Untuk sesiapa yang terlepas pandang, tiga hari lepas Malaysia (menerusi syarikat petroliam nasional, PETRONAS) telah merasmikan nama satu lagi aset mega dalam industri minyak dan gas iaitu Petronas Floating Liquefied Natural Gas (PFLNG) Dua. Baru dua tahun lepas PFLNG Satu dilayarkan ke perairan Sarawak. PFLNG Dua ini dijangka dilayarkan ke perairan Sabah pada awal tahun 2020, dari pelabuhan Geoje, Korea Selatan.
Panjang dan lebar PFLNG Dua ialah 393 meter dan 64 meter, besar sikit berbanding PFLNG Satu dengan panjang 365 meter dan lebar 60 meter. Besar atau tidak PFLNG ini kalau nak mudah, bayangkan saja padang bola FIFA digabung sebanyak tiga buah.
Walaupun dua aset Petronas ini sangatlah besar, tapi yang paling besar di dunia setakat ini ialah kepunyaan Shell iaitu Prelude FLNG yang berlabuh di perairan Australia. Juga baru siap, hampir sama masa dengan PFLNG Satu. Panjang Prelude ialah 488 meter dan lebar 74 meter, boleh tambah satu lagi padang bola FIFA menjadi empat buah.
Untuk ulas lebih lanjut agak sukar kerana kita belum tahu apa yang ada di dalam PFLNG Dua ini, buat masa ini tidak ada akses kepada rekabentuknya. Cuma secara mudahnya, FLNG ini berfungsi untuk hasilkan gas asli dalam bentuk cecair sebelum dibeli (eksport) oleh orang lain. Kenapa gas mesti dalam bentuk cecair? Aku akan cuba terangkan secara mudah.
Biasanya LNG akan diproses di kawasan pesisir (onshore). Gas yang disedut dari pelantar tengah laut disalurkan ke pantai berdekatan melalui paip dasar laut. Kalau di Malaysia, kita ada kompleks MLNG di Bintulu, Sarawak. Tapi fasiliti di darat ini masalahnya adalah binaan kekal, kalau pelantar jauh ke tengah laut dan di kawasan laut dalam (300 meter ke atas), kos untuk bina dan selenggara paip di dasar laut sangat tinggi, malahan tidak berbaloi. Bila siap diproses di plant, pembeli kena bawa kapal tangki ke pesisir untuk sedut LNG. Jarak dan masa yang diambil oleh kapal ini semuanya meningkatkan modal.
Misalnya PFLNG Satu kini ditempatkan di apangan Kebabangan (lebih kurang 130 KM dari pesisir pantai Bintulu) dan PFLNG Dua akan ditempatkan di lapangan Gas Rotan, kira-kira 140 KM dari pesisir Kota Kinabalu. Jarak 100 kilometer di tengah laut ini jauh. Tiada highway, tak campur mabuk laut lagi.
Di kawasan PFLNG Dua dijangka berlabuh, kedalaman dasar laut mencecah 1 KM, dan kedalaman gerudi di bawah laut untuk jumpa telaga gas lebih kurang 2 KM.
Jadi untuk bangunkan lapangan gas laut dalam dan lapangan marginal yang berada jauh di tengah laut, adalah lebih berbaloi kalau kompleks LNG boleh dibina terapung di tengah laut dan boleh dialih ke mana-mana lapangan gas. Kalau agak-agak nak ubah strategi, boleh alih FLNG ke tempat lain macam PFLNG Satu yang dialih dari lapangan Kanowit ke Kebabangan.
Proses untuk hasilkan gas asli cecair ini pula bukannya mudah. Yang menentukan saiz sesebuah kapal FLNG ialah kapasiti penghasilan produk. PFLNG Satu dibina untuk hasilkan 1.2 juta tan LNG setahun, PFLNG Dua dibina untuk 1.5 juta tan LNG setahun. Tidak hairanlah Prelude FLNG lebih besar sebab ianya dibina dengan kapasiti 3.6 juta tan LNG setahun. Bila kapasiti penghasilan produk bertambah, saiz paip dan peralatan juga jadi lebih besar. Sebagai perbandingan, kompleks MLNG di pesisir Bintulu boleh tampung kapasiti sehingga 29.3 juta tan LNG setahun.
Ada beberapa sistem/komponen yang diperlukan dalam sebuah FLNG, sebagaimana yang aku ringkaskan seperti berikut:
1. Sistem pemprosesan: Bermula dari saluran paip untuk bawa gas mentah dari telaga dasar laut, gas ini perlu dirawat secukup rasa. Bermula dengan aktiviti pengasingan gas dari air, sisa minyak, kondensat dan cemaran lain dari perut bumi. Kemudian gas ini akan disaring supaya gas yang tidak diperlukan boleh dibuang.
Ada sesetengah lapangan, kandungan karbon dioksida (CO2) dan hidrogen sulfida (H2S) dalam gas mentah sangat tinggi. Orang kimia panggil dengan istilah acid gas dan sour gas, dan proses saringan ni dipanggil sweetening. Ada juga kes terdapat unsur merkuri dalam gas asli, yang amat berisiko kepada pengguna dan peralatan di offshore. Orang yang nak beli gas asli ini biasanya mereka mahukan gas yang sesuai dengan keperluan spesifikasi tertentu. Jadi tuan gas seperti Petronas mesti saring dan hasilkan gas yang bersih, sama ada guna teknologi membrane, adsorbent, catalyst atau pelbagai jenis teknologi penapis (filter).
Selain itu, gas seperti CO2 dan H2S ini mesti dibersihkan kerana proses penghasilan LNG itu sendiri.
2. Sistem pencecairan (liquefaction): Proses memampatkan gas asli kepada bentuk cecair melibatkan penurunan suhu yang ekstrim, paling kurang -165 darjah Celcius. Takat beku air biasa ialah 0 C. Walaupun suhu -165 C, gas cuma boleh berubah jadi cecair dan mustahil untuk membeku jadi pepejal (dalam persekitaran planet Bumi). Pencecairan gas asli akan bermasalah kalau ada kandungan air, CO2 atau H2S, kerana takat beku CO2 cuma -78 C (jadi dry ice) dan takat beku H2S cuma -82 C. Belum sampai -165 C untuk proses pencecairan, kandungan gas asli sudah bercampur dengan benda-benda beku gas lain.
Kenapa gas asli perlu ditukar jadi cecair? Supaya balik modal untuk aktiviti perdagangan dan pengangkutan. Kandungan gas dalam bentuk cecair jadi 600 kali ganda lebih tinggi, low volume high density. Cecair ini akan disimpan buat sementara waktu dalam tangki yang terletak dalam perut kapal FLNG.
3. Sistem utiliti: Tenaga elektrik untuk hidupkan sebuah kapal FLNG perlu dijana sendiri. Perlu ada alat janakuasa, biasanya menggunakan gas turbine generator, guna fuel gas untuk pusing turbin dan hidupkan generator. Air minuman dan kegunaan harian (mandi, berak, kencing, basuh baju, masak dan basuh pinggan) juga perlu dihasilkan sendiri, menggunakan potable water maker. Sesetengah peralatan sistem pemprosesan dan instrumentation perlu udara bertekanan tinggi, jadi perlu pasang air compressor dan air dryer. Untuk purging perlu guna nitrogen, dan nitrogen dihasilkan sendiri.
Air terhasil (produced water) yang dibuang dari sistem pemprosesan, contohnya untuk proses pemanasan dan penyejukan perlu dirawat sebelum dikembalikan semula ke laut. Ada takat suhu tertentu supaya tidak memusnahkan ekosistem laut. Kalau perlu rawat dengan bahan kimia, kena ada sistem chemical injection. Sisa jamban atau makanan juga perlu mesin dahulu sebelum dibuang ke laut. Ini semua adalah syarat ketat yang digariskan oleh undang-undang alam sekitar Malaysia dan piawaian antarabangsa. Ada peralatan yang menggunakan minyak diesel, maka ada sistem bekalan diesel. Dan pelbagai lagi sistem sokongan untuk pastikan pelantar atau kapal dapat beroperasi dalam keadaan mandiri dan selamat.
4. Living Quarters: Lebih kurang macam apartment. Ada tempat tidur, bilik single untuk bos-bos, ada bilik double dan bilik untuk 4 orang. Ada juga pejabat, bilik kawalan pusat, dapur, kantin, stor makanan, wayang, kemudahan gim, dobi, pejabat, surau, perpustakaan, tempat lepak dan bilik indoor game. Untuk PFLNG Dua, LQ dibina untuk 150 orang lebih (disebut sebagai POB – person on board). Prelude FLNG punyai LQ yang boleh muat 300 orang.
Jumlah POB ini dianggar sejak dari reka bentuk FLNG ini dilukis atas kertas lagi. Client mesti ada jumlah yang jelas, dengan mengambil kira staf tetap dan anggaran staf yang datang secara berkala untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Sebab benda ini akan beri kesan kepada pelan lantai dan kemudahan sistem keselamatan dalam sesuatu pelantar atau FLNG.
5. Turret moooring system: Kapal FLNG akan bergerak ikut gelombang samudera, ada masa boleh berpusing 360 darjah. Tapi saluran paip dari bawah laut dan kabel ‘sauh’ kapal yang diikat ke dasar laut tidak boleh berpusing. Maka sistem turret di bahagian forward kapal yang dilengkapi dengan bearing gergasi akan pastikan kabel dan saluran paip tetap pada posisinya. Disebabkan PFLNG Satu dan Dua guna external turret (tergantung di kepala kapal), maka ruang tangki dalam hull boleh dioptimumkan.
6. Hull: Ini struktur paling asas iaitu perut kapal yang akan menentukan kapasiti takungan gas asli untuk sesuatu FLNG. Untuk PFLNG Dua, luas tangki bersamaan lebih kurang 70 kolam renang Olimpik. Dalam masa yang sama, hull perlu menampung beban struktur topside modules yang disusun seperti LEGO. Kebanyakan FPSO akan ubah suai hull sedia ada yang diambil dari kapal terbiar kerana lebih menjimatkan, tapi PFLNG Satu dan Dua mereka bina dengan hull yang baru.
Setiap struktur modul topside dikelaskan mengikut sistem pemprosesan tertentu. PFLNG Satu ada 21 modul, manakala PFLNG Dua yang lebih besar katanya hanya mempunyai 16 modul sahaja. Aku agak kerana ia lebih lebar maka setiap modul boleh dipanjangkan lebih sedikit. Modul-modul seberat lebih 2,000 tan akan diangkat dan disusun dalam dua baris di sebelah port dan starboard. Di tengah-tengahnya ada satu ‘jalan raya’ selebar 4 hingga 5 meter dari hujung ke hujung kapal. Masa proses rekabentuk, biasanya kita akan ambil kira keperluan untuk memindahkan barang-barang penyelenggaraan sepanjang laluan ini dengan menggunakan forklift atau troli.
7. Marine loading arm: Bila kapal dagang datang untuk angkut gas, LNG yang disimpan dalam tangki hull perlu dipindahkan antara dua kapal. Cabarannya ialah kedua-dua kapal ini terapung dan tidak statik. Marine loading arm ini seperti lengan yang fleksibel, boleh naik turun dan digerakkan oleh alat kawalan jauh untuk salurkan gas asli cecair pada suhu -165 C.
Cabaran utama dalam reka bentuk FLNG (dan juga kemudahan offshore yang lain) ialah semua sistem perlu dioptimumkan saiznya dan dimuatkan dalam susun atur yang terhad, kerana ruang sedia ada tidak mewah seperti di darat.
Dalam dunia zaman moden ini, pembangunan teknologi benar-benar mengangkat sesebuah negara ke mata dunia. PFLNG Satu adalah FLNG pertama yang beroperasi di dunia, manakala PFLNG Dua adalah yang keempat selepas Shell Prelude (Australia) dan Hilli Episeyo (Cameroon). Tidak hairanlah seluruh dunia memandang tinggi prestasi Petronas dan sumbangan Malaysia dalam dunia petrokimia, walaupun kita baru saja 60 tahun merdeka.
Ada orang kata PFLNG Dua ini direka bentuk dan dibina oleh orang luar. Tapi harus diingat sepanjang proses reka bentuk projek ini, pasti ada anak Malaysia yang terlibat termasuk pasukan jurutera Petronas yang bertindak sebagai reviewer dan approver. Dan sepanjang proses ini, telah berlaku aktiviti pemindahan teknologi dan kepakaran seperti yang sering ditekankan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Malah, PFLNG Satu sebelum ini direka bentuk oleh pasukan jurutera Technip Malaysia yang majoritinya terdiri daripada anak tempatan. Selain itu, kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan dilaksanakan oleh anak tempatan juga.
Yang lebih penting sekali, kalau sesiapa perasan dalam tulisan ini aku tidak tulis pun PFLNG 1 atau PFLNG 2. Ini kerana projek ini memang sengaja dinamakan dengan ejaan penuh PFLNG Satu dan PFLNG Dua, supaya tidak ada mana-mana malaun kulit putih yang suka-suka alih bahasa jadi PFLNG One dan PFLNG Two. Bahasa Melayu akan terus meniti di bibir seluruh dunia; bermula dengan Satu, Dua dan tidak mustahil selepas ini kita akan ada PFLNG Tiga, Empat dan seterusnya.
Dan kita akan terus berbangga menjadi rakyat Malaysia.
M. Hafizul Hilmi adalah seorang graduan kejuruteraan yang kerap menulis di Facebook tentang pelbagai perkara yang terlintas di kepalanya.