Apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan siasatan terhadap satu hantaran palsu yang menggunakan logo Utusan Malaysia dengan tajuk palsu “Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US”, ramai mungkin menganggap ia sekadar satu lagi kes ‘edit gambar’ di media sosial. Tapi di sebalik perbuatan itu, tersembunyi satu masalah yang jauh lebih serius, budaya politik fitnah yang semakin menjadi senjata utama pembangkang Perikatan Nasional (PN) dalam mencipta naratif kebencian.
Imej palsu itu bukan sekadar “gurauan politik”. Ia satu cubaan sistematik untuk merosakkan kredibiliti Perdana Menteri dan kerajaan dengan menggunakan taktik manipulasi visual, satu kaedah propaganda murahan yang semakin biasa digunakan oleh jentera media gelap PN. Apa yang lebih berbahaya, teknik ini bukan lagi dijalankan oleh individu terpencil, tetapi oleh rangkaian akaun yang beroperasi secara terancang untuk menanam persepsi dan kebencian terhadap kerajaan.
Fitnah Sebagai Strategi Politik
Dalam politik matang, parti yang gagal berdepan dengan hujah akan berdepan dengan hujah balas. Tetapi dalam politik PN, hujah diganti dengan fitnah, dan fakta diganti dengan manipulasi. Bila hujah habis, mereka reka cerita dan bila rakyat mula ragu, mereka bergembira. Inilah politik kegelapan yang sedang menular di era digital.
Siasatan MCMC di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan hanya soal teknikal undang-undang. Ia adalah isyarat jelas bahawa kerajaan tidak lagi akan berdiam diri terhadap budaya fitnah yang disebarkan atas nama “kebebasan bersuara”. Kebebasan bukan lesen untuk berbohong. Dan demokrasi tidak boleh berdiri di atas landasan penipuan.
Dalam kenyataan MCMC, individu terbabit telah dipanggil dan disiasat, peranti serta kad SIM turut disita untuk forensik digital. Ini langkah penting — bukan sahaja untuk menegakkan undang-undang, tetapi untuk mengekang budaya post-truth yang semakin meracuni perbualan awam di negara ini. Hari ini, fitnah bukan lagi sekadar tulisan. Ia datang dalam bentuk poster, video pendek, dan imej kononnya dari portal berita sah. Semuanya kelihatan ‘real’, tapi isinya racun.
Legasi Politik Kebencian
PN telah menjadikan fitnah sebagai bahan bakar politik mereka sejak sebelum PRU15 lagi. Dari isu kononnya kerajaan liberal, kononnya pro-Israel, hinggalah dakwaan Perdana Menteri sebagai boneka kuasa asing — semua dibina atas fabrikasi dan manipulasi imej seperti kes yang disiasat MCMC ini. Mereka tahu, dalam dunia media sosial, berita palsu menyebar lebih pantas daripada kebenaran. Dan mereka bergantung kepada kelajuan itu untuk menanam keraguan di hati rakyat.
Namun setiap fitnah ada batasnya. Bila kebebasan digunakan untuk merosakkan maruah individu dan institusi, tindakan tegas mesti diambil. Undang-undang wujud bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi untuk melindungi kebenaran.
Menegak Kebenaran Di Era Digital
Apa yang berlaku ini memberi pengajaran penting kepada rakyat Malaysia — jangan mudah percaya dengan apa yang dikongsi di media sosial, terutama yang datang dengan logo media arus perdana tetapi tanpa pautan rasmi. Kecuaian kita menekan butang ‘share’ boleh menjadi rantai penyebaran fitnah. Lebih parah, ia boleh dijadikan modal politik oleh mereka yang mahu melihat negara ini berpecah.
Dalam dunia yang penuh dengan deepfake, AI manipulation dan cyber trolling, kebenaran perlu dipertahankan dengan disiplin dan tanggungjawab. MCMC telah melakukan tugasnya. Kini tanggungjawab kita pula untuk memastikan media sosial tidak menjadi gelanggang fitnah politik PN yang berterusan menodai demokrasi negara.
Fitnah bukan lagi dosa peribadi tapi ia sudah menjadi strategi politik. Dan selama rakyat tidak menolak budaya ini, PN akan terus hidup di atas pembohongan, bukan perjuangan.
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.







