Afrika Selatan: Dari Mandela Hingga Kolisi

Nelson Mandela membuat pilihan yang betul apabila memilih sukan ragbi sebagai kuasa penyatuan Rainbow Nation, negara Afrika Selatan pasca Apartheid.

Hampir 25 tahun lalu, ketika Afrika Selatan baru setahun memansuhkan dasar Apartheid yang memisahkan dan mendiskriminasi kaum, Piala Dunia Ragbi datang ke Afrika Selatan. Kali pertama buat negara itu menganjurkan temasya sukan yang besar, dan juga kali pertama buat Afrika Selatan bermain di pentas Piala Dunia Ragbi selepas diharamkan dalam dua edisi sebelumnya akibat mengamalkan dasar Apartheid.

Dalam banyak jenis sukan yang dimainkan di Afrika Selatan, ragbi terkenal sebagai sejenis sukan yang membawa ideologi Apartheid. Ianya dimainkan oleh golongan elit kulit putih dengan hanya segelintir pemain kulit hitam layak menyarung jersi Springboks. Warga majoriti kulit hitam tidak menggemari sukan ragbi yang dilihat simbol white supremacy, manakala kelompok minoriti kulit putih melihat ragbi sebagai institusi yang perlu dilindungi oleh mereka.

Nelson Mandela bagaimanapun mempunyai idea yang berbeza. Buat beliau, ragbi boleh menjadi satu sukan yang dapat menyatukan negara Afrika Selatan yang baharu, yang baru saja pulih dari sumpahan Apartheid sejak sekian lama.

“Let us use sport for the purpose of nation-building and promoting all the ideas which we think will lead to peace and stability in our country.”

Dengan Piala Dunia Ragbi di Afrika Selatan sebagai pentas utama, Mandela bekerjasama bersama Francois Pienaar untuk menjadikan ragbi amnya dan pasukan Springboks khususnya sebagai pencetus penyatuan pelbagai kaum di Afrika Selatan.

Usahasama antara presiden dan kapten pasukan Springboks itu membuahkan hasil. Mereka bertuah kerana Springboks muncul juara Piala Dunia Ragbi 1995 menewaskan All Blacks dari New Zealand walaupun pada awalnya Afrika Selatan langsung tidak diletakkan sebarang harapan untuk muncul juara. Imej Mandela menyerahkan Piala Webb Ellis kepada Pienaar menjadi satu imej ikonik yang melambangkan Rainbow Nation dan Afrika Selatan yang baharu.

Namun, simbolisme penyatuan yang dibawa sukan ragbi buat Afrika Selatan bukanlah solusi mutlak yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah domestik negara itu. Masalah yang telah berakar umbi kerana lamanya dasar Apartheid diamalkan. Masalah seperti jurang perkauman dan jurang pendapatan yang memperlihatkan minoriti kulit putih jauh lebih bernasib baik berbanding majoriti kulit hitam, serta kemiskinan dan pengangguran yang masih lagi berlaku mengikut garis perkauman.

Pun begitu, dengan terkuburnya Apartheid usaha-usaha mengatasi masalah sosial dan mewujudkan keseimbangan antara kaum dapat dilaksanakan. Ia memakan masa, mungkin agak perlahan tetapi masih ke hadapan.

Dan jika kita memilih untuk melihatnya dari perspektif sukan ragbi, maka penglibatan pemain kulit hitam dalam pasukan Springboks yang didominasi pemain kulit putih boleh dijadikan sandaran. Pada tahun 1995 apabila Springboks muncul juara dunia ragbi buat kali pertama, hanya ada seorang pemain kulit hitam iaitu Chester Williams.

Dua belas tahun kemudian ketika Piala Dunia Ragbi 2007 di Perancis, jumlah pemain kulit hitam dalam pasukan Springboks bertambah kepada dua orang. Ia bukanlah satu peningkatan yang mendadak, tapi seperti mana usaha kerajaan untuk mengatasi masalah sosial, ekonomi atau pendidikan Afrika Selatan, ia masih satu kemajuan walaupun sedikit.

Dan apakah yang telah berlaku pasca kejayaan Springboks bergelar juara dunia ragbi pada tahun 2007?

Jawapan itu dapat dilihat pada pasukan Springboks untuk Piala Dunia Ragbi 2019, dimana mereka baru sahaja bergelar juara dunia buat kali ketiga. Kali ini, dari 31 pemain yang disenaraikan dalam skuad Springboks, 12 darinya adalah pemain bukan kulit putih. Lebih dari itu, buat kali pertama dalam sejarah 128 tahun Springboks, pasukan Piala Dunia Ragbi ini akan diketuai kapten berkulit hitam.

Siyamthanda Kolisi lahir pada Jun 1991 di Zwide, sebuah kawasan miskin penduduk kulit hitam yang wujud akibat dasar pengasingan Apartheid. Kemiskinan menghalang ibu bapanya membesarkan Kolisi dengan keperluan yang cukup. Katil beliau adalah susunan kusyen di atas lantai, kehadiran ke sekolah dan juga latihan ragbi ada kalanya terpaksa dilakukan dengan perut yang kosong. Kolisi hadir ke sesi pemilihan pemain ragbi dengan hanya menyarung boxer kerana tidak mampu membeli seluar pendek. Ketika Piala Dunia Ragbi 2007, beliau menonton perlawanan akhir di sebuah pub kerana keluarganya tidak mampu memiliki set televisyen di rumah.

Tetapi usaha gigih, kecekalan, bakat dan sedikit tuah menyebelahi Kolisi. Kemahiran ragbi beliau mendapat perhatian para peninjau dan Kolisi ditawarkan biasiswa di Sekolah Tinggi Grey, sebuah sekolah sukan berprestij Afrika Selatan. Kolisi berjaya dalam kedua bidang, akademik dan sukan.

Pada tahun 2013, Kolisi buat pertama kali terpilih bermain untuk pasukan Springboks dan lima tahun kemudian diangkat menjadi kapten pasukan. Beliau adalah pemain ragbi kulit hitam pertama yang menjadi kapten Springboks, suatu perkara yang pastinya mustahil untuk berlaku dalam era Apartheid.

Tidak ramai pakar ragbi yang menjangkakan Springboks bakal muncul juara dunia untuk edisi 2019. Afrika Selatan berada di ranking ke-7 dunia ketika undian kumpulan dilakukan, meletakkan mereka dalam Band 2 sebelum diundi untuk bersama New Zealand, Itali, Namibia dan Kanada dalam Kumpulan B. Kekalahan kepada musuh tradisi All Blacks ketika perlawanan pertama bagaimanapun dapat ditebus dengan tiga kemenangan berturut ke atas lawan seterusnya. Sekali lagi, tuah menyebelahi Afrika Selatan kerana Itali adalah pasukan tercorot dari segi ranking yang layak, sementara Namibia sekadar memenuhi kuota Afrika dan Kanada pula layak selaku repechage.

Kejayaan menundukkan tuan rumah Jepun di suku akhir, seterusnya kemenangan tipis ke atas Wales dalam separuh akhir (kedua pasukan berada di ranking lebih rendah berbanding Springboks) meletakkan Afrika Selatan di pentas akhir untuk bertemu England, lawan yang sama ketika perlawanan akhir Piala Dunia Ragbi 2007.

Kisah selanjutnya telah pun kita semua saksikan. Springboks berjaya menundukkan England dalam perlawanan yang awalnya bercorak atrisi dengan semua skor melalui penalti, tetapi di saat akhir memihak kepada Afrika Selatan dengan dua try yang disempurnakan oleh Makazole Mapimpi dan Cheslin Kolbe, dua lagi pemain bukan kulit putih yang mewarnai Springbokss era kini.

Impak kejuaraan dunia Springbokss sebenarnya jauh lebih besar dari sekadar nama Afrika Selatan terukir buat kali ketiga di Piala Webb Ellis. Dan tiada yang lebih untuk mengungkapnya melainkan oleh kapten pasukan, Siya Kolisi sendiri dalam ucapan beliau usai perlawanan akhir.

“Since I have been alive I have never seen South Africa like this. With all the challenges we have, the coach said to us that we are not playing for ourselves any more, we are playing for the people back home, and that is what we wanted to do today.

“We appreciate all the support – people in the taverns, in the shebeens, farms, homeless people and people in the rural areas. Thank you so much, we appreciate the support. We love you South Africa and we can achieve anything if we work together as one.”

Kejuaraan dunia ragbi ketiga Springboks tidak akan mengubah atau menyelesaikan masalah Afrika Selatan dalam sekelip mata. Jurang pendapatan, agihan kekayaan tidak seimbang, masalah gelandangan serta kadar kemiskinan atau pengangguran berdasarkan garis perkauman masih wujud. Masih ramai lagi warga kulit hitam Afrika Selatan yang hidup serba dhaif dan tidak diberikan peluang secukupnya untuk maju ke hadapan.

Namun begitu, kejayaan seperti ini akan membakar inspirasi dan mengingatkan setiap rakyat Rainbow Nation tentang apa yang mampu mereka capai sebagai saudara senegara, bak kata Kolisi sendiri “we can achieve anything if we work together as one”. Bukan sekadar menjulang Piala Webb Ellis tetapi lebih dari itu.

Dan moga iktibar Afrika Selatan ini menjadi suri tauladan buat kita juga.

Komen