Berita ini mungkin tenggelam disebabkan kesibukan kita menghadapi pandemik Covid-19. Saya juga pernah berniat untuk menulis tentangnya tetapi terlupa sehinggalah rakan pengkaji ekosistem hutan menaikkan status mengenai penemuan bangkai babi di Maliau Basin.
Ya, sejak beberapa bulan ini, kita dikejutkan dengan penularan wabak African Swine Fever (ASF) di negeri Sabah. Ia melibatkan beberapa daerah seperti Pitas, Kota Marudu, Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid. Sehingga kini, beratus-ratus ekor babi liar atau yang dipelihara telah mati akibat jangkitan virus ini.
ASF disebabkan oleh virus (dari jenis DNA) bawaan kutu dari keluarga Asfarviridae. Virus ini mula-mula ditemui di Kenya, Afrika pada awal tahun 1900 dan kini merebak ke beberapa benua. Virus ini sangat senang berjangkit dalam kalangan babi melalui cecair badan (termasuk air kencing, najis, hingus dan air liur) atau sentuhan dengan babi yang dijangkiti.
Ia boleh menyebabkan demam berdarah, lemah badan, pendarahan dalaman, gangguan pernafasan, koma, keguguran untuk babi betina yang mengandung, cirit-birit dan seterusnya kematian dalam kalangan babi. Buat masa kini, tiada vaksin untuk mencegah jangkitan penyakit ini dan tiada rawatan spesifik untuk babi yang dijangkiti.
Kenapa topik demam babi Afrika, ASF ini penting? Sama ada kita suka atau tidak, kita tidak boleh menafikan hak rakan-rakan bukan Muslim yang memakan produk berasaskan babi. Di Sabah sendiri, hidangan sinalau bakas atau babi liar panggang memang sangat popular dalam kalangan penduduk bukan Muslim. Malah, terdapat banyak ladang ternakan babi di sini bagi memenuhi keperluan daging babi di pasaran.
Virus ini sangat sukar dikawal dan boleh menyebabkan banyak babi mati dan membawa kepada kerugian besar kepada mereka yang terlibat dalam industri menternak babi.
Selain itu, orang ramai yang memakan babi mungkin tertanya-tanya sama ada mereka boleh memakan babi ketika wabak ini berlaku?
Berbeza dengan virus yang menyebabkan selesema babi, virus yang menyebabkan ASF sebenarnya boleh dikatakan hampir tidak menjangkiti manusia. Oleh itu, ia tidak begitu membimbangkan sistem kesihatan negara kita yang masih kritikal dilanda Covid-19.
Menurut kertas kajian saintifik, adalah selamat untuk manusia menyentuh dan memakan daging babi yang dijangkiti virus ini tetapi harus dimasak dengan betul sebagai langkah berjaga-jaga. Sebagai seorang yang tidak memakan babi, saya pasti sekali bertanya rakan saya, adakah anda tetap mahu mengambil risiko memakan babi yang dijangkiti walaupun risiko mendapat virus itu hampir tiada?
Ini kerana, terdapat kajian di makmal yang mendapati bahawa virus ini secara teorinya (dan berdasarkan bukti yang sangat sedikit) boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit yang dipanggil sebagai zoonotik (penyakit dalam kalangan haiwan yang menjangkiti manusia.)
Risiko ini semestinya tersangat-sangat kecil dan ia terpulang kepada mereka-mereka yang memakan babi untuk membuat keputusan mereka. Sekiranya ada rakan-rakan saya yang menternak babi atau berjumpa dengan babi liar yang mati secara misteri, hubungi Jabatan Hidupan Liar atau Doktor Haiwan untuk penyiasatan lanjutan.
Dr Muhamad Na’im Bin Ab Razak atau Dr Jacknaim adalah seorang penulis, penggemar aktiviti lasak, pencinta kopi dan kini bertugas sebagai Emergency Medicine Fellowship Trainee di Hospital Lahad Datu, Sabah.