Malaysia Sebagai “Safe Haven”

Dalam keadaan dunia yang semakin tidak bergolak, Malaysia kini muncul sebagai antara negara yang paling diyakini oleh para pelabur antarabangsa. Jika sebelum ini naratif ekonomi negara sering dipenuhi keluhan, sinis dan serangan politik; perkembangan terkini menunjukkan gambaran yang lebih meyakinkan. Malaysia bukan sekadar berjaya bertahan dari krisis global, tetapi mula dilihat sebagai destinasi selamat — atau safe haven — di rantau ini.

Laporan bernada positif oleh Bloomberg memberikan isyarat jelas bahawa keyakinan terhadap ekonomi Malaysia sedang meningkat. Antara petunjuk paling penting ialah pemilikan bon kerajaan Malaysia oleh bank pusat asing kini mencecah rekod 36%, meningkat daripada 29.4% setahun lalu. Ini bukan angka kecil. Bank pusat luar negara bukan kelompok pelabur yang bertindak secara emosional atau ikut-ikutan. Mereka membuat keputusan berdasarkan kestabilan, disiplin dasar dan keyakinan jangka panjang.

Tambah menarik, bon kerajaan Malaysia mencatat pulangan hampir 12% kepada pelabur dalam dolar AS sepanjang tahun lalu. Pada masa sama, Ringgit Malaysia pula melonjak lebih 14% berbanding dolar AS sejak awal 2025. Ini membuktikan bahawa keyakinan terhadap Malaysia bukan sekadar tertumpu kepada pasaran bon, tetapi turut diterjemahkan dalam pengukuhan mata wang negara.

Dalam suasana ketegangan Asia Barat dan kebimbangan terhadap kejutan harga minyak, Malaysia juga mempunyai kelebihan tersendiri sebagai pengeksport bersih tenaga. Kedudukan ini membantu melindungi ekonomi negara dari tekanan krisis global yang lebih besar. Ketika pasaran dunia bergolak akibat konflik serantau, hasil bon tempatan Malaysia hanya bergerak sekitar 15 mata asas. Ini menunjukkan pasaran kewangan negara kekal tenang dan tidak mudah panik.

Dana global dilaporkan membeli AS$947 juta nota tempatan pada bulan April. Ini memberi gambaran bahawa pelabur asing bukan sahaja memerhati Malaysia dari jauh, tetapi sudah meletakkan wang mereka di sini. Dalam bahasa mudah, mereka percaya Malaysia mempunyai kestabilan yang dicari ketika dunia sedang bergolak.

Kerajaan juga telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 selepas prestasi ekonomi negara mengatasi jangkaan. Lebih penting, Bank Dunia kini melihat Malaysia sebagai safe haven serantau. Pengiktirafan seperti ini datang daripada keyakinan terhadap asas ekonomi, kestabilan kerajaan dan hala tuju dasar negara yang jelas.

Sudah tentu, cabaran masih ada buat kita. Kos subsidi bahan api yang mencecah RM5 bilion setiap bulan akibat konflik serantau memaksa kerajaan mengurus tekanan fiskal dengan cermat. Namun keputusan Bank Negara Malaysia yang mengekalkan kadar faedah pada 2.75% dalam mesyuarat terakhirnya menunjukkan pendekatan dasar kewangan yang stabil, berhati-hati dan tidak terburu-buru.

Di sinilah Kerajaan Perpaduan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi kredit. Selepas mengambil alih pentadbiran dalam suasana politik yang tidak mudah, kerajaan ini berjaya mengembalikan keyakinan pasaran, menstabilkan hala tuju ekonomi dan meletakkan Malaysia semula dalam radar pelabur antarabangsa hingga kita Malaysia diberi jolokan safe haven serantau.

Angka-angka ekonomi hari ini menunjukkan hasil dari pentadbiran yang telus dan mesra perniagaan. Bon negara dibeli, ringgit mengukuh, dana asing masuk, pertumbuhan dinaikkan dan institusi antarabangsa mula menyebut Malaysia sebagai tempat selamat di rantau ini.

Persoalannya kini, adakah angka-angka ekonomi ini dapat diterjemahkan kepada undi percaya rakyat terhadap kerajaan sedia ada, khususnya Pakatan Harapan yang mengepalai kerajaan hari ini?

Atau adakah rakyat akan terus mengabaikan angka-angka ekonomi dan terus hanyut dalam permainan kaum dan agama yang sejak sekian lama menjadi beban untuk Malaysia bergerak maju ke hadapan?

Pilihan Raya Umum ke-16 adalah jawapannya. Tapi bila?

Komen