Adam Smith Dalam Ekonomi

BILA bercakap tentang Adam Smith, rata-rata manusia akan mengeluarkan satu teori popular berkaitan dengan individu ini iaitu kapitalisme. Ada juga yang mempersetujui dan ada juga yang membantah. Adam Smith adalah seorang manusia yang kerap dijadikan sebagai panduan terhadap satu isu yang selalu menekan dan menjadi dilema dalam kalangan masyarakat dunia hari ini iaitu berkaitan dengan bagaimana mahu menjadikan ekonomi kapitalis ini lebih berperikemanusiaan dan lebih bermakna? Sebelum pergi lebih mendalam, Adam Smith dilahirkan di negara Scotland dalam sebuah tempat bernama Kirkcaldy, berdekatan dengan Edinburgh pada tahun 1723. Adam Smith merupakan pelajar yang rajin dan sangat rapat dengan ibunya. Pada zaman remajanya, Adam Smith pernah melancong ke negara Perancis.

Adam Smith merupakan seorang ahli falsafah akademik dan telah menulis beberapa buah buku yang berkaitan dengan kepentingan simpati dan syarahan-syarahan mengenai ilmu logik dan juga nilai-nilai moral. Walaupun Smith seorang ahli akademik falsafah, dikhabarkan secara fizikalnya dia mempunyai senyuman yang menawan.

Selain menjadi ahli falsafah, Adam Smith juga merupakan salah seorang pemikir ekonomi yang paling terkenal sepanjang sejarah. Tetapi pemikirannya tidak terbatas kepada isu ekonomi sahaja, sebaliknya dia berfikir jauh daripada itu. Merupakan seorang yang sangat gigih terutama dalam memahami sistem kewangan, untuk membuatkan manusia di sekelilingnya gembira dan bahagia.

Pada zamannya, isu yang selalu didebatkan adalah isu yang berkaitan dengan agama atau kerajaan. Sangat sedikit atau tiada langsung isu berkaitan dengan ekonomi dibahaskan. Oleh itu, Smith dengan nada tegasnya berkata:

“Sebenarnya perkara paling penting yang ahli falsafah perlu bincangkan adalah tentang ekonomi, bagaimana duit itu boleh diperoleh, bagaimana duit itu dibelanjakan, dan berapa banyak yang manusia akan dapat bayaran atas sesuatu pekerjaan yang diusahakan”.

Sebelum Adam Smith meninggal dunia, dia telah memberikan kepada kita beberapa idea utama yang boleh dijadikan sebagai panduan bagi membentuk sistem kapitalisme yang lebih baik. Antaranya ialah:

1. Pengkhususan

Bila kita berbicara soal konsep kerja di zaman moden ini, akan ada dua fakta yang timbul iaitu:

i) Ekonomi moden menghasilkan wang yang begitu banyak (tidak masuk akal) terutama kepada golongan elit. Mungkin ini boleh dilihat di negara kita.

ii) Ramai rakyat biasa atau marhaen merasakan bahawa pekerjaan yang mereka lakukan hari ini sangat membosankan dan tidak bermakna.

Tapi sebenarnya kedua-dua fenomena ini sangat berkait antara satu sama lain dan Adam Smith merupakan orang pertama yang faham fenomena ini lalu dinyatakan dalam teori pengkhususannya. Dia mengatakan bahawa di dalam urusan bisnes moden, tugasan atau urusan kebiasaannya diuruskan oleh seorang individu dalam satu masa tetapi akan lebih menguntungkan sekiranya tugasan itu dibahagi-bahagikan dan dilakukan oleh lebih ramai pekerja. Smith menamakan kaedah ini sebagai “momentous development”. Adam Smith meramalkan dalam kaedah ini akan menghasilkan negara yang kaya serta modal insan yang mempunyai kepakaran yang tinggi.

Bayangkan di dalam sebuah rumah hanya seorang membuat semua perkara sendiri? Contohnya buat kuih sendiri untuk sarapan, mengemas rumah, pergi bekerja, waktu malam mengajar anak cara membuat origami. Begitu juga dengan konsep pekerjaan. Inilah yang Adam Smith maksudkan perlu ada pembahagian dalam pekerjaan. Pembahagian itu pula berdasarkan kepakaran masing-masing. Hal ini secara tidak langsung menggalakkan masyarakat untuk mempersembahkan atau menjual bakat yang ada.

Namun, dalam banyak kita bercerita tentang kebaikan teori pengkhususan Adam Smith, sebenarnya masih ada masalah yang besar terkait dengan teori ini, seperti semakin banyak kerja yang dibahagikan, semakin kurang rasa bermakna terhadap kerja yang dilakukan. ‘Bermakna’, di sini membawa maksud dimana seseorang itu tidak terlibat dalam sesuatu perkara yang menyebabkan perubahan dalam hidup orang lain. Contohnya jika sesebuah perniagaan kecil-kecilan mengalami masalah, peniaga-peniaga kecil lain akan sendirinya menghulurkan bantuan, tetapi jika semuanya telah diindustrikan, seseorang hanya menjadi satu titik kecil di dalam satu bulatan yang lebih
besar lalu manusia di peringkat bawahan mungkin tidak akan mempunyai tanggungjawab seperti orang atasan. Jadi tidak berlaku kerjasama atau tolong menolong.

Sebuah syarikat dengan 150,000 orang pekerja yang beroperasi di serata dunia menghasilkan produk yang mengambil masa lima tahun untuk dihasilkan akan mempunyai masalah untuk mempertahankan tujuan dan kesatuan dalam syarikat. Untuk itu, ada pemikir yang mempertikaikan teori ini. Tapi Smith mengatakan ramai pekerja yang bekerja dalam zaman ekonomi maju ini banyak menceritakan perkara yang kurang memuaskan berkaitan dengan usaha mereka, dan bagaimana mereka membantu orang lain serta memberi khidmat kepada masyarakat. Disebabkan itulah ketua mempunyai tanggungjawab besar terhadap pekerja mereka dengan memberikan peringatan tujuan, peranan dan martabat mereka sebagai pekerja.

2. Kapitalisme Pengguna

Pada zaman Smith, berlaku suatu perkembangan baru dalam dunia ekonomi yang digelar sebagai Kapitalis Pengguna. Pengeluar mula mengeluarkan barangan yang mewah untuk kumpulan-kumpulan kelas pertengahan. Shopping mall mula dibina, majalah fesyen dan barangan-barangan rumah juga turut dikeluarkan. Ramai orang terkejut dengan pengeluaran yang mendadak ini, salah satunya Jean-Jacques Rousseau. Dia pernah mencadangkan untuk mengharamkan barang-barang yang mewah masuk ke kawasannya iaitu di Geneva. Dia mahukan masyarakat Geneva hidup dalam hidup yang sederhana, dan juga mahukan negaranya meniru gaya hidup seperti yang diamalkan oleh Sparta.

Smith dengan nada keras, menyelar apa yang dikatakan oleh ahli falsafah dari Swiss tadi. Tambah Smith, barangan mewah dan pengguna yang tamak memainkan peranan yang utama dalam masyarakat, mereka yang mempunyai kekayaan berlebihan membolehkan mereka mengawal orang-orang yang lemah. Memang benar masyarakat pengguna ini tidak mempunyai kerapian modal seperti Sparta, tetapi mereka mempunyai kelebihan moral dari segi yang lain misalnya mereka tidak mahukan orang muda dan tua kelaparan serta mampu mendapatkan bantuan kemiskinan dan kesihatan. Segala jenis barang-barangan yang mewah itu adalah bertujuan untuk perdagangan, mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan yang tinggi dan mereka harus mempertahankan perkara itu.

3. Bagaimana Melayan Orang Kaya?

Persoalan yang kerap dikemukakan, bagaimana untuk menjadikan orang kaya berkelakuan baik terhadap seluruh masyarakat? Kalau dari perspektif agama, mereka akan menjawab “tunjukkan pada orang-orang kaya ini kesengsaraan orang-orang miskin”, kalau ikut orang yang berhaluan kiri atau radikal, mereka akan menjawab “tingkatkan cukai”. Malang sekali, Smith tidak bersetuju dengan kedua-dua pendekatan tadi dengan alasan orang-orang kaya degil dan cukai yang tinggi akan membuatkan orang-orang kaya ini lari dari negara dan menetap di negara lain. Oleh itu melalui teori ini, Smith mencadangkan beberapa keinginan sebenar orang kaya. Menurut Smith, orang kaya tidak mementingkan sangat soal duit, apa yang dipentingkan adalah kehormatan. Orang-orang kaya ini mendapat keuntungan bukan kerana mereka ini secara lahiriahnya tamak, tetapi emosi yang memerlukan. Mereka melakukan semua perkara itu adalah supaya disukai dan mahu membuktikan sesuatu.

Kaedah ini akan menyediakan kerajaan dengan satu talian hayat yang sangat berguna. Selain daripada mengenakan cukai yang tinggi, lebih baik menunjukkan rasa hormat terhadap mereka.

Pulangannya orang-orang kaya ini akan melakukan perkara yang selama ini mereka tidak ambil tahu seperti memberi dana kepada sekolah, hospital dan membayar pekerja dengan gaji yang lumayan.

Bak kata Smith,

“The great Secret of education is to direct vanity to proper objects.”

Sebenarnya banyak lagi yang dikatakan oleh Adam Smith dalam membantu moral ekonomi yang baik jika kita menelaah karya-karya Smith. Walaupun ekonomi itu sangat memeningkan, tapi Smith sedaya upaya mengeluarkan pelbagai idea. Smith adalah manusia yang banyak menyentuh isu ekonomi terutamanya seperti yang berlaku hingga ke hari ini iaitu ‘bagaimana mencipta ekonomi yang menguntungkan dan bertamadun’.

(Artikel ini adalah petikan dari buku Kitab Perdana Menteri)

Komen