpin itu perlu dipilih menurut kriteria yang digariskan oleh Islam (siddiq, amanah, tabligh, fatonah). Tetapi dalam penulisan al-Farabi, tidak diberitahu pun kaedah memilih pemimpin yang terbaik itu bagaimana. Yang pastinya rakyat berhak memilih ketua negara dan menggariskan beberapa ciri ketua negara yang sempurna.

Namun, al-Farabi dengan tegas mengatakan menjaga kebajikan dan memberi penyelesaian kepada masalah rakyat merupakan tugas pemerintah. Sebab itu tidak boleh melantik ketua daripada kalangan yang lemah. Ketua negara mesti ada daya intelektual, fizikal, spiritual dan moral yang tinggi. Yang paling penting ketua negara itu harus memerintah dengan penuh adil dan mampu membimbing rakyat ke arah kebenaran. Maknanya akal pemerintah itu mestilah luar biasa dan mampu menyelamatkan rakyatnya.

Perkaitan antara rakyat dan pemimpin seperti tubuh badan dan juga hati. Kalau hati tidak berfungsi dengan betul, mana mungkin tubuh dapat berfungsi dengan sewajarnya. Sebenarnya bila kita renung secara mendalam teori politik al-Farabi ini sama seperti teori politik yang dibentangkan oleh Plato, malah lebih tepat lagi Aristotle, kerana ketiga-tiga ini sangat menekankan penggunaan akal sebagai pemerintah. Malah al-Farabi juga mengatakan bahawa ketua negara itu sama taraf dengan nabi. Sama taraf dekat sini bukan maksud kesuciannya yang memaksa kita untuk taat membabi buta macam konsep The Divine Kingship, maksud setaraf adalah pada penggunaan akal. Sekiranya nabi banyak berfikir untuk menyelesaikan masalah, pemerintah pun sama juga. Cuma perbezaan al-Farabi dengan ahli falsafah Greek adalah nilai keagamaan. Kerana teori politik al-Farabi ini banyak menerapkan panduan dari al-Quran terutama sekali dalam tanggungjawab ketua negara.

Kesimpulan

Teori Farabi ini sebenarnya masih relevan, sebab sampai sekarang keruntuhan moral dalam kalangan rakyat dan pemimpin makin menjadi-jadi. Rasuah, penyelewengan, penindasan masih berlaku. Program ‘Bersamamu’ pun masih wujud. Sekiranya moral dan akhlak yang ditekankan oleh al-Farabi ini diterapkan dalam masyarakat dan kepimpinan, kemungkinan kita dapat temui kunci kepada kedamaian negara.

Komen