31 Ogos Atau 16 September?

Hari ini 16 September kita meraikan Hari Malaysia, bersempena penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh yang sama 59 tahun lalu.

Asalnya 16 September bukanlah cuti umum untuk seluruh negara. Ianya sekadar cuti umum untuk Sabah dan Sarawak, sementara untuk negeri-negeri di Semenanjung ianya adalah hari biasa. Selama 47 tahun ianya kekal begini dan boleh dikatakan sebahagian besar generasi rakyat Malaysia tidak merasakan signifikan tarikh 16 September.

Pada tahun 2008, timbul cadangan untuk menjadikan tarikh 16 September sebagai cuti umum kebangsaan. Ia diusulkan oleh beberapa tokoh sejarah antaranya Dr. Khoo Kay Kim dan beberapa pemimpin parti politik pembangkang yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim.

Cadangan tersebut bagaimanapun mendapat tentangan dari pihak kerajaan Barisan Nasional yang berpendirian hanya perlu ada satu sahaja tarikh kemerdekaan. Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2008, Najib Razak menegaskan “sebagai sebuah negara, kita patut ada satu sahaja hari kemerdekaan”.

Hanya pada tahun 2010, barulah kerajaan ketika itu bersetuju untuk menjadikan tarikh 16 September iaitu tarikh penubuhan Malaysia sebagai cuti umum kebangsaan, bukan sekadar di Sabah dan Sarawak sahaja.

Tarikh-tarikh Penting Pembentukan Negara

31 Ogos 1957 seperti diketahui ramai adalah hari kemerdekaan apabila sembilan negeri Melayu dan dua negeri Selat di Tanah Melayu beroleh kemerdekaan dari pemerintahan British. Justeru tarik 31 Ogos kekal menjadi tarikh sambutan utama setiap tahun dan diberi gelar Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan. Tarikh ini dijadikan cuti umum kebangsaan dan ketibaannya ditunggu saban tahun berserta sambutan perarakan di Dataran Merdeka atau di Putrajaya.

31 Ogos juga tarikh penting untuk Sabah atau satu masa dahulu dikenali sebagai Borneo Utara. Pada tarikh yang sama dalam tahun 1963, Sabah diisytiharkan merdeka dari pemerintahan British yang seterusnya membuka ruang untuk rakyat negeri tersebut membuat pilihan bagi menyertai Persekutuan Malaysia kemudiannya.

Namun untuk Sarawak, 31 Ogos tidak memberi apa-apa signifikan kepada negeri itu. Ini berikutan Sarawak mencapai kemerdekaannya pada tanggal 22 Julai 1963. Dan untuk tempoh hampir dua bulan sebelum tibanya tarikh 16 September 1963, Sarawak ada sebuah negara de facto yang tersendiri. Penulisan lebih mendalam tentang sejarah kemerdekaan Sarawak pernah diulas dalam artikel Hari Sarawak Dan Kepentingannya Dalam Konsep Persekutuan.

Justeru dari sejarah ringkas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, Sabah atau Borneo Utara dan Sarawak, jelaslah kepada kita bahawa signifikan tarikh 31 Ogos tidak merangkumi semua negeri-negeri atau wilayah di dalam Malaysia.

31 Ogos Atau 16 September

Jika 31 Ogos tidak dapat mewakili kemerdekaan setiap negeri atau wilayah di dalam Malaysia, maka apa kewajarannya untuk kita meraikan ia sebagai tarikh kemerdekaan seluruh negara?

Sebaliknya tarikh 16 September lebih menyeluruh signifikannya. Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, Sabah atau Borneo Utara, Sarawak dan Singapura pada tarikh 16 September ini telah bergabung membentuk sebuah negara persekutuan yang kita kenali hari ini dengan nama Malaysia. Tertubuhnya Malaysia telah menggantikan negara Malaya yang merdeka sejak 31 Ogos 1957.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya sempena penubuhan Malaysia menyebut dengan jelas, “The Federation of Malaya now passes into history”. Malaysia telah menggantikan Malaya pada 16 September 1963 dan berserta itu lahirlah sebuah negara baharu.

Mengambil kira apa yang berlaku dalam lipatan sejarah, maka tentulah ia lebih masuk akal untuk kita meletakkan 16 September sebagai tarikh yang lebih penting dan besar maknanya berbanding 31 Ogos. Kerana 31 Ogos hanya memberi makna untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah, tetapi tidak kepada Sarawak. Hakikat inilah juga yang membuatkan Sarawak pada 2016 mengazetkan tarikh 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak bagi meraikan signifikan tarikh tersebut dalam sejarah negeri itu.

4 Julai Dan Kemerdekaan Amerika Syarikat

Tentu sekali, akan ada yang berpandangan bahawa tarikh penubuhan Malaysia tidak sepatutnya mendapat keutamaan mendahului tarikh kemerdekaan Malaya. Mereka yang berpandangan sebegini lazimnya akan memetik tarikh 4 Julai iaitu Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat mencapai kemerdekaan dari British pada 4 Julai 1776. Pada tarikh tersebut, Amerika Syarikat yang merdeka adalah terdiri dari 13 negeri yang asalnya merupakan koloni British di Amerika Utara. Jumlah negeri kemudiannya bertambah dalam tempoh beberapa tahun hinggalah Amerika Syarikat menerima negeri ke-50 iaitu Hawaii pada 21 Ogos 1959.

Walaupun Amerika Syarikat melengkapi kesemua 50 negerinya pada tarikh kemasukan Hawaii ke dalam persekutuan, namun tarikh 4 Julai tetapi diraikan sebagai tarikh kemerdekaan. Atas hujah inilah mereka yang menyokong signifikan 31 Ogos di Malaysia berpandangan ianya tidak salah untuk kita kekal meraikan tarikh tersebut sebagai tarikh kemerdekaan seluruh Malaysia.

Tetapi apa yang patut kita sedari ialah, Amerika Syarikat tidak berubah sebagai sebuah negara dari tarikh 4 Julai 1776 hinggalah penyertaan Hawaii pada 21 Ogos 1959. Bahkan namanya kekal sebagai Amerika Syarikat dan penyertaan setiap negeri berlaku dalam konsep penyertaan sebuah entiti ke dalam persekutuan sedia ada.

Berbeza pula dengan Malaysia, pada 31 Ogos 1957 yang merdeka adalah Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu. Berselang tujuh tahun kemudian, Malaya berserta Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk bergabung membentuk sebuah persekutuan dan sebuah negara baharu yang diberikan nama Malaysia. Dalam erti kata lain Sabah, Sarawak dan Singapura bukanlah menyertai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, tetapi sebaliknya bersetuju untuk membentuk sebuah negara baharu dengan Malaya.

Perbezaan fakta sejarah antara Amerika Syarikat dan Malaysia inilah yang patut menyedarkan kita semua kenapa kita tidak boleh menyamakan konsep kemerdekaan Amerika Syarikat dalam konteks Malaysia.

Menjelang 60 Tahun Malaysia

Tahun hadapan, penubuhan Malaysia akan genap mencapai 60 tahun. Dengan telah lebih sedekad kita menjadikan tarikh 16 September sebagai cuti umum kebangsaan yang diraikan dan dinikmati oleh rakyat Malaysia di seluruh negara, mungkin sudah tiba masanya kita mula memberikan keutamaan kepada Hari Malaysia.

Tidak salah untuk meraikan 31 Ogos sebagai hari kemerdekaan Malaya atau Sabah. Tetapi mungkin bermula tahun hadapan, sambutan dan perarakan secara besar-besaran yang kerap diadakan pada tanggal 31 Ogos bolehlah kita pindahkan ke tarikh 16 September pula. Kerana jelas sekali 16 September ini memberi makna lebih besar kepada setiap negeri yang ada dalam Malaysia.

Mungkin juga dengan meletakkan keutamaan pada 16 September berbanding 31 Ogos, barulah kita berjaya hidupkan kembali semangat gagasan Malaysia yang kini terasa semakin hilang akibat isu perkauman dan keagamaan.

Selamat Hari Malaysia, Bersekutu Bertambah Mutu!

Komen