Ada ketika politik Malaysia terasa melelahkan — penuh retorik, penuh polarisasi. Namun ada detik di mana kita dipaksa berhenti seketika dan mengakui bahawa negara kecil ini masih mampu bergerak dalam gelanggang antarabangsa dengan elegan dan wibawa. Minggu ini, detik itu hadir apabila 23 rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel dibebaskan dalam tempoh kurang 48 jam, sesuatu yang bahkan kuasa besar dengan kedutaan di Tel Aviv pun belum tentu mampu capai.
Ini bukan kisah nasib baik. Ia adalah kisah diplomasi yang dirancang rapi, dijalankan tanpa sorak-sorai dan dipimpin sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jentera Wisma Putra. Kita boleh berbeza pandangan mengenai dasar ekonomi atau politik dalaman beliau. Namun dalam hal ini, ada satu fakta yang tidak boleh kita nafikan: Malaysia berjaya menunjukkan kelas diplomasi yang menggabungkan prinsip kemanusiaan dengan kecekapan teknikal yang dihormati dunia.
Tanpa Kedutaan, Tanpa Hubungan Rasmi — Tetapi Masih Mampu Menembusi Tembok Tel Aviv
Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Tiada pejabat konsular atau pun saluran rasmi. Namun, melalui rangkaian hubungan yang dibina selama bertahun-tahun, Anwar dan pasukan diplomatiknya berjaya menemukan jalan keluar yang jarang difikirkan.
Strateginya ialah diplomasi tiga penjuru yang licik namun sahih secara undang-undang antarabangsa. Vietnam yang mengetuai urusan konsular ASEAN di Israel menjadi jambatan rasmi bagi saluran teknikal Malaysia. Semua permintaan pelepasan disalurkan melalui Hanoi, membolehkan Malaysia bersuara di meja yang selama ini tertutup untuk kita. Sementara itu, Turkiye pula berperanan sebagai pengantara lapangan; negara itu mempunyai akses ke pelabuhan Ashdod dan hubungan langsung dengan Tel Aviv. Dari sana, Turkiye menguruskan pelepasan, transit dan penerbangan khas yang membawa aktivis kita ke Istanbul sebelum pulang ke tanah air.
Di sinilah reputasi Malaysia diuji dan dibuktikan. Bukan mudah bagi sebuah negara yang lantang mengkritik Zionisme tetapi tidak mempunyai hubungan rasmi untuk mendapatkan kerjasama dua pihak berbeza, satu kuasa Asia Tenggara dan satu kuasa Eurasia, bagi misi sensitif ini. Namun Malaysia berjaya kerana kredibiliti yang dibina lama: suara kecil yang konsisten dalam solidariti kemanusiaan, tidak tunduk pada kuasa besar dan tidak menjual prinsip demi populariti.
Anwar Ibrahim Dan Diplomasi Bertaraf Dunia
Kritiklah Anwar Ibrahim dalam banyak perkara, dari isu ekonomi, reformasi yang lambat hingga politik kompromi dalam negeri. Tetapi dalam arena diplomasi, beliau bukan pemain baru. Hubungan beliau dengan Ankara bukan sekadar protokol; ia dibina melalui jaringan lama bersama pemimpin Turkiye, membolehkan Malaysia dipercayai ketika krisis mendesak. Begitu juga dengan hubungan beliau dalam rantau ASEAN, yang sering memposisikan Malaysia sebagai suara sederhana tetapi tegas dalam isu kemanusiaan.
Dalam kenyataan rasminya, Wisma Putra menegaskan bahawa operasi pembebasan ini “hasil daripada koordinasi rapat antara Kementerian Luar Negeri Malaysia, kerajaan Vietnam dan Turkiye yang bersolidariti dalam isu kemanusiaan.” Anwar pula menyatakan bahawa Malaysia “tidak akan berganjak dalam mempertahankan nyawa dan maruah rakyatnya walau tiada hubungan diplomatik rasmi.”
Bagaimana Jika Krisis Ini Berlaku Di Era Muhyiddin Atau Ismail Sabri?
Perbandingan ini penting untuk memahami konteks. Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, meskipun pernah menduduki jawatan Perdana Menteri, tidak memiliki profil diplomatik yang kukuh di pentas antarabangsa. Muhyiddin lebih banyak menumpukan isu dalaman dan pandemik, jarang menonjol dalam diplomasi luar kecuali melalui kenyataan umum. Ismail Sabri pula dilihat berhati-hati dan kurang membina jaringan peribadi dengan pemimpin global.
Dalam situasi sekompleks ini: berunding dengan Israel melalui pihak ketiga, melibatkan akses konsular ASEAN dan Turkiye; kepimpinan yang tidak mempunyai kredibiliti antarabangsa mungkin terperangkap dalam birokrasi. Tanpa hubungan peribadi dan reputasi yang meyakinkan Ankara atau Hanoi, proses pembebasan boleh berlarutan, malah berisiko gagal. Malaysia berpotensi terpaksa menunggu “lampu hijau” lebih lama atau bergantung sepenuhnya pada negara lain untuk menekan Israel, sebagaimana banyak negara sedang alami sekarang.
Anwar, dengan rekod panjang dalam gerakan antarabangsa sejak era reformasi dan hubungan lama dengan tokoh dunia, mampu menggunakan modal diplomatik yang jarang dimiliki Perdana Menteri sebelumnya. Beliau dikenali, dihormati dan dipercayai dalam membawa suara Malaysia yang konsisten dan bermaruah.
Lebih Dari Sekadar Operasi Menyelamat
Keberhasilan ini mengingatkan bahawa diplomasi bukan hanya tentang glamour sidang kemuncak atau kenyataan media lantang. Ia tentang kesabaran, kepercayaan yang dibina lama dan keberanian mengekalkan prinsip walau kecil di mata geopolitik dunia. Malaysia membuktikan kita masih mampu menjadi pemain relevan, bukan kerana kuasa ketenteraan tetapi kerana moral dan integriti yang dihormati.
Di saat banyak negara masih berunding, rakyat kita sudah selamat pulang. Kita tidak menang kerana kuat, tetapi kerana dunia tahu suara Malaysia tidak kosong apabila menyentuh kemanusiaan. Dalam satu momen langka, rakyat dan kerajaan berdiri sebaris, menolak kezaliman bukan kerana agenda politik, tetapi kerana itu fitrah bangsa ini: menegakkan keadilan tanpa gentar pada siapa pun.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.