Isu kewarganegaraan menjadi tular kebelakangan ini selepas keputusan mahkamah yang membenarkan pemberian kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing. Ia adalah satu keputusan mercu kerana Malaysia adalah satu dari 25 negara di dunia yang tidak memberikan hak kewarganegaraan setara antara bapa dan ibu.
Namun tindakan kerajaan yang kemudiannya mengambil keputusan untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu seterusnya telah menimbulkan perdebatan hangat tentang adakah wanita Malaysia masih terus dianggap warganegara kelas kedua di sisi perlembagaan?
Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kedua-Bahagian II-Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang bagi orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia telah menetapkan:
1(c) tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan dalam masa satu tahun selepas kelahiran itu berlaku atau dalam masa apa-apa tempoh yang lebih lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mana-mana hal tertentu, kelahiran itu didaftarkan di suatu konsulat Persektuan atau, jika kelahiran itu berlaku di Brunei atau di sesuatu wilayah yang di tetapkan bagi maksud ini melalui perintah Yang di-Pertuan Agong, didaftarkan dengan Kerajaan Persekutuan;
Penggunaan istilah bapa telah membuatkan pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara hanya boleh berlaku sekiranya bapa adalah warganegara Malaysia. Akan tetapi perkara yang sebaliknya pula berlaku jika bapa adalah warga asing dan ibu merupakan warganegara Malaysia, pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada anak tidak boleh berlaku.
Perlembagaan Malaysia memperuntukkan hanya bapa yang dibenarkan untuk mendaftarkan kelahiran anaknya di pejabat Kedutaan Malaysia negara berkenaan dan ini ternyata adalah satu diskriminasi gender yang berat.
Walaupun begitu, peruntukan ini dilihat bertentangan dengan Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan Kesamarataan yang menyatakan:
(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apaapa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
Kumpulan hak asasi, pertubuhan sivil dan individu terlibat menyebut bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina adalah satu pernyataan yang kukuh bahawa wanita warganegara Malaysia juga berhak sebagai ibu untuk mendaftarkan kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara hasil dari perkahwinan sah dengan warga asing.
Alasan kerajaan untuk berlaku tidak adil dalam hal ini adalah bersandarkan pada pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan (dual citizenship). Bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya dwi kewarganegaraan, anak dari pasangan warganegara Malaysia dan warga asing akan mengikut warganegara bapa.
Akan tetapi ini tidak semestinya telah memberikan penyelesaian mutlak bagi mengelakkan berlakunya dwi kewarganegaraan. Tidak ada jaminan bahawa anak dari bapa warganegara Malaysia tidak boleh didaftarkan mengikut kewarganegaraan ibunya, sekaligus menimbulkan insiden dwi kewarganegaraan.
Justeru, apakah yang membuatkan pihak kerajaan yakin bahawa jalan mengelakkan berlaku dwi kewarganegaraan adalah dengan membolehkan lelaki Malaysia mendaftarkan kewarganegaraan anaknya secara automatik tetapi sebaliknya tidak untuk wanita Malaysia?
Walaupun permohonan kewarganegaraan boleh dikemukakan untuk anak tersebut, ramai wanita Malaysia yang pernah melalui pengalaman sedemikian mendedahkan ia adalah satu proses yang sukar. Akibat kesukaran ini, mereka akhirnya memilih untuk meletakkan kewarganegaraan anak mereka mengikut warganegara si bapa.
Malaysia adalah antara negara yang menandatangani Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) tetapi tidak meratifikasi sepenuhnya konvensyen ini kerana reservasi terhadap beberapa isu, antaranya isu kewarganegaraan anak untuk wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. Hal ini sangat mendukacitakan kerana ia meletakkan status Malaysia terkebelakang dalam Indeks Ketaksamaan Gender dan Laporan Jurang Gender Global.
Selepas 64 tahun kemerdekaan dan 58 tahun tertubuhnya Persekutuan Malaysia, sepatutnya taraf wanita dalam perlembagaan adalah ibarat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan golongan lelaki. Wanita telah memainkan peranan besar dan setimpal dengan apa yang telah dilakukan oleh lelaki dalam negara ini.
Bahkan, sejarah telah menyaksikan banyak pengorbanan dan sumbangan oleh golongan wanita baik sebelum dan selepas Merdeka. Seperti mana suami dan isteri atau ibu dan bapa memainkan peranan bersama dalam membina keluarga, begitulah juga golongan wanita dan lelaki telah bersama-sama membina negara ini.
Lantaran itu, apakah yang membuatkan kerajaan masih keberatan untuk mengiktiraf kesamarataan dalam isu kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing?
Kerajaan tidak sepatutnya memilih untuk mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah tetapi sebaliknya bersikap terbuka dan bersedia untuk meminda perlembagaan bagi memastikan hak samarata gender dan hak samarata kewarganegaraan diperakui.
Hak asasi sepatutnya menjadi tunjang negara. Ia tidak boleh dilihat berat sebelah dan memberikan kelebihan kepada golongan lelaki sahaja. Bagaimana mungkin kita masih boleh terus beranggapan bahawa separuh dari negara ini diberikan kelebihan sedangkan separuh lagi dianggap tidak mempunyai hak kewarganegaraan yang setara?
Atau adakah benar wanita Malaysia warganegara kelas kedua?

Erviana Beverley berasal dari Sabah dan menulis tentang hal-hal wanita yang tidak kurang pentingnya berbanding hal-hal lelaki.