Agama Melayu Dan Agama Islam: Ambang Politik Negara

Kebelakangan ini, terdapat banyak pergerakan dalam gelanggang siasah Malaysia yang mengakibatkan pergeseran antara rakyat kita yang berbilang kaum yang berpunca dari sentimen keagamaan Islam dan kebangsaan Melayu. Utamanya, antara masyarakat Melayu Islam dan lain-lain bangsa.

Apa yang kita dapat lihat sekarang ialah bagaimana pergerakan pembaharuan (revivalism) Islam di Malaysia mendapat perhatian kebanyakan warga negara kita, khususnya orang Melayu. Rata-rata warga Melayu sekeras-kerasnya mempertahankan dan menyokong idea kedaulatan Islam di Malaysia, menjadi keasingan sekiranya dibandingkan dengan sentimen orang Melayu pada 50 tahun yang dahulu. Kita lihat apa yang berbeza serta punca-puncanya.

Pertama sekali, kita perlu sebut akan peristiwa Revolusi Iran. Pada akhir 1970-an, Iran mengalami pertukaran pemerintahan mutlak susulan penendangan Shah Iran, Reza Pahlavi serta keseluruhan bidak-bidaknya dari takhta kepemimpinan Iran. Digantikan dengan pemerintahan Ulama Syiah dipanggil Wilayah Kefaqihan (Vilayet-e-Faqeh) yang diketuai Ayatollah Khomeini.

Revolusi yang tercapai merupakan perkumpulan amalan-amalan tidak telus kerajaan Shah Iran dalam kerajaannya yang mecipta keretakan kekayaan dan sosial antara rakyat Iran. Iran yang dari segi sejarahnya merupakan suatu kawasan yang kuat pegangan rakyatnya pada kepercayaan Islam Syiah tergugat dek dasar pengliberalan serta sekular yang drastik, malahan tidak berjaya mengedarkan hasil kekayaan negara secara telus. Melihat kepada bagaimana identiti Iran sebagai pusat kebudayaan Syiah tergugat dan golongan elit berkiblatkan menikmati kekayaan yang dicuri telah menanam ketidakpuashatian rakyat.

Pada sudut pandang Shah Iran dan golongan ada-ada, melihat kepada kemakmuran dan kebebasan yang digapai Barat, mentelanjangkan rakyat dari saki baki amalan dunia lama dan meninggalkan adalah satu-satunya jalan penyelesaian untuk memajukan negara. Bagi mereka, keagamaan rakyat pedalaman Iran adalah petanda besar mereka menolak “kemajuan” yang dicita, tidak layak untuk mendapat sebarang prasarana dek kederhakaan mereka. Namun jelas, langkah ini hanya memburukkan keadaan kerana apabila rakyat dinafikan hak-hak asas untuk hidup dengan aman dan selesa, muncul ketidakpercayaan kepada mereka yang berkuasa.

Dalam babad tanah Iran, golongan Ulama memainkan peranan penting dalam siasah Iran. Mereka memegang tampuk pemerintahan yang istimewa, selalunya mewakili suara rakyat.

Fahaman Syiah juga menguatkan lagi kebergantungan rakyat kepada golongan ini. Ajaran Syiah sangat menekankan soal keadilan dan perjuangan menentang pemerintah yang zalim sejak dari awal penubuhannya yakni ketika perjuangan Imam Hassan dan Hussein AS menentang tentera Muawiyah.

Maka dengan sokongan dan pengaruh yang ada, suara kebangkitan telah disahut golongan Ulama, pemerintahan Shah Iran berjaya dijatuhkan.

Jadi apa kaitannya dengan Malaysia? Berita mengenai kejayaan Ayatollah menumpaskan Shah Iran dan meletakkan Jumhuriyyah Islam (Islamic Republic) memberi semangat baru dan inspirasi besar kepada pertubuhan-pertubuhan siasah di Tanah Air,terutamanya pertubuhan Islam seperti PAS.

Seruan yang dilaungkan kejayaan kerajaan Syiah Iran disahut warga Islam secara menyeluruh, merentasi pegangan aqidah. Seruan yang memanggil kepada kembalinya mentaati ajaran Islam. Syariat menjadi sangat terkenal dan menggarap hati anak muda. Pada ketika ini, para agamawan menerima suntikan peranan baru, berkembang dari hanya sekadar pendidik kepada pemimpin masyarakat dan berani melontarkan saranan kepada pemerintah.

Semangat yang ada berjaya melonjakkan populariti PAS dalam kalangan orang Melayu Islam, memacu kemenangan mereka merampas kerajaan Kelantan dan Terengganu pada akhir 1980-an. Serupa dengan Iran, kebangkitan semangat Islam ini dipacu ketidakadilan pemerintah kebaratan dan kerjasama antara rakyat dan agamawan. Kesedaran ini telah termanifestasi dalam pelbagai bentuk, yang ketara terlihat adalah bagaimana rakyat mula tidak segan memakai pemakaian bercirikan Islam seperti tudung serta kopiah. Pencarian erti keislaman memberi daya pemikiran baru juga dalam kebudayaan Melayu, pembersihan sebarang unsur bukan Islam dilakukan dengan giat.

Titik kesenjangan mulai terbit, Pekembar (UMNO) selaku parti pemerintah pada waktu itu berasa tergugat akan melonjaknya pengaruh PAS. Rakyat Malaysia kebanyakannya makin akrab dengan fahaman yang bergerak ke arah keIslaman berbanding nilai-nilai kebaratan pasca kemerdekaan. Mereka menjangkakan sekiranya pola yang wujud berterusan, sudah tentu akan menggugat kekuasaan Pekembar dan akan berpihak kepada PAS.

Bermula dari itu, pucuk kepimpinan UMNO mengambil langkah untuk menerapkan lebih banyak unsur-unsur Islam dalam berkerajaan dan kempen-kempen politik mereka. Cuma apabila kaedah ini mulai diterapkan Pekembar, secara tidak langsung akan menggabungkan beberapa buah fikiran yang tidak sealiran dengan gugusan fahaman Islam itu sendiri seperti semangat kebangsaan Melayu yang begitu dijulang warga Pekembar. Islam yang begitu menekankan kesamarataan hak dan keadilan sejagat telah dilucahkan dengan semangat kebangsaan yang
menekankan kekuasaan satu-satu bangsa.

Justeru, kebanyakan unsur-unsur Islam yang diterapkan dan ditonjolkan Pekembar untuk menyaingi PAS pada ketika itu hanyalah bersifat sementara dan dandanan. Islam olok-olok dipertayangkan dan dijadikan kebiasaan, malahan sebarang gambaran “bukan Islam” akan disucikan dengan sesuatu yang seakan-akan Islam (kerap kali hanyalah menceduk kebudayaan Arab). Syair nan syarahan diisi padat dengan istilah-istilah Arab yang sukar difahami marhaen namun diterima juga kerana “keislaman” yang dibawa.

Kita sebenarnya sedang menyaksikan penciptaan agama baru, aqidah dan fahaman yang amat berbeza dengan keislaman, ambang agama Melayu. Melalui apa yang saya telah kupas, tindakan ahli siasah pada ketika itu dengan jayanya mengasingkan kaum-kaum dan penganut agama lain di Tanah Air ini dengan keghairahan mengejar siapa yang nampak lebih Islam. Pertukaran fikrah ini pula hebat diterajui oleh golongan belia Melayu melalui pertubuhan seperti ABIM atau ISMA malahan pada peringkat sekolah menengah di sekolah berasrama penuh melalui pergerakan BADAR (Badan Kerohanian). Kegiatan penyebaran Islam olok-olok ini kerap kali tidak diselia
dengan bimbingan yang tepat atau tiada bimbingan langsung. Ketiadaan mursyid yang bertauliah dalam soal dakwah dan pendakwah meletakkan pertubuhan ini dalam kegelapan dan masing-masing bertebaran membawa fahaman yang salah mengenai agama sendiri.

Mereka senang tergelincir dalam perangkap fahaman ekasuku dan ekagama kebangsaan yang diputarbelitkan ahli siasah. Dahulu sambutan Hari Natal dan sebagainya disambut meriah oleh pelbagai lapisan rakyat malahan dalam kalangan orang Melayu sendiri, namun dek kerana Hari Natal itu tidak berunsur keislaman maka ramailah orang Islam menghindari dari menyambutnya. Walhal sambutan hari Natal adalah sambutan yang besar diraikan orang Islam ketika pemerintahan Uthmaniyah khususnya di Baitul Lahm. Hal ini menyebabkan ketakutan pada warga bukan Islam di negara ini kerana melihat terdapat usaha meluas untuk menghapuskan identiti mereka. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan akan wujudnya pertubuhan-pertubuhan kebangsaan yang menentang kebangkitan agama Melayu ini.

Dalam agama Islam, agama ini sangat menganjurkan kesiasahan yang berteraskan keadilan dan kesamarataan hak sejagat tidak mengira kaum dan agama. Islam sangat menitikberatkan bahawa kepelbagaian agama dan kaum, satu fitrah dalam kemasyarakatan. Hal ini termasuklah penjagaan hak-hak kaum Dhimmi untuk mengamalkan segala ibadat-ibadat mereka. Malahan mereka layak mendapat autonomi dalam menyelia hal-ehwal mereka sendiri (lihat sistem Millah).

Campur tangan parti-parti kebangsaan tidak dinafikan lagi mengelirukan kefahaman bersiasah dalam Islam dan betapa anjal, citranya Islam. Model bersiasah mereka tidak berkiblatkan Al-Quran, Sunnah dan pandangan Ulama, tetapi tatacara berkerajaan Republik Iran dan Arab Saudi.

Kita kembali kepada Revolusi Iran, tidak dapat dilupakan, nasib rakyat Iran bagaikan keluar mulut naga dan masuk mulut harimau selepas kejayaan revolusi itu. Hak-hak kebebasan yang dicita hanya tinggal slogan kosong. Perempuan-perempuan dinafikan hak-hak asas, pengikut—pengikut ajaran Majusi dan Ahlul Sunnah digantung mati, malahan rakyat kekal miskin. Perkara yang sama berlaku di Saudi pasca Sahwa.

Melalui pemerhatian di Tanah Air, pola yang mirip terbit di sini. Sentimen pemurnian agama Melayu di Tanah Air mempertontonkan kekerasan orang Melayu untuk bertolak ansur dengan budaya dan kaum lain. Dan yang lebih memburukkan keadaan adalah terdapatnya tunas-tunas pergerakan siasah yang menentang kebangkitan agama Melayu ini dengan menaburkan lagi benih-benih perkauman dan perpecahan. Semuanya dibuat bukanlah dengan tujuan untuk membaik pulih hubungan warga negara, tetapi hanya untuk meraih sokongan politik supaya mereka dapat memegang tampuk kekayaan. Jambatan-jambatan persefahaman dibakar malahan lurah-lurah pertelingkahan di dalamkan.

Untuk meleraikan benang-benang yang kusut ini, semakin jelas bahawa hal-hal keagamaan telah ditunggang politikus-politikus korup malahan berjaya memperdaya niat murni orang kita untuk menghidupkan maruah agama mereka sendiri. Apa yang kita lalui sekarang ini merupakan akibat campur tangan pemerintahan mencacat celakan sendiri agama yang mereka sendiri telah bersumpah untuk lindungi, begitu mudah mengambil nama agama untuk mengisi perut-perut buncit mereka sendiri dengan harta-harta haram.

Saya menyeru kepada pembaca budiman, yang sudah tentunya sangat menyayangi kedamaian nan kemakmuran yang telah tercapai negara ini untuk terus saling bantu-membantu ke arah kebaikan juga saling menegah kezaliman. Bersama-sama kita bina kembali titian perpaduan yang telah lama usang dimakan muslihat siasah.

Komen